Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan melancarkan kira-kira 11.1 hektar tanah perindustrian meliputi lapan tapak, untuk jualan bagi separuh awal pertama 2026 menerusi program Penjualan Tanah Pemerintah (IGLS).
Ini menunjukkan pengurangan berbanding separuh pertama 2025, apabila 14.07 hektar merangkumi 10 tapak dilancarkan, lapor The Business Times (BT).
MTI, dalam kenyataan pada 29 Disember, berkata pemerintah akan “terus melepaskan bekalan tanah yang mencukupi melalui program IGLS” bagi memastikan bekalan ruang perindustrian yang mencukupi di Singapura.
Enam tapak berada dalam senarai disahkan dan berkeluasan kira-kira 8.58 hektar, lebih kecil berbanding 9.71 hektar (tujuh tapak) yang disahkan pada separuh pertama 2025.
Dua tapak dalam senarai simpanan bagi separuh pertama 2026 pula seluas 2.52 hektar, juga berkurang berbanding 4.36 hektar (tiga tapak simpanan) pada separuh pertama 2025.
Pengurangan bekalan ruang perindustrian tahun ke tahun bagi separuh pertama 2026 itu berlaku ketika kadar sewa perindustrian meningkat; indeks sewaan melonjak 2.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2025, berdasarkan data Perbadanan Bandar Jurong (JTC) yang dikeluarkan pada Oktober.
Namun begitu, bekalan tanah perindustrian bagi separuh pertama 2026 menunjukkan peningkatan berbanding tempoh enam bulan sebelumnya.
Di bawah program IGLS separuh kedua 2025, MTI telah menawarkan enam tapak seluas 7.43 hektar.
Lima tapak disahkan meliputi 5.25 hektar, manakala satu tapak simpanan selebihnya berkeluasan 2.18 hektar.
Yang menarik, satu-satunya tapak simpanan separuh kedua 2025 di Tuas Road, akan dipindahkan ke senarai simpanan bagi separuh pertama 2026.
Tapak simpanan hanya akan diaktifkan untuk tender jika harga minimum yang boleh diterima oleh pemerintah tercapai.
JTC akan bertindak sebagai ejen penjualan bagi semua tapak ini, tambah MTI.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg