Walaupun pelepasan karbon kelihatan seolah-olah hanya menjejaskan syarikat besar, ia sebenarnya penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Inilah yang dipelajari oleh 42 syarikat SME melalui Program Ratu Lebah Dekarbonisasi Pembekal SME anjuran syarikat hartanah gergasi CDL, yang mereka tamatkan pada Oktober lalu.
Program enam bulan itu dilancarkan pada 2024 dengan sokongan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan kerjasama perunding kemampanan Global Green Connect, lapor The Business Times (BT).
Matlamatnya ialah membantu pembekal SME CDL membangunkan pelan hala tuju dekarbonisasi, mengguna pakai amalan perakaunan karbon dan menyelaraskan diri dengan rangka kerja pelaporan global seperti CDP dan inisiatif sasaran berasaskan sains, agar mereka dapat menjejak serta mengurangkan pelepasan karbon dengan lebih berkesan.
Encik James Yin, ketua pegawai eksekutif syarikat penyelesaian pertanian V-Plus Agritech, berkata program ini mempunyai dua landasan – tahap syarikat dan tahap produk.
SME menilai pelepasan karbon keseluruhan syarikat, serta menilai produk berdasarkan kitaran hayatnya – daripada pembekal huluan hingga pelupusan.
Ini menghasilkan dua set data pelepasan: syarikat dan produk.
“Kami boleh menganggarkan data ini – contohnya, jika menjual 10 unit produk, apa kesannya terhadap pelepasan karbon?” kata Encik Yin, yang kini melihat pelaporan karbon sebagai penting untuk pertumbuhan perniagaan kerana rakan kongsi semakin kerap memintanya.
Encik Lester Leong, pengasas bersama dan CEO syarikat cat Gush, turut menyertai program tersebut.
Beliau berkata produknya meningkatkan mutu udara dalaman dan mengurangkan tenaga, tetapi syarikat kurang memahami jejak karbon sebenar setiap produk.
Program ini membolehkannya mendapat bimbingan daripada pakar gas rumah hijau dan kaedah pengumpulan data.
“Ia merapatkan jurang antara cerita kemampanan yang baik dengan metrik yang sahih,” katanya.
Sebagai SME, Gush berdepan cabaran seperti kurang pengetahuan, sumber terhad dan isu peruntukan modal.
Melalui program ini, pihak pengurusan meneliti kitaran hayat produk dan melihat ruang perubahan sebenar, termasuk merancang cara memperkemas logistik untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Encik Leong turut membangunkan pelan hala tuju dekarbonisasi yang “bercita-cita tinggi tetapi munasabah”, serta memupuk budaya bertanggungjawab dalaman dalam menjejak metrik kemampanan.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan CDL, Encik Sherman Kwek, berkata SME memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat sifar bersih Singapura.
Ketua kemampanan CDL, Cik Esther An, menambah dunia tidak akan mencapai sifar bersih tanpa SME yang merangkumi lebih 99 peratus perusahaan tempatan dan menyumbang lebih 40 peratus pelepasan gas rumah hijau negara.
Cik An berkata perakaunan karbon masih baru bagi SME, dan CDL mahu membantu pembekalnya menghasilkan data Skop Tiga yang lebih dipercayai.
Pelepasan Skop Tiga ialah pelepasan gas rumah hijau tidak langsung dari rantaian nilai yang tidak dimiliki atau dikawal syarikat.
Di Singapura yang bergantung pada import, penting untuk melihat reka bentuk produk, bahan yang digunakan serta jejak karbon dalam keseluruhan rantaian bekalan.
Program Ratu Lebah merangkumi perundingan individu, bengkel dan tutorial.
EnterpriseSG berkata SME mendapat panduan menyeluruh dan penyelesaian teknologi yang memudah serta mempercepatkan proses pengumpulan data karbon.
Berdasarkan maklum balas kohort pertama, CDL akan memendekkan program kepada 14 minggu tanpa mengurangkan hasil pembelajaran.
CDL juga bercadang meluaskan program ini ke aspek pelaporan kemampanan lain.
“Karbon hanyalah sebahagian kecil daripada pelaporan kemampanan. Setelah menguasainya, SME boleh melangkah ke aspek tadbir urus lain,” kata Cik An.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg