Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: Majikan perlu main peranan bentuk semula tenaga kerja

Usaha jadi asas strategi niaga mampan pada masa hadapan
Nov 4, 2025 | 6:20 PM
DPM Gan, pekerja, majikan
Untuk kekal berdaya saing dan berdaya tahan, majikan mesti menyelaras strategi perniagaan dan modal insan, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa berucap pada majlis ulang tahun ke-45 Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) pada 4 November di Hotel InterContinental Singapore di Bugis.  - Foto ST

Majikan diajak memainkan peranan penting dalam membentuk semula tenaga kerja agar sejajar dengan keperluan bakat yang kian berubah, memandangkan usaha itu menjadi asas kepada strategi perniagaan yang mampan pada masa hadapan.

Hanya dengan cara itu, majikan dapat memanfaatkan peluang daripada perubahan teknologi, demografi dan ekonomi sejagat yang melanda dunia.

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pada 4 November di Hotel InterContinental Singapore di Bugis.

“Untuk kekal berdaya saing dan berdaya tahan, majikan mesti menyelaras strategi perniagaan dan modal insan,” kata beliau ketika berucap sebagai tetamu terhormat pada majlis ulang tahun ke-45 Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef).

Menurutnya, peranan Snef kini adalah membantu majikan memimpin dengan penuh tanggungjawab, menukar ketidaktentuan menjadi peluang, serta membina tempat kerja yang berdaya penghasilan tinggi serta bersifat terangkum.

Snef akan mempergiat usaha membantu majikan menyesuaikan diri dengan perubahan dan membina tenaga kerja yang tangkas melalui empat langkah.

Ia termasuk, bertindak berdasarkan pandangan sektor; mempercepat reka bentuk semula pekerjaan; wujudkan tempat kerja yang adil menjelang pelaksanaan undang-undang keadilan 2027; serta memperkasa bidang pengurusan sumber manusia.

“Langkah-langkah ini akan membantu majikan menghadapi perubahan dengan yakin, membina kepercayaan dan mewujudkan peluang untuk semua,” tambah Encik Gan.

Pandangan beliau sejajar dengan kenyataan Presiden Snef, Encik Tan Hee Teck, dalam temu bualnya bersama The Straits Times (ST) pada 31 Oktober.

Sebagai sebahagian hala tuju baru itu, Snef memperkenalkan pusat sehenti yang menggabungkan khidmat nasihat, perundingan dan pembangunan perniagaan. 

Pusat itu juga menyediakan nasihat sumber manusia dan undang-undang, portal dalam talian dengan kajian kes serta panduan geran pemerintah bagi menyokong transformasi tenaga kerja.

Panel penasihat penyelidikan baru turut ditubuhkan bagi membantu penyelidikan Snef agar lebih berpandangan jauh daripada sudut majikan. 

Antara ahli panel adalah Profesor Hoon Hian Teck dan Profesor Madya Kim Seonghoon dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU); serta Profesor Madya Ravi Chandran dan Profesor Tersohor, Dr Ivan Png, dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Turut hadir di acara itu ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; Presiden NTUC, Cik K. Thanaletchimi dan Presiden Snef, Encik Tan.

Majlis yang diadakan di Hotel InterContinental Singapore itu turut menampilkan ucapan Ketua Pegawai Teknologi Ant Group, Dr He Zhengyu, mengenai bagaimana kecerdasan buatan (AI) akan mengubah masyarakat.

Ant Group ialah syarikat teknologi kewangan yang mempunyai kaitan rapat dengan gergasi teknologi China, Alibaba.

Beliau menegaskan gelombang AI kali ini ternyata berbeza, kerana ia bukan sekadar meningkatkan daya penghasilan bahkan turut mentakrifkan semula kecerdasan manusia, lapor ST lagi.

AI, katanya, harus dilihat sebagai hubungan antara guru dengan murid, di mana manusia dan mesin saling belajar.

Beliau turut memberi contoh juara Paralimpik China, Lai Xiaojuan, yang kini bekerja secara jarak jauh sebagai wakil khidmat pelanggan, sebagai bukti AI juga boleh mewujudkan pekerjaan yang lebih bersifat terangkum.

Sesi itu diakhiri dengan perbincangan panel bersama pemimpin industri, termasuk Cik Rowena Yeo dari Johnson & Johnson, yang menekankan kepentingan membangunkan kemahiran AI seiring pelaburan teknologi, serta potensi AI menampung kekurangan tenaga kerja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg