Pekerja tempatan mendapati bahawa kuasa perbelanjaan mereka meningkat pada 2025 apabila gaji naik sementara kadar inflasi semakin mereda, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Dalam pada itu, gaji sebenar di Singapura meningkat sebanyak 4.0 peratus pada 2025 berbanding 3.2 peratus pada 2024, berikutan kadar inflasi yang semakin reda.

MOM, dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan pada 28 Mei, berkata jumlah gaji nominal terus meningkat pada kadar 4.9 peratus pada 2025 namun kadar itu adalah lebih sederhana berbanding dengan 5.6 peratus pada 2024.

Berbeza dengan gaji sebenar, gaji nominal merujuk kepada jumlah keseluruhan gaji bagi pekerja tempatan yang telah berkhidmat dengan majikan yang sama selama sekurang-kurangnya setahun, dan termasuk caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) oleh majikan.

Kadar inflasi keseluruhan Singapura mencatatkan purata sebanyak 0.9 peratus pada 2025, satu penurunan besar daripada 2.4 peratus pada 2024, menurut MOM lagi.

“Setelah mengambil kira faktor inflasi, gaji sebenar meningkat sebanyak 4.0 peratus pada 2025, lebih tinggi berbanding 2024 iaitu sebanyak 3.2 peratus, sekali gus menunjukkan peningkatan dalam kuasa perbelanjaan pekerja.

“Bagi tempoh jangka sederhana, pertumbuhan gaji sebenar terus disokong oleh pertumbuhan produktiviti sebenar,” kata MOM.

MOM menambah bahawa pertumbuhan gaji dijangka kekal positif pada 2026, walaupun syarikat-syarikat dijangka akan lebih berwaspada dalam memberikan kenaikan gaji di tengah ketidaktentuan geopolitik dan tekanan inflasi.

Di samping itu, meskipun sebahagian besar syarikat terus memberikan kenaikan gaji, peratusannya menunjukkan penurunan daripada 78.3 peratus pada 2024 kepada 72.4 peratus pada 2025.

Lebih banyak syarikat juga mengekalkan gaji sedia ada tanpa perubahan, dengan kadar yang meningkat daripada 18.5 peratus pada 2024 kepada 24.5 peratus pada 2025.

Dalam kalangan syarikat yang memberikan kenaikan gaji, purata kenaikan gaji adalah sebanyak 5.8 peratus pada 2025.

Alasan yang paling kerap dinyatakan bagi kenaikan tersebut ialah untuk mengekalkan pekerja, kata MOM.

Terdapat peratusan kecil syarikat yang mengurangkan gaji, sebanyak 3.1 peratus, dengan purata pemotongan gaji sebanyak 3.7 peratus pada 2025.

“Syarikat-syarikat ini secara amnya mengalami prestasi perniagaan yang lebih lemah berbanding tahun sebelumnya, menyebabkan sebahagian daripada mereka memotong gaji,” kata MOM.

Pada 2025, pekerja berpangkat rendah atau pekerja rank-and-file menyaksikan pertumbuhan gaji sebanyak 4.8 peratus, manakala kakitangan pihak pengurusan bawah dan pihak pengurusan atas masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus dan 4.9 peratus.

Kadar ini adalah lebih rendah berbanding 2024, di mana pertumbuhan gaji bagi pekerja berpangkat rendah berada pada paras 5.8 peratus, manakala kakitangan pihak pengurusan bawah dan atas masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus dan 5.1 peratus.

Sementara itu, jumlah perniagaan yang melaporkan keuntungan meningkat kepada 83.1 peratus pada 2025 daripada 80.8 peratus pada 2024.

Ini mencerminkan keadaan perniagaan yang agak menguntungkan di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi Singapura yang berterusan, jelas MOM.

Di samping itu, jumlah firma yang melaporkan keuntungan yang stabil atau bertambah baik meningkat kepada 64.1 peratus pada 2025, daripada 62.7 peratus pada 2024.

MOM telah meninjau kira-kira 6,236 firma dalam sektor swasta yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 pekerja untuk laporan ini. Dapatan kajian tersebut mencerminkan keadaan gaji bagi lebih daripada 1 juta pekerja.