Pekerjaan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

32 pertubuhan bangun huraian prototaip wujudkan tempat kerja mesra warga senja

Nov 17, 2025 | 5:15 PM
tempat kerja, warga senja, Snef, NTUC, Afa
Naib Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Cik Tan Hwee Bin (kiri); Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon (tengah); dan Menteri Negara Kanan di Pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Tan, di majlis pelancaran Perikatan untuk Bertindak (AfA) dalam Memperkasa Kerjaya Berbilang Tahap bagi Pekerja Matang pada 17 November di Civil Service Club @ Tessensohn. - Foto ZAOBAO

Sebanyak 32 pertubuhan akan bekerjasama dengan pemerintah, kesatuan dan majikan serta pihak berkepentingan yang lain untuk mewujudkan bersama idea dan membangunkan huraian bagi menjadikan pekerjaan serta tempat kerja lebih mesra usia, terutamanya bagi pekerja warga senja.

Pertubuhan tersebut merangkumi syarikat, pengantara pasaran pekerja dan pertubuhan tidak meraih keuntungan dalam pelbagai sektor, seperti Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME), Iyad Perdaus, Mandai Resorts dan Micron Semiconductor Asia Operations.

Ini akan diusahakan di bawah Perikatan untuk Bertindak (AfA) dalam Memperkasa Kerjaya Berbilang Tahap bagi Pekerja Matang, yang dilancarkan pada 17 November dalam satu majlis yang diadakan di Civil Service Club @ Tessensohn.

AfA itu dibentuk di bawah Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pekerjaan bagi Pekerja Lanjut Usia – diumumkan pada Mac 2025 dengan tujuan membangunkan saranan dasar untuk membantu pekerja lanjut usia kekal produktif dan terus boleh diambil bekerja, serta menggalak pekerjaan dan tempat kerja yang mesra warga emas.

Majlis pelancaran AfA itu dihadiri Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon; Menteri Negara Kanan di Pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Tan; dan Naib Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Cik Tan Hwee Bin – ketiga-tiganya pengerusi bersama Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pekerjaan bagi Pekerja Lanjut Usia.

Dengan tenaga kerja yang semakin menua dan jangka hayat lebih lama, Dr Koh berkata pemerintah telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk menyokong pekerja lanjut usia yang ingin terus menyumbang kepada tenaga kerja.

Ini termasuk dengan meningkatkan usia persaraan dan pengambilan bekerja semula secara bertahap, serta menyediakan sokongan kepada majikan yang menggajikan pekerja lanjut usia melalui skim seperti Kredit Pekerjaan Warga Emas (SEC).

Namun, di luar dasar pemerintah, Dr Koh berkata kini langkah dijalankan untuk memperkasa pertubuhan dan pekerja memanfaatkan kekuatan pekerja lanjut usia, dengan perlu ada perubahan asas dalam pemikiran di samping inovasi, eksperimentasi dan kerjasama antara semua pihak.

“Bagi pekerja lanjut usia, ini bermakna peningkatan kemahiran dan mungkin merancang bagi kerjaya berbilang peringkat. Ini mungkin seperti menukar kerjaya, atau melakukan aturan kerja baru dengan majikan baru atau dalam syarikat sama, untuk mengimbangi matlamat hidup dan aspirasi kerjaya mereka.

“Bagi majikan, ini bermakna mendakap manfaat daripada memanfaatkan tenaga kerja warga senja dan memanfaatkan kepakaran serta rangkaian pekerja lanjut usia. Majikan juga boleh membina keupayaan untuk mereka semula pekerjaan dan latihan bagi mewujudkan tenaga kerja berbilang generasi yang pelbagai,” kata beliau.

Sepanjang beberapa bulan akan datang, Dr Koh berkata 32 pertubuhan itu akan membangunkan dan menguji huraian prototaip mereka dalam bidang termasuk rekaan semula pekerjaan, model aturan kerja fleksibel baru, dan peningkatan kemahiran, perancangan kerjaya berstruktur serta program latihan yang disesuaikan untuk pekerja lanjut usia.

Setiap pertubuhan itu akan menerima sokongan pendanaan yang berbeza, berdasarkan kekuatan dan keperluan saranan prototaip mereka, kata jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Semua saranan juga mesti diselaraskan dengan bidang tumpuan AfA tersebut, tambahnya.

Antara syarikat yang terlibat dalam usaha tersebut ialah Mandai Resorts, yang sedang menguji idea merekrut pekerja lanjut usia dengan mereka semula pekerjaan agar ia adalah berdasarkan minat atau hobi mereka.

Sementara itu, syarikat penyedia penjagaan kanak-kanak Iyad Perdaus pula menguji dua inisiatif – memperkenalkan sofwe penulisan laporan dikuasai kecerdasan buatan (AI) yang mudah difahami dan digunakan pekerja warga senja, dan menyediakan kaunseling serta bimbingan kerjaya untuk golongan itu.

“Prototaip yang dibangunkan pertubuhan ini akan memberikan kita pandangan berharga dan huraian praktikal.

“Di mana boleh, kami berharap dapat berkongsi dan memperluaskan penggunaan huraian tersebut merentasi pelbagai sektor,” kata Dr Koh.

Ditemui media di akhir acara, Encik Tan berkata kerjasama 32 pertubuhan di bawah AfA baru dilancar itu adalah bukti kukuh bahawa aturan kerjasama tiga pihak boleh mewujudkan peluang kerja dan hasil lebih baik untuk semua pekerja, tidak kira usia.

“Kami akan terus bekerja rapat dengan rakan majikan dan dengan sokongan pemerintah, mewujudkan tenaga kerja lebih terangkum dari segi usia dan persekitaran kerja lebih baik untuk semua pekerja lanjut usia kita,” kata beliau.

Cik Tan pula berkata dengan huraian prototaip yang diadakan, “majikan dan syarikat boleh meraih manfaat daripada tenaga kerja lebih pelbagai dan juga memperluaskan kumpulan tenaga manusia dan bakat sementara memenuhi keperluan perniagaan”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg