Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembeli rumah S’pura kian minat kadar pinjaman terapung

Pilihan dipengaruhi kadar faedah asas yang turun
Jun 4, 2025 | 4:57 PM
Kadar Purata Semalaman Singapura (Sora), yang digunakan bagi pinjaman rumah kadar terapung, telah mula berkurang sejak ia mencecah sekitar 3.6 dengan 3.7 peratus pada akhir 2023.
Kadar Purata Semalaman Singapura (Sora), yang digunakan bagi pinjaman rumah kadar terapung, telah mula berkurang sejak ia mencecah sekitar 3.6 dengan 3.7 peratus pada akhir 2023. - Foto ZAOBAO

Lebih ramai pemilik rumah kini mempertimbangkan kadar pinjaman terapung kerana kadar asas bagi pinjaman jenis itu di Singapura terus berkurang, kata beberapa broker gadai janji.

Namun, tidak semua pemilik rumah meminati pinjaman sebegitu, kerana ramai masih memilih pinjaman kadar tetap yang menawarkan kestabilan kewangan, jelas mereka kepada The Straits Times (ST).

Kadar pinjaman terapung ialah pinjaman dengan kadar faedah yang berubah mengikut penanda aras kewangan tertentu.

Penasihat gadai janji daripada Redbrick Mortgage Advisory, Encik Clive Chng, berkata sebelum ini hampir semua pelanggan beliau memilih pinjaman kadar tetap.

Kini, beliau menganggarkan seorang daripada 10 pelanggan berminat mempertimbangkan pakej kadar pinjaman terapung.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mortgage Master, Encik David Baey, bersependapat.

Menurut beliau, sekitar 40 peratus pelanggannya kini memilih pakej kadar terapung, meningkat daripada 5 peratus pada April.

Dalam tiga tahun kebelakangan ini, ketika kadar faedah tinggi, kebanyakan pemilik rumah memilih kadar pinjaman tetap bagi mengunci kadar bayaran pinjaman mereka.

Namun kini, apabila kadar faedah mula berkurang, perbincangan mengenai pilihan antara kadar tetap dengan kadar terapung kembali timbul.

Purata Kadar Semalaman Singapura (Sora), yang digunakan bagi pinjaman rumah kadar terapung, telah mula menurun sejak ia mencecah sekitar 3.6 dengan 3.7 peratus pada akhir 2023.

Kadar tersebut terus menurun ke paras antara 3.4 dengan 3.5 peratus pada 18 September 2024, selepas Lembaga Simpanan Federal Amerika Syarikat memulakan kitaran penurunan kadar faedahnya.

Sejak itu, kadar tersebut jatuh sekurang-kurangnya 1.2 mata peratusan kepada sekitar 2.2 hingga 2.3 peratus setakat 2 Jun – satu penurunan lebih besar berbanding kadar faedah Amerika yang turun 1 mata peratusan dalam tempoh sama.

Berbeza dengan pakej kadar tetap, kadar faedah kadar pinjaman terapung berubah-ubah bergantung sama ada ia berpandukan kadar Sora kompaun sebulan (1M Sora) atau kompaun tiga bulan (3M Sora).

Bank biasanya mengenakan kadar Sora ditambah dengan margin keuntungan, atau ‘spread’ mereka.

Jadi apabila kadar Sora menurun, kadar faedah keseluruhan bagi pinjaman rumah berkenaan juga akan turun.

Kadar Sora di Singapura kini turut mencatatkan penurunan lebih ketara berbanding paras purata sebelum ini.

Penganalisis kanan kewangan di firma penyelidikan kredit CreditSights, Cik Karen Wu, berkata biasanya, kadar 3M Sora akan turun 0.5 hingga 0.6 mata peratusan apabila kadar faedah Amerika jatuh 1 mata peratusan.

Namun pada masa ini, kadar Sora telah turun sebanyak 1.2 mata peratusan.

Pengarah pengurusan kekayaan di Financial Alliance, Encik Sani Hamid, pula berkata penurunan kadar Sora yang berterusan menunjukkan kadar faedah mungkin telah mencapai paras tertinggi dalam kitaran semasa.

Pada masa ini, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan bank pusat lain di dunia lebih tertumpu kepada langkah menyokong ekonomi berbanding mengekang inflasi, memandangkan tekanan inflasi dan unjuran pertumbuhan semakin reda, tambah Encik Sani.

Secara ringkas, kadar faedah dijangka akan terus menurun.

Oleh itu, Encik Baey menambah, ini masa yang sesuai untuk mempertimbangkan pakej kadar terapung.

Menurutnya, pemilik rumah boleh mempertimbangkan pakej Sora sekarang kerana margin keuntungan bank masih agak rendah.

ST mendapati setakat ini, kadar margin keuntungan bank boleh mencecah serendah 0.28 peratus.

Jika pemilik rumah menunggu sehingga kadar Sora turun lebih rendah sebelum mengambil pakej kadar terapung, mereka mungkin hanya akan ditawarkan kadar dengan “margin keuntungan biasa iaitu sekitar 0.8 peratus”, tambah Encik Baey.

Namun begitu, pemilik rumah dinasihatkan agar berhati-hati kerana ekonomi sejagat masih dibayangi ketidaktentuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg