Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah bertemu dengan syarikat gergasi elektronik pengguna, Dyson, untuk mengusahakan “penyelesaian yang baik”, selepas syarikat itu memberikan satu hari notis pemberhentian pekerja kepada kesatuan pekerja.
MOM menyatakan pada 3 Oktober bahawa ia menerima permintaan daripada Kesatuan Pekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik (Uweei) untuk sesi pendamaian dengan Dyson.
MOM bertemu dengan Dyson pada 2 Oktober dan juga akan bertemu dengan Uweei “untuk memahami kebimbangan kededua pihak dan bagi meneroka jalan penyelesaian yang baik,” jelas kementerian itu.
Ia berlaku selepas setiausaha eksekutif Uweei, Encik Patrick Tay, mengulangi pada 2 Oktober bahawa kesatuan itu kecewa kerana dimaklumkan mengenai pemberhentian pekerja itu hanya sehari sebelum Dyson memberhentikan bilangan pekerja yang tidak didedahkan pada 1 Oktober, lapor The Straits Times (ST).
“Ini tidak boleh diterima kerana ia tidak memberi masa yang mencukupi untuk perbincangan antara Dyson dengan Uweei bagi memastikan langkah pemberhentian itu bukan sahaja sesuatu yang adil, tetapi juga bertanggungjawab dan progresif,” kata Encik Tay dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa memberi lebih banyak masa untuk perbincangan akan membolehkan pekerja yang terjejas mendapat sokongan lebih baik.
MOM dalam kenyataannya pada 3 Oktober menyatakan di bawah Nasihat Tiga Pihak mengenai Menguruskan Lebihan Tenaga Kerja dan Pemberhentian Bertanggungjawab, syarikat yang mempunyai kesatuan harus memberi notis awal apabila memaklumkan pekerja tentang pemberhentian.
“Bagi Dyson, walaupun syarikat itu mempunyai kesatuan, PME (karyawan, pengurus dan eksekutif) yang diberhentikan tidak dalam kesatuan, dan mereka bukan sebahagian skop perwakilan kolektif kesatuan,” kata MOM.
“Oleh itu, tempoh notis untuk memaklumkan Uweei boleh dirunding,” katanya.
MOM menambah bahawa formula bagi mengira pampasan pemberhentian pekerja untuk PME tidak perlu berdasarkan yang digunakan untuk pekerja biasa dan boleh dirunding antara kesatuan dengan syarikat.
Encik Tay, yang juga Anggota Parlimen (AP) gerakan pekerja, berkata eksekutif Dyson yang diberhentikan mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada kesatuan untuk memastikan pampasan pemberhentian mereka adil.
Bagaimanapun, kesatuan sekerja mesti terlebih dahulu mengesahkan siapa pekerja yang terjejas dan tahap pekerjaan mereka, iaitu maklumat yang tidak dikongsi oleh Dyson dengannya.
“Kami kini masih cuba mengesahkan butiran pakej pemberhentian pekerja itu.
“Kami memahami daripada beberapa pekerja yang terjejas bahawa mereka telah diberitahu supaya merahsiakannya, atau menghadapi risiko pakej pemberhentian mereka terjejas,” katanya.
Encik Tay berkata bahawa kesatuan itu percaya pakej yang ditawarkan adalah selaras dengan norma Uweei, iaitu bayaran satu bulan setiap tahun perkhidmatan, tetapi beliau juga menyatakan bahawa ia tidak diketahui jika terdapat had.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg