Rumah kedai pemuliharaan ikonik Cuppage Terrace di Orchard Rd ditawar untuk jualan
Rumah kedai pemuliharaan ikonik Cuppage Terrace di Orchard Rd ditawar untuk jualan
Langkah susuli tawaran jualan kolektif pusat beli-belah The Centrepoint
Syarikat Royal Holdings milik jutawan hartanah, Encik Raj Kumar, telah menawarkan Cuppage Terrace, deretan 17 buah rumah kedai pemuliharaan yang ikonik di Orchard Road, untuk dijual.
Langkah ini menyusul selepas tawaran penjualan secara kolektif pusat beli-belah The Centrepoint yang terletak bersebelahan di Orchard Road.
Dianggarkan bernilai $250 juta, Cuppage Terrace menempatkan pelbagai premis makanan dan minuman (F&B) di atas tanah seluas 28,986 kaki persegi, dan menghadap terus ke blok belakang The Centrepoint, yang telah ditawarkan untuk dijual kira-kira dua minggu lalu pada harga $418 juta.
Pengarah eksekutif pasaran modal (Singapura) di firma CBRE, Encik Clemence Lee, yang memasarkan hartanah itu, berkata: “Buat pertama kali dalam tempoh lebih 20 tahun, Cuppage Terrace, pusat F&B dan gaya hidup yang ikonik serta popular di Orchard Road, akhirnya ditawarkan di pasaran.”
Cuppage Terrace terdiri daripada 17 buah rumah kedai pemuliharaan Peranakan yang bersebelahan, dengan keluasan lantai keseluruhan sekitar 50,891 kaki persegi.
Ini termasuk kawasan makan luar seluas lebih 12,000 kaki persegi.
Hartanah tersebut mempunyai baki pajakan sekitar 62 tahun daripada tempoh pajakan 99 tahun.
Menurut Encik Lee, pelancaran proses ‘kenyataan minat’ bagi Cuppage Terrace merupakan antara tawaran rumah kedai pemuliharaan terbesar di Singapura.
Walaupun Frasers Property, pemaju The Centrepoint, dilihat sebagai calon utama bagi tapak Centrepoint untuk kemungkinan dibangunkan semula, tawaran Cuppage Terrace mungkin menjadi pilihan menarik kepada pelabur yang ingin memperoleh aset utama di Orchard Road.
Pemilikan kedua-dua aset, iaitu The Centrepoint dan Cuppage Terrace, bakal meletakkan pemaju dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan skim Insentif Pembangunan Strategik (SDI) bagi cadangan pembangunan semula, lapor The Business Times baru-baru ini.
Salah satu kemungkinan ialah menggabungkan rumah-rumah kedai pemuliharaan itu ke dalam satu pembangunan baru yang merangkumi sebuah hotel bersama ruang runcit.
Frasers Property juga berada dalam kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan SDI itu.
Ia memiliki 51 Cuppage Road, sebuah bangunan pejabat 10 tingkat yang dihubungkan dengan The Centrepoint melalui jejantas.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan itu bagi Singapura, Cik Soon Su Lin, berkata dalam taklimat pendapatan pada 2025 bahawa Frasers Property terus meneroka konsep baru bagi menaik taraf campuran penyewa pusat beli-belah tersebut, sambil mengambil kira perancangan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagi kawasan itu di bawah SDI.
Encik Lee menambah, tingkat bawah Cuppage Terrace kini disewa sepenuhnya oleh pelbagai pengendali F&B yang mantap, termasuk hidangan artisan dan sajian antarabangsa.
Beliau berkata portfolio rumah kedai yang besar dan bersebelahan amat jarang ditemui dan biasanya tidak berada lama di pasaran.
Dalam tempoh lima tahun lalu, aset sebegini telah diperoleh dengan pantas oleh pelabur untuk pegangan jangka panjang.
Sebagai contoh, beberapa tawaran rumah kedai utama seperti The Rail Mall dan hartanah di Mosque Street, Jalan Sultan dan Lavender Street semuanya mencatatkan urus niaga pantas selepas diperkenalkan ke pasaran, mencerminkan permintaan yang kukuh.
CBRE menjangkakan minat yang tinggi daripada pelbagai pembeli, termasuk pejabat keluarga, dana pelaburan dan individu dengan nilai bersih tinggi.
Proses kenyataan minat bagi Cuppage Terrace akan ditutup pada 12 Februari.

