Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura antara tempat paling mudah untuk niaga tapi di belakang negara serantau kerana peraturan pematuhan, tenaga kerja

Aug 25, 2025 | 4:33 PM
Dalam kalangan negara Asia Pasifik, Singapura menduduki tangga keenam sebagai destinasi paling mudah untuk menjalankan perniagaan, di belakang New Zealand,  Hong Kong, Thailand, Vietnam, dan Taiwan.
Dalam kalangan negara Asia Pasifik, Singapura menduduki tangga keenam sebagai destinasi paling mudah untuk menjalankan perniagaan, di belakang New Zealand, Hong Kong, Thailand, Vietnam, dan Taiwan. - Foto ST

Singapura kekal sebagai antara tempat paling mudah untuk menjalankan perniagaan di rantau Asia-Pasifik (Apac), tetapi ia berada di belakang beberapa rakan serantau disebabkan peraturan antipengubahan wang haram yang ketat dan perlindungan tenaga kerja yang kukuh.

Kestabilan kawal selia negara ini, dan pendirian diplomatik Singapura yang tidak berpihak pada mana-mana negara, menjadi tarikan utama bagi syarikat yang mencari kepastian dalam persekitaran perniagaan yang tidak menentu, kata firma perkhidmatan profesional sejagat TMF Group.

Firma tersebut menyusun Indeks Kerumitan Perniagaan Sejagat tahunan berdasarkan faktor seperti keperluan pematuhan dan amalan sumber manusia.

Dalam indeks terkini firma tersebut, Singapura berada pada kedudukan ke-48 dalam senarai 79 negara.

Kedudukan lebih tinggi dalam indeks tersebut menunjukkan persekitaran perniagaan yang lebih rumit.

Persekitaran perniagaan Singapura dilihat kurang rumit berbanding Australia (ke-47), Jepun (ke-43), Malaysia (ke-25), Korea Selatan (ke-23), India (ke-18), Indonesia (ke-14) dan China (ke-10).

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Ketua Eksekutif TMF, Encik Mark Weil, berkata walaupun rangka kerja pematuhan Singapura menambah lapisan birokrasi, ia direka untuk menegakkan ketelusan dan kejujuran kewangan, lapor The Straits Times (ST).

“Badan kawal selia seperti Penguasa Kewangan Singapura (MAS) terkenal dengan kecekapannya, dan juga kerana mengekalkan piawaian tinggi, terutamanya dalam kewangan dan tadbir urus data,” katanya.

Dari segi sumber manusia, Singapura mempunyai perlindungan tenaga kerja yang ketat, termasuk caruman wajib ke Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan kuota pekerja asing.

Menurut Encik Weil, sekatan khusus mengikut sektor dalam pengambilan pekerja asing, dan peraturan berkaitan pas pekerjaan boleh melambatkan proses pengambilan pekerja oleh perniagaan.

Pengenalan aturan kerja fleksibel (FWA) pula menambah satu lagi lapisan kerumitan, tambahnya.

Mulai 1 Disember 2024, majikan di Singapura mesti mempertimbangkan secara adil permohonan rasmi bagi aturan kerja fleksibel daripada kakitangan mereka – dari segi lokasi kerja, waktu kerja dan beban kerja – di bawah garis panduan tiga pihak terkini.

Walaupun rangka kerja rasmi memberikan kejelasan, ia boleh menambah beban kerja pentadbiran yang ditetapkan bagi perniagaan, kata Encik Weil.

“Di negara lain, dasar sedemikian masih banyak bergantung kepada budi bicara majikan,” katanya.

Namun begitu, Singapura dijangka dapat terus menarik perniagaan yang menghargai pematuhan negara ini terhadap piawaian kewangan dan kawal selia sejagat.

Mengendalikan perniagaan di Singapura masih agak mudah, terutamanya bagi perusahaan berbilang negara (MNE) yang dapat menanggung kos pematuhan kawal selia, kata beliau.

“Cabaran lebih besar dalam landskap sejagat hari ini ialah ketidaktentuan.

“Sedang syarikat menilai semula kepastian undang-undang, pematuhan kawal selia, dan risiko geopolitik, Singapura berpotensi menawarkan ketiga-tiganya dalam persekitaran yang stabil,” jelas beliau.

Singapura juga mempunyai pendirian diplomatik yang tidak berpihak pada mana-mana negara, dan menjalin hubungan erat bersama negara Barat, Asia-Pasifik, dan negara Teluk.

“Dasar luar negara ini memberikan kepastian operasi bagi perniagaan yang mempunyai jejak sejagat,” kata Encik Weil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg