Pertubuhan sumber manusia (HR) telah memberikan sokongan terhadap Rang Undang-Undang penting yang diluluskan di Parlimen pada 8 Januari, bertujuan untuk menangani diskriminasi di tempat kerja.
Rang Undang-Undang tersebut memberikan perlindungan lebih besar kepada pekerja daripada sebarang prasangka berdasarkan usia, bangsa dan kewarganegaraan.
Namun, mereka juga menyatakan masih ada ruang untuk meningkatkan perlindungan hak pekerja, terutamanya bagi perniagaan kecil yang mempunyai kurang daripada 25 pekerja.
Perniagaan sebegini akan dikecualikan daripada perundangan tersebut selama lima tahun selepas ia berkuat kuasa, lapor The Straits Times (ST).
Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja menetapkan bahawa membuat keputusan pekerjaan, seperti pengambilan, pemecatan dan penilaian, berdasarkan lima ciri yang menyalahi undang-undang – usia; kewarganegaraan; jantina, status perkahwinan, status kehamilan dan tanggungjawab penjagaan; bangsa, agama dan bahasa; dan kecacatan dan keadaan kesihatan mental.
Menurut perundangan ini, majikan juga perlu menyediakan proses pengendalian aduan dan memaklumkan pekerja mengenai prosedur tersebut.
Majikan perlu menjalankan siasatan, mencatatkan proses tersebut dan menyampaikan hasilnya kepada pekerja yang membuat aduan, dengan memastikan kerahsiaan pekerja tersebut dilindungi.
Perundangan itu akan melarang sebarang bentuk pembalasan – seperti pemecatan, pemotongan gaji atau gangguan – terhadap kakitangan yang melaporkan diskriminasi di tempat kerja.
Sebagai respons terhadap Rang Undang-Undang tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP), Encik Aslam Sardar, berkata syarikat kecil dan sederhana (SME), terutamanya yang tidak mempunyai fungsi sumber manusia yang khusus, mungkin menghadapi cabaran dalam melaksanakan proses tersebut disebabkan kekurangan panduan dan sumber.
Encik Aslam menekankan bahawa perundangan itu bukan hanya sekadar mandat pematuhan, tetapi juga peluang untuk mengukuhkan budaya organisasi dan mempertingkatkan amalan tempat kerja di Singapura.
Institut Sumber Manusia Singapura (SHRI) menyatakan ia akan memberi tumpuan untuk membekalkan organisasi dengan sumber seperti kursus pembangunan profesional pendek dan latihan dalaman, untuk memupuk keadilan dalam amalan teras mereka, sambil memberikan “sokongan yang disasarkan untuk perniagaan kecil”.
Seorang jurucakap SHRI menambah bahawa institut tersebut telah menganjurkan bengkel dan sesi perbincangan berkaitan perundangan keadilan tempat kerja, terutamanya untuk syarikat yang tiada dasar mantap atau yang ingin mengukuhkan rangka kerja sumber manusia mereka.
Ini termasuk kursus selama lapan jam mengenai pengurusan aduan dan gangguan di tempat kerja.
Kumpulan dan karyawan sumber manusia berkata mereka sedang membuat persiapan untuk perubahan ini di dalam organisasi mereka, termasuk merancang menjalankan latihan untuk jabatan tersebut.
Cik Juliet Tan, pengasas firma perundingan HR Emplifi, berkata:
“Bagi firma penyumberan luar HR dan pengambilan seperti HR Emplifi, saya mampu dan berminat untuk melatih pengurus klien saya, lebih 80 orang dalam satu masa.
“Kebanyakan SME tidak akan dapat menjalankan latihan seperti ini tanpa jabatan sumber manusia dalam syarikat.”
Encik Adrian Choo, ketua eksekutif Career Agility, berkata walaupun Rang Undang-Undang tersebut baik kerana menyatakan dengan jelas hukuman diskriminasi di tempat kerja dan memberi kuasa penguatkuasaan kepada pihak berkuasa, masih banyak yang boleh dilakukan.
Salah satu perkara yang beliau tekankan adalah banyak SME dikecualikan daripada perundangan ini selama lima tahun.
“Syarikat juga tidak seharusnya dibenarkan mengajukan soalan diskriminasi semasa temu duga kerja dan maklumat tersebut tidak patut dimasukkan dalam borang permohonan kerja syarikat,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg