Saiz kecil negara ini boleh menjadi satu kelebihan bagi Singapura dalam persaingan sedunia bagi membina tenaga kerja yang bersedia untuk kecerdasan buatan (AI), kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
“Disebabkan negara kita sangat padat, lebih mudah bagi kita melaksanakan program latihan dan peningkatan kemahiran dalam AI serta memupuk kefahaman asas tentang AI. Di negara yang mempunyai jumlah penduduk yang besar, perkara ini jauh lebih sukar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan santai bersama Ketua Eksekutif DBS, Cik Tan Su Shan, pada hari pertama Pesta FinTech Singapura 2025 di Singapore Expo.
Singapura mahu melihat AI pada tiga peringkat berbeza, menurut Encik Gan, lapor The Straits Times (ST).
Pada peringkat pertama, Singapura mahu memastikan setiap syarikat, besar mahupun kecil, dan para pelanggan mempunyai pemahaman asas mengenai AI, katanya.
Peringkat kedua melibatkan pembangunan keupayaan untuk menggabungkan AI ke dalam sistem perniagaan.
“Ini adalah pengintegrasi sistem AI. Mereka meneliti sesuatu perniagaan dan melihat bagaimana AI boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi perniagaan tersebut.”
Peringkat ketiga dan tertinggi melibatkan pembangunan teknologi, aplikasi dan alat baru, katanya.
Singapura merupakan antara negara terawal yang mempunyai rancangan strategik AI.
Negara ini melancarkan Strategi AI Nasional 2.0 pada 2023, iaitu versi dikemas kini bagi rancangan memperluaskan penggunaan AI.
Encik Gan menekankan keperluan pekerja menjalani latihan, sambil menambah bahawa syarikat perlu menganggap latihan sebagai satu bentuk pelaburan dalam tenaga kerja mereka.
“Kita perlu meluangkan masa. Pemerintah telah membuat banyak pelaburan dalam latihan dan peningkatan kemahiran.
“Kita perlu terima hakikat bahawa latihan dan peningkatan kemahiran merupakan pelaburan, dan pelaburan itu memerlukan masa yang diambil daripada tugas harian,” ujarnya.
Syarikat juga perlu bertanggungjawab membenarkan pekerja mengikuti latihan dan peningkatan kemahiran, serta percaya pelaburan ini akan membawa pulangan kepada pekerja dan syarikat pada masa hadapan, kata Encik Gan.
Para pekerja juga mempunyai tanggungjawab melatih dan meningkatkan kemahiran mereka sendiri tanpa bergantung pada dorongan orang lain, tambah beliau.
Mengenai usaha mengekalkan kemahiran yang sesuai, Encik Gan berkata pekerjaan sentiasa berubah dan masyarakat perlu sentiasa merancang ke hadapan untuk menyesuaikan diri dengan pekerjaan masa depan.
“Jika anda masih melakukan perkara yang sama seperti lima tahun lalu, saya fikir anda berada dalam keadaan berisiko,” katanya.
“Jika kita dapat memastikan pekerja dan kemahiran kita kekal relevan, saya percaya mereka akan dapat menyesuaikan diri dan berkembang seiring dengan perubahan pekerjaan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg