Mulai Rabu, 10 Jun, OCBC bakal menawarkan perkhidmatan dagangan emas fizikal bagi pelanggan institusi dan pelanggan bernilai tinggi Bank of Singapore (BOS), umum bank itu pada 8 Jun.

Pelanggan kini boleh membeli, menjual, dan menyimpan emas melalui OCBC, dengan aset disimpan selamat di peti simpanan di Singapura.

Inisiatif ini hadir tatkala OCBC memperhebat tawaran logam berharga, dipacu oleh lonjakan permintaan global dan minat pelanggan untuk menguruskan jongkong emas di peringkat tempatan.

Dua pilihan jongkong tersedia: jongkong besar seberat 400 auns troy (12.4 kg) dan kilobar seberat 1 kg.

Setiap jongkong diperuntukkan khusus buat individu dengan nombor siri unik. Pendekatan ini membolehkan pelabur memiliki jongkong secara fizikal dan langsung, jauh lebih eksklusif berbanding simpanan emas terkumpul.

Kemudahan ini turut membolehkan pelanggan BOS yang sebelum ini berurus niaga melalui entiti di Amerika Syarikat untuk beralih ke platform OCBC di sini.

Tawaran ini merupakan sebahagian daripada strategi “Sempadan Baru” (Next Frontier) OCBC, yang bertujuan memperkukuh portfolio emas sekali gus meluaskan rangkaian pengurusan kekayaan yang merangkumi perbankan dan insurans.

OCBC berkata pelanggan semakin berminat menyimpan jongkong emas secara tempatan dan berurus niaga melalui entiti berpangkalan di Singapura di tengah-tengah ketidaktentuan politik dan ekonomi sejagat.

Data daripada Majlis Emas Sedunia (WGC) menyokong trend ini, mencatatkan lonjakan permintaan global sebanyak 50 peratus pada suku pertama 2026.

Dalam tempoh yang sama, pegangan emas fizikal pelanggan BOS melonjak lebih 40 peratus sejak akhir 2025, sebahagian besarnya dalam kalangan pelabur bernilai tinggi.

Mengulas mengenai perkembangan ini, Ketua Pasaran Dunia OCBC, Encik Kenneth Lai, menyatakan bahawa bank komited untuk terus meneroka peluang bagi memperluas penyelesaian emas fizikal, termasuk menawarkan lebih banyak pilihan pelaburan dan lindung nilai kepada segmen pelanggan yang lebih luas.

Selain jongkong fizikal, OCBC turut mengembangkan ekosistem pelaburan emasnya.

Ini melengkapi tawaran sedia ada seperti pelaburan emas dan perak pecahan di aplikasi OCBC serta Dana Emas Fizikal Singapura LionGlobal yang dilancarkan tahun lalu sebagai dana pertama di Singapura yang disandarkan sepenuhnya kepada emas fizikal berinsurans.

Pada Mac lalu, Dana Dagangan Bursa (ETF) LionGlobal Singapore Physical Gold, ETF emas fizikal pertama yang dibangunkan di Singapura, disenaraikan di Bursa Singapura SGX.

Pada April, oken Dana Emas Fizikal OCBC-LionGlobal (OCBC-LionGlobal Physical Gold Fund Token) dilancarkan untuk pelabur institusi dan korporat bertauliah.

Menurut bank itu, ia merupakan dana emas fizikal bertoken pertama di Asia Tenggara yang tersedia di rantaian blok awam.

Pelanggan juga boleh mendapatkan pendedahan kepada emas fizikal melalui Dana Emas Fizikal Singapura GreatLink (GreatLink Singapore Physical Gold Fund) yang ditawarkan oleh Great Eastern.

Ketua Pegawai Eksekutif BOS, Encik Jason Moo, menekankan bahawa dalam landskap pelaburan yang kian mencabar, pelabur kini lebih selektif dalam menentukan rakan niaga serta lokasi simpanan aset mereka.

“Dengan memanfaatkan kekuatan kolektif Kumpulan OCBC, kami membawakan penyelesaian emas fizikal yang bukan sekadar selamat dan utuh, malah berupaya meredakan kegelisahan pelanggan terhadap risiko pengurusan,” ujar beliau.