Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Pakar suria tempatan salur kepakaran di geografi berbeza

Singapura memainkan peranan penting sebagai hab serantau bagi syarikat pembekal tenaga bersih, EDPR Sunseap, dan firma pengurusan air sosial, Ecosoftt – Eco Solutions for Tomorrow, Today. Kepakaran syarikat masing-masing bertujuan menghasilkan huraian mampan dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui dan air bersih, sejajar dengan Pelan Hijau Singapura 2030. Dalam usaha mengembangkan syarikat, para pekerjanya terus mempertingkat kemahiran. Transformasi perniagaan ini turut disarankan Majlis Ekonomi Masa Hadapan yang dipimpin pengerusinya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat, yang melaksanakan Perancangan Perubahan Industri (ITM) 2025.

Laporan ini dibawakan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Mar 09, 2023 | 05:00 AM



DALAM tempoh hampir enam bulan setelah Cik Suriani Abdul Latiff, 25 tahun, menyertai syarikat pembekal tenaga bersih, EDPR Sunseap, beliau terlibat dalam projek memasang sistem fotovoltan (PV) suria yang terdiri daripada ladang suria terapung, di atas bumbung rumah dan bangunan hingga kawasan tanah di negara Asia-Pasifik.



Sebagai spesialis sumber suria, tugasnya tertumpu pada projek-projek suria peringkat pembangunan, dengan beliau menilai anggaran pengeluaran dan mencadangkan peningkatan prestasi bagi sistem PV suria.



Pasukan Cik Suriani juga menyediakan penilaian tenaga dan sokongan analitik buat jabatan tertentu seperti jabatan penggabungan dan pengambilalihan (merger and acquisition) serta jabatan kejuruteraan.



Bagi mempersiap Cik Suriani untuk tugasnya, lulusan ijazah sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan bahan dengan pengkhususan dalam kejuruteraan bahan perindustrian daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) ini, telah menjalani latihan daripada pasukan global secara maya dan juga secara fizikal di Singapura daripada seorang pengurus daripada ibu pejabat EDPR di Madrid, Sepanyol.



“Apabila saya baru menyertai syarikat ini, saya mempelajari aliran kerja untuk projek suria setempat daripada pasukan di Singapura. Tugas saya menjadi lebih mencabar apabila saya terlibat dalam projek suria di geografi berbeza di Asia-Pasifik,” kata Cik Suriani.







Baca lanjut



https://www.beritaharian.sg/ekonomi-kerja/firma-kumpul-1600-tan-sisa-sebulan-untuk-dikitar-semula



https://www.beritaharian.sg/uncategorized/latihan-bantu-pekerja-pertajam-kemahiran-dalam-penceritaan-visual







Lantaran itu, Cik Suriani telah menjalani latihan berkenaan sistem suria dan kini sedang menimba kemahiran tentang ladang angin dan pelan hibrid, di mana sistem suria digabungkan dengan simpanan bateri.



Cik Suriani merupakan antara pekerja syarikat yang meraih manfaat daripada program mobiliti syarikat ini yang membolehkan mereka belajar daripada jabatan lain.

Selain itu, Cik Suriani juga telah menyertai beberapa kursus anjuran akademi dalam talian.



MEMUPUK PEKERJA DENGAN PEMIKIRAN PEMBANGUNAN GLOBAL



Syarikat EDPR Sunseap, sebahagian daripada syarikat EDP Renewables (EDPR) – pemimpin global dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui dan penghasil angin keempat terbesar sedunia – mempunyai ibu pejabatnya di Singapura.



Syarikat EDPR, berasal dari Sepanyol, dengan modal pasaran bernilai sekitar 20 bilion Euro ($28.6 bilion) berada dalam 28 pasaran.



Menurut Ketua Pegawai Operasi Asia-Pasifik, EDPR APAC, dan Pengerusi Eksekutif EDPR Sunseap, Encik Pedro Vasconcelos, syarikat EDPR telah mempertingkat kemahiran para pekerja sejajar dengan peralihan tenaga yang ditawarkan syarikat itu.







“EDPR fokus pada teknologi yang boleh diperbaharui dan matang dan selama ini telah melaksanakan projek tenaga angin seperti bateri suria angin dan hidrogen yang boleh diperbaharui.



“Namun, kami kini dalam proses memperbaiki kemahiran tenaga kerja kami supaya mereka dapat meningkatkan keupayaan skala utiliti dalam angin dan suria,” kata Encik Vasconcelos.



Justeru, akademi EDPR menawarkan 11,000 jenis kursus yang bermatlamat memupuk pekerjanya dengan pemikiran pembangunan global dan membina komuniti global.



Kata Encik Vasconcelos, kandungan di EDPR itu dihasilkan oleh pasukan daripada pelbagai jabatan dan komuniti global yang sedia ada dalam syarikat EDPR yang menggalakkan pekerja saling mempelajari daripada satu sama lain.



Sebagai contoh, pasukan penilaian tenaga akan menghasilkan kandungan dan memuatnaik maklumat tentang cara menilai tenaga angin atau suria.



“Hari ini, ia bukan sekadar mengambil bakat baru tetapi syarikat perlu mengekalkan pengetahuan, maklumat dan pengalaman pekerja dan memastikan pengetahuan itu disampaikan kepada pekerja lain,” kata Encik Vasconcelos.



MEMBINA KOMUNITI GLOBAL



Salah seorang pekerja syarikat EDPR Sunseap, pengurus, sistem kuasa dan transmisi, kejuruteraan dan pembinaan, Encik Sokkalingam Moorthiappan, meraih manfaat dengan menyertai komuniti inovasi global dan komuniti pengurusan tenaga global syarikat itu.



“Di EDPR, kami mempunyai anggota pasukan antarabangsa yang terdiri daripada lebih 60 negara berbeza dan ini mendedahkan saya kepada inovasi teknikal dan baru dari luar negara, di mana saya boleh terapkan pada projek-projek di Asia-Pasifik,” kata Encik Moorthiappan.



Beliau memulakan kerjayanya sebagai jurutera pelatih di loji janakuasa arang batu di India dan kemudian berpindah ke Singapura untuk bekerja di loji gas semula jadi pada 2002.



Penduduk tetap Singapura ini kemudian menyertai syarikat EDPR Sunseap supaya beliau dapat menyumbang kepada sektor tenaga yang boleh diperbaharui.



Kini, beliau terlibat dalam projek import tenaga bersih di pelbagai negara termasuk Eropah dan Asia-Pasifik dan antara tugasnya termasuk mereka bentuk prasarana bahan stesen kecil elektrik bagi sistem transmisi.



PERKEMBANGAN PENGANTARABANGSAAN



Menjadikan Singapura sebagai hab rantau, syarikat EDPR Sunseap akan bekerjasama untuk terus membangunkan keupayaan dan tenaga kerjanya.



Antara pekerjaan tersebut seperti penilaian tenaga, rekaan dan kejuruteraan, pengurusan projek, pembinaan serta komunikasi dan pemasaran.



Lantaran itu, syarikat EDPR Sunseap merupakan antara syarikat yang bakal menyumbang kepada Pelan Hijau Singapura 2030, satu daya usaha pemerintah ke arah masa depan lebih mampan.



Kata Encik Vasconcelos, Singapura mahu menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui dan tenaga suria sebanyak mungkin, antaranya dengan memasang panel suria di bumbung flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan bangunan komersial serta di atas permukaan air seperti ladang suria terapung di Selat Johor.



Hari ini, EDPR Sunseap telah memasang panel di lebih 3,000 bangunan di bumbung flat HDB dan bangunan komersial. Di Singapura, ia mempunyai keupayaan suria sebanyak 400 megawat-peak (MWp) yang sedang beroperasi, sedang dibina dan dimiliki sepenuhnya.



Syarikat ini juga bekerjasama dengan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) untuk mencipta sumber kuasa yang boleh diperbaharui yang mampan.



EDPR Sunseap sedang dalam perbincangan dengan Indonesia dan Malaysia.



Pada peringkat global, syarikat ini terlibat dalam projek memasang sistem PV suria bagi klien komponen automotif di 60 tempat sedunia.



Pada November 2022, EDPR Sunseap diberi pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Emas dengan sebutan khas sebagai “Majikan Sedia Masa Depan” dalam Majlis Anugerah Majikan SkillsFuture dan Persekutuan SkillsFuture 2022.







Teknologi inovasi rawat sisa air Ecosoftt beri manfaat kepada syarikat korporat, golongan memerlukan







APABILA firma pengurusan air sosial, Ecosoftt – Eco Solutions for Tomorrow, Today, ditubuhkan, pengasas sama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ecosoftt, Encik Marcus Lim, 51 tahun, dan Encik Stanley Samuel, 59 tahun, masing-masing hampir tamat pengajian dalam sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) eksekutif daripada sekolah perniagaan antarabangsa, Insead, dan Universiti Tsinghua.



Berkongsi keinginan sama untuk melakukan sesuatu berkenaan pengurusan dan kemampanan persekitaran, mereka membuat keputusan menubuhkan sebuah firma sosial yang menawarkan khidmat pengurusan air.



Ia disasarkan kepada dua golongan utama – mereka yang mengalami masalah air dan sedia membayar khidmat rawatan air dan golongan memerlukan yang mengalami masalah air tetapi tidak mampu membayar khidmat rawatan air.



Sedang Encik Samuel yang pernah bekerja di syarikat makanan dan minuman, Nestle, membesar di India dan terdedah kepada pengumpulan air hujan dan pengolahan air, Encik Lim mempelajari kemahiran baru tentang rawatan sisa air semasa menubuhkan syarikat Ecosoftt di samping mengambil kursus diploma dalam rawatan sisa air di Universiti Chile dan kursus pengurus kecekapan air di PUB.



Namun, pengalaman Encik Lim dalam bidang korporat dan perundingan, dengan beliau pernah bertugas di PricewaterhouseCoopers, membolehkannya berbicara dan menarik rakan kongsi, pelabur dan pemerintah agar terlibat sama dalam projek Ecosoftt.



Hari ini, Ecosoftt telah melengkapkan hampir 100 projek di Singapura, India, Malaysia, Vietnam, Indonesia, Thailand, Hong Kong dan Chile dan mendapat pengiktirafan dengan melebihi 20 anugerah antarabangsa yang mengesahkan inovasi teknologi dan sumbangan positif syarikat itu kepada masyarakat sejak ia ditubuhkan pada 2012.



Antara anugerah tersebut adalah Hadiah Kemampanan Zayed, pemberian kerajaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019, Anugerah Antarabangsa Dubai bagi Amalan Terbaik dalam Pembangunan Mampan, pemberian Majlis Pembandaran Dubai dan UN Habitat pada 2022 dan Anugerah Teknologi Paling Berharga di TechXchange Minggu Air Antarabangsa Singapura 2022.



TAWAR TEKNOLOGI INOVASI MERAWAT AIR



Sebagai pakar dalam pengurusan sisa air dan perkhidmatan alam sekitar, Ecosoftt menggunakan wadah Industri dan Bangunan WISE Air yang boleh mengurangkan pembaziran air sehingga 50 peratus, mengitar dan mengguna semula sehingga 80 peratus sisa air untuk tujuan tidak boleh diminum dan melepaskan baki 20 peratus daripada air yang dirawat secara mesra alam.



Wadah Industri dan Bangunan WISE Air menawarkan teknologi dan huraian mampan bagi kecekapan air dan audit air, pengumpulan air hujan, rawatan air minuman serta rawatan dan kitar semula sisa air.



Menurut Encik Lim, kebanyakan projek dalam tempoh lima tahun awal syarikat Ecosoftt ditubuhkan mengambil tempat di India, di mana Ecosoftt bekerjasama dengan penduduk kampung, hotel, hospital, sekolah dan pemaju kediaman dengan menawarkan air paip bersih kepada rakyat India.



Pada 2016, Ecosoftt melengkapkan projek penting pertama mereka di Singapura yang dipanggil projek Water SMART Blue Building yang mengitar dan merawat semula air sisa di dalam bangunan supaya air bersih boleh digunakan dengan kerjasama JTC Corporation, SPRING Singapore (kini Enterprise Singapore) dan PUB.



Hasil kejayaan projek itu, Ecosoftt mendapat lebih perhatian dan perniagaan Ecosoftt telah berkembang lima kali ganda.



Semasa pandemik Covid-19 pula, kepakaran syarikat Ecosoftt menjadi satu keperluan apabila syarikat ini dikehendaki menyediakan kemudahan untuk rawatan sisa air dan air di Pusat Pameran Changi yang telah ditukar menjadi tempat pengasingan buat pekerja migran.



“Matlamat utama kami adalah membasmi kuman korona di dalam sisa air dan air dan jika projek sebegini mungkin mengambil tempoh selama enam bulan untuk dilaksanakan, kami berjaya melakukannya dalam tempoh enam minggu,” kata Encik Lim.



Kini, Ecosoftt bekerjasama dengan pelbagai syarikat setempat dan antarabangsa untuk menawarkan khidmat pengurusan air.



Antaranya, termasuk industri makanan dan minuman seperti syarikat Asia Pacific Breweries, industri farmaseutikal seperti syarikat Roche dan Abbott, kilang semi-konduktor dan bangunan komersial besar.



PENTINGNYA MENEBAR SAYAP



Mengulas tentang penyejagatan Ecosoftt, Encik Lim berkata penyejagatan adalah cara bagi syarikat setempat mendapatkan sumber, teknologi dan bekerjasama dengan rakyat lain supaya syarikat itu boleh menambah nilai pada produknya.



“Singapura adalah negara kecil dan kami tidak boleh menghasilkan semua komponen keperluan syarikat di Singapura. Maka, ia penting untuk bekerjasama dengan rakan kongsi di luar negara,” ujar Encik Lim.



Sebagai contoh, syarikat Ecosoftt telah bekerjasama dengan Universiti Chile yang telah mencipta teknologi rawatan sisa air yang boleh membersihkan air dan menghasilkan baja dan bekerjasama dengan syarikat di China untuk mendapatkan bekalan komponen.



Kata Encik Lim lagi, penyejagatan juga menawarkan peluang pekerjaan lebih baik buat rakyat Singapura yang dapat menimba pengalaman dan kemahiran yang lebih luas.



Misalnya, hasil daripada kerjasama Ecosoftt dengan syarikat di China, pengurusan Bersekutu Ecosoftt, Cik Chia Jia Ling, 26 tahun, mempelajari kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin dengan lebih fasih supaya beliau boleh berbicara dengan klien mereka di China.



USAHA MEMPERTINGKAT KEMAHIRAN



Sebagai syarikat yang ingin berkembang, Encik Lim percaya ia penting bagi dirinya dan pekerjanya terus mempertingkat diri.



Beliau sendiri mengakui banyak membaca, turut serta dalam acara sidang dan sesi latihan serta belajar daripada pekerjanya untuk meluaskan lagi pengetahuannya tentang industri air.



Pekerja Ecosoftt, Pengurus Kanan, Rekaan dan Inovasi Ecosoftt, Dr Ramakrishna Mallampati, 36 tahun, yang berasal dari India dan telah memegang peranan kejuruteraan dengan syarikat Suez/GE Water dan syarikat TÜV SÜD dari Jerman, pula baru menyelesaikan Program Pertukaran Kerjaya dalam jurusan Profesional Tenaga Bersih dan Boleh Diperbaharui.

Kata Encik Mallampati: 



“Program ini membolehkan saya mendapat pengetahuan baru tentang tenaga yang boleh diperbaharui, sejajar dengan teknologi inovasi Ecosoftt yang ingin merawat sisa air tetapi dengan mengurangkan penggunaan tenaga.



“Sebagai contoh, sebanyak 90 peratus tenaga digunakan untuk mengepam air. Dengan pengetahuan baru ini, saya boleh cuba mencipta teknologi inovasi yang boleh mengurangkan penggunaan tenaga dalam proses merawat air.”



Seorang lagi pekerja Ecosoftt, Pengurus Projek, Encik Kumaran Raja, berharap dapat menerapkan pengetahuan barunya dalam teknologi maklumat pada sistem Pengurusan Air Bijak Ecosoftt.



Encik Raja, 38 tahun, asalnya mempunyai kelulusan Higher Nitec dalam jurusan kejuruteraan mekanikal daripada Institut Pendidikan Teknikal pada 2005 dan mula bekerja sebagai teknisyen junior di sektor marin.



Beliau kemudian meraih diploma dalam kejuruteraan mekanikal daripada Politeknik Singapura pada 2012 dan kelayakan Profesional Pengurusan Projek daripada Institut Pengurusan Projek.



Kini, beliau bakal melengkapkan pengajian sarjana muda dalam jurusan teknologi maklumat daripada Universiti Murdoch.



Memainkan peranan penting dalam mengurus beberapa projek utama termasuk syarikat Singapura dan antarabangsa dalam sektor perindustrian dan bangunan, Encik Raja sekarang terlibat dalam projek berasaskan kajian bersama JTC Corporation untuk membina dinding Hijau.



Matlamat projek terbaru ini ialah mengurangkan pengeluaran haba daripada alat hawa dingin dan membekalkan air kuasa dingin kepada dinding hijau bangunan itu.



“Kami dikehendaki mencipta sistem pengurusan air bijak yang membolehkan kami mendapat data daripada sensor haba dari dinding hijau dan dalam bangunan supaya kami boleh tahu manfaat dinding hijau itu,” kata Encik Raja.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >