Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nyanyi sudah, hos pun sudah, kini artis S’pura kembang niaga di M’sia

Oct 6, 2024 | 5:30 AM
Penyanyi Syarif, yang memiliki Chulop! By The Syarifs dan Boms & Bun, telah membuka kedai Chulop! And Boms & Buns Experience Store di Bangi Avenue, Selangor Malaysia.
Penyanyi Syarif, yang memiliki Chulop! By The Syarifs dan Boms & Bun, telah membuka kedai Chulop! And Boms & Buns Experience Store di Bangi Avenue, Selangor Malaysia. - Foto ihsan AHMAD SYARIFULLAH

Watch on YouTube

Di Singapura, nama mereka cukup dikenali sebagai selebriti tempatan dan personaliti terkenal dalam bidang masing-masing.

Tiga anak Singapura ini – penyanyi Syarif Sleeq dan Sufi Rashid serta tukang masak Cef Bob – giat berkecimpung dalam dunia perniagaan dan kini gigih meneroka pasaran Malaysia pula.

Pengaruh mereka dalam industri hiburan dan kulinari membantu membina asas kukuh dengan memanfaatkan populariti dan pengikut mereka untuk mempromosikan produk masing-masing.

Melalui jenama yang diusahakan, mereka kini menembusi pasaran Malaysia yang lebih luas dan berpotensi besar.

Bagi Syarif, yang nama sebenarnya Ahmad Syarifullah, latar belakangnya dalam dunia hiburan memudahkan laluan niaganya yang bermula hampir sedekad lalu. Beliau kini pemilik Chulop! By The Syarifs dan jenama bakeri, Boms & Buns.

“Dunia showbiz membuka laluan lebih mudah untuk saya memulakan (perniagaan)... menjadikan pemasarannya juga lebih senang. Saya mungkin kurang berjaya sebagai artis di Malaysia dan hanya untuk tempoh pendek, tapi mungkin itulah tujuannya saya berada di sini.

“Saya tiada penyesalan dengan apa yang saya lalui untuk memulakan perjalanan keusahawanan ini,” katanya.

Beliau melebarkan sayap jenamanya dengan membuka Chulop! And Boms & Buns Experience Store di Bangi, Selangor, pada 31 Ogos.

Syarif melihat pasaran Malaysia menyajikan peluang besar dengan saiz pasaran jauh lebih besar berbanding Singapura.

Beliau yakin dengan potensi jenama churros-nya di sana dan bercita-cita untuk terus mengembangkan perniagaannya ke serata negara itu.

Sementara itu, Cef Bob atau nama penuhnya Shahrizal Salleh, yang terkenal dalam dunia masakan, melihat kelebihan perniagaan di Malaysia dari sudut kos dan keuntungan.

“Kos berniaga di Malaysia lebih rendah, dan margin keuntungan lebih tinggi berbanding di Singapura,” katanya yang sudah setahun mengendalikan kafe 9 Yards Cafe & Bistro yang terletak di Sepang, Malaysia.

Selain itu, beliau menyedari bahawa cita rasa makanan di Malaysia dan Singapura adalah serupa yang memudahkan peralihan jenamanya ke pasaran tersebut.

Untuk memastikan kualiti, Cef Bob kerap berkunjung ke Sepang setiap dua minggu bagi menjalankan kawalan kualiti dan latihan di kafenya.

Sufi Rashid, yang dikenali sebagai penyanyi dan kini usahawan, turut memanfaatkan popularitinya dalam memasarkan produknya.

Ketika memulakan perniagaan Krispy Krunchee dan Krispy Yolks, beliau menggunakan popularitinya untuk menarik perhatian.

“Dulu kami guna nama Krunchee by Sufi Rashid. Kami mahu gunakan populariti itu untuk branding, dan syukur ia laku. Orang beli bukan hanya kerana ia sedap tetapi juga minat terhadap saya,” kongsi Sufi.

Pasaran Malaysia yang lebih besar juga menjadi daya tarikan bagi Sufi. Walaupun beliau mengakui keuntungan di Malaysia tidak setinggi di Singapura disebabkan nilai dolar di sini, beliau tetap optimis dengan peluang yang ditawarkan di negara jiran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg