Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat Olam tutup wadah khidmat petani digital, jejas 606 pekerja

Aug 29, 2025 | 3:56 PM
Olam, petani digital, tutup
Syarikat makanan dan pertanian, Olam, mencatat kerugian $13.2 juta dalam segmen perniagaan inkubasi syarikat itu, terutama berkaitan wadah khidmat petani digital, Jiva Ag.  - Foto OLAM BRASIL

Syarikat makanan dan pertanian, Olam, menyatakan pada 28 Ogos ia akan menutup Jiva Ag, sebuah wadah khidmat petani digital, yang dibangunkan oleh cabang usaha niaga syarikat itu, Nupo Ventures.

Seramai 606 pekerja terjejas akibat penutupan perniagaan tersebut.

Lapan daripadanya adalah pekerja dari Singapura, ibu pejabat Olam.

Daripada baki pekerja yang terjejas, seramai 531 berada di Indonesia, 66 yang lain pula di India, dan seorang kakitangan di Australia.

Olam menyatakan ia sedang membantu pekerja yang terjejas dengan menawarkan peluang menempatkan mereka semula dalam syarikatnya, atau pakej pampasan pemberhentian kerja.

Mereka juga akan diberikan khidmat mendapatkan pekerjaan lain, dan akses kepada program bantuan pekerja syarikat tersebut, lapor The Business Times (BT).

Penutupan perniagaan tersebut dikaitkan dengan pelaburan berterusan yang dijangka diperlukan untuk mengekalkan operasi Jiva Ag, dalam “masa mencabar dan keadaan pasaran yang sukar”.

Dua minggu lalu, Olam mengumumkan keuntungan bersih syarikat itu yang meningkat 574 peratus bagi separuh pertama 2025, yang berakhir pada 30 Jun.

Namun, ia juga mencatat kerugian $13.2 juta dalam segmen perniagaan inkubasi syarikat itu, terutama berkaitan Jiva Ag.

Olam menyatakan keputusan menutup perniagaan tersebut adalah selaras dengan pelan penyusunan semula terkini syarikat itu yang diumumkan pada April.

Ia bertujuan mengurangkan beban kewangan bagi baki perniagaan dalam kumpulan Olam.

Jiva Ag adalah antara tiga perniagaan Olam – dua lagi ialah Olam Food Ingredients dan Olam Agri.

Matlamatnya adalah untuk menjadikan baki perniagaan Olam bebas hutang dan berdikari, menurut syarikat yang tersenarai di papan utama bursa itu.

Jiva Ag dilancarkan pada 2020 dengan matlamat menyokong petani kecil di Asia dan Afrika melalui penyediaan nasihat dan panduan berkaitan pertanian, berdasarkan laman web Jiva Ag.

Antara lain, wadah tersebut menawarkan perkhidmatan seperti ramalan cuaca, analisis tanah, dan panduan amalan pertanian terbaik untuk meningkatkan hasil dan pendapatan petani.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg