SME boleh guna geran hingga $10j untuk bantu guna AI
Syarikat kecil dan sederhana (SME) di Singapura akan menerima sokongan tambahan bagi menggunakan kecerdasan buatan (AI) menerusi penggunaan dana hingga $10 juta dalam bentuk geran pemerintah sedia ada bagi transformasi digital.
Demikian diumumkan oleh Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME) semasa acara AI Festival Asia 2026 (AIFA 2026), yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 23 Januari.
Berlangsung dari 22 hingga 23 Januari, acara tahunan anjuran ASME itu memaparkan penyelesaian AI praktikal untuk SME, termasuk operasi yang didigitalkan, aliran kerja yang direka semula, serta peranan dwibahasa AI yang meningkatkan daya penghasilan dan prestasi perniagaan.
Usaha menggerakkan geran tersebut akan dilaksanakan melalui Pusat SME@AiTE, yang akan membantu SME merangka projek AI serta mengakses skim geran pemerintah sedia ada buat mereka.
Pusat tersebut ditubuhkan oleh ASME dan ITE.
“Dengan membantu syarikat memanfaatkan geran dan program tersedia, pusat ini bertujuan menyediakan rangka keselamatan yang membolehkan syarikat mikro dan kecil menguji serta menggunakan aliran kerja berasaskan AI tanpa kebimbangan melebihi kapasiti operasi mereka dengan teknologi yang belum terbukti,” kongsi ASME dalam satu kenyataan media pada 23 Januari.
Menyentuh tentang sokongan tersebut, Naib Presiden ASME, Cik Hamidah Aidillah Mustafa, menekankan peranan penting perusahaan mikro dan kecil dalam tenaga kerja Singapura.
“Syarikat mikro dan kecil secara kolektif menggajikan sekitar 45 peratus tenaga kerja kita.
“Dengan menggerakkan sehingga $10 juta dalam bentuk sokongan, kami mahu lebih banyak perusahaan mikro dan kecil beralih daripada mempunyai hasrat, kepada pelaksanaan sebenar transformasi digital,” kongsi beliau.
Bagi membantu SME mengakses geran itu dengan lebih mudah, ASME turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan United Overseas Bank (UOB) bagi merasmikan kerjasama yang membolehkan SME mendapatkan pembiayaan sebelum geran disalurkan.
Mengulas lebih lanjut mengenai MoU tersebut, Ketua Negara, Perbankan SME (Perusahaan Muncul) bagi UOB, Encik Paul Kan, berkata ia bertujuan membantu SME membina kemampuan digital jangka panjang bagi memperkukuh kesiapsiagaan mereka menyertai rantaian nilai perniagaan yang lebih luas.
“Penggunaan alat digital dan AI adalah penting bagi SME untuk terus relevan dan berdaya saing dalam landskap perniagaan yang berkembang pesat.
“Kerjasama kami dengan ASME bertujuan mempercepat perjalanan transformasi digital SME dengan menutup jurang pembiayaan.
“Ini membolehkan SME mengurangkan tekanan terhadap sumber mereka, supaya mereka dapat menumpukan perhatian kepada pertumbuhan dan pembangunan strategik,” ujar beliau.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, menutup tirai AIFA 2026 dengan sesi perbincangan fireside chat, di mana beliau menekankan peranan penting yang dimainkan oleh perniagaan mikro dan keluarga dalam ekonomi Singapura.

