Singapura menaikkan ramalan pertumbuhan ekonominya bagi 2025 selepas prestasi suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan.
Namun, pertumbuhan dijangka perlahan pada 2026 akibat kesan tarif Amerika Syarikat (AS).
Kadar pertumbuhan hasil dalam negeri kasar (GDP) bagi 2025 dinaikkan kepada sekitar 4 peratus, berbanding ramalan 1.5 hingga 2.5 peratus pada Ogos, lapor The Straits Times (ST).
Dalam ramalan pertamanya bagi 2026, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menjangkakan ekonomi berkembang perlahan antara 1 hingga 3 peratus.
“Saya fikir faktor risikonya memang nyata,” kata Setiausaha Tetap MTI, Dr Beh Swan Gin.
“Kami terus bimbang akan kemungkinan semula ketegangan perdagangan.”
Peningkatan ramalan 2025 dibuat selepas ekonomi berkembang 4.2 peratus pada suku ketiga berbanding tahun lalu, lebih tinggi daripada anggaran awal 2.9 peratus.
Setelah disesuaikan mengikut musim, ekonomi berkembang 2.4 peratus, lebih pantas berbanding 1.7 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan bagi tiga suku pertama adalah 4.3 peratus secara purata, kurang sedikit berbanding 4.4 peratus pada 2024.
Pemulihan ini turut disokong sektor perkilangan, yang kembali berkembang 16.1 peratus pada September selepas penurunan pada Ogos, menurut data Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Angka ini jauh mengatasi ramalan penganalisis dalam satu tinjauan Bloomberg.
Eksport domestik bukan minyak (Nodx) juga melonjak 22.2 peratus pada Oktober berbanding tahun lalu, meningkat daripada pertumbuhan 7 peratus pada September, menurut data Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Bagi 10 bulan pertama 2025, Nodx meningkat 4.1 peratus, meskipun EnterpriseSG masih menjangkakan pertumbuhan sepanjang tahun sekitar 2.5 peratus.
Jumlah eksport meningkat 8.2 peratus pada suku ketiga dan melonjak 25.2 peratus pada Oktober, menunjukkan arus pertumbuhan yang mungkin kekal kukuh pada suku terakhir tahun.
Beberapa penganalisis telah menaikkan ramalan pertumbuhan 2025 melebihi anggaran yang dibuat MTI pada Ogos.
Dr Beh berkata sektor berkaitan perdagangan seperti perkilangan, perdagangan borong serta pengangkutan mengatasi jangkaan, dipacu oleh daya tahan rakan dagang serta perdagangan sedunia.
Sektor elektronik berkembang 6.1 peratus didorong permintaan kukuh terhadap cip dan pelayan berkaitan kecerdasan buatan (AI), manakala segmen infokom dan elektronik pengguna melonjak 67.6 peratus.
Sektor bioperubatan turut berkembang 8.9 peratus hasil pengeluaran bahan farmaseutikal bernilai tinggi.
MTI menjelaskan ramalan Ogos dipacu oleh aktiviti pembelian awal atau ‘front-loading’ akibat penangguhan tarif Amerika, serta persekitaran perdagangan sedunia yang bertambah baik.
‘Front-loading’ merujuk kepada pesanan awal bagi menyimpan stok sebelum kenaikan tarif yang dijangka
Namun kesan itu dijangka pudar, dan tarif timbal balik Amerika dijangka mula memberi kesan lebih ketara pada 2026.
Sejak itu, ekonomi sedunia ternyata lebih berdaya tahan, dengan pertumbuhan rakan dagang utama Singapura lebih baik daripada jangkaan.
Ledakan AI yang lebih kukuh juga menyokong pertumbuhan Amerika dan eksport cip serantau.
Ketegangan perdagangan turut reda selepas gencatan dagang Amerika-China dilanjutkan hingga 2026, dan pelaksanaan tarif sektor tertentu berlaku lebih perlahan.
Walaupun begitu, MTI menjangka sektor perkilangan dan perdagangan akan berkembang lebih perlahan pada 2026.
Dr Beh berkata tarif biasanya mengambil masa sebelum kesannya dirasai, bukan sahaja di Amerika, malah di seluruh dunia juga.
Menurutnya, pertumbuhan 2 hingga 3 peratus adalah biasa bagi ekonomi matang seperti Singapura, justeru ramalan 1 hingga 3 peratus bagi 2026 tidak dianggap terlalu muram.
MTI turut memberi amaran peningkatan semula tarif atau ketegangan politik sejagat boleh menjejaskan sentimen dan mendorong syarikat serta isi rumah mengurangkan pengambilan pekerja, pelaburan dan perbelanjaan.
Pembetulan mendadak dalam pasaran kewangan juga boleh memberi kesan limpahan kepada pertumbuhan ekonomi.
Pakar ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng, berkata ramalan MTI mencerminkan ‘daya tahan terukur’, iaitu keupayaan ekonomi menahan kejutan.
DBS menjangka pertumbuhan 4 peratus pada 2025 dan sederhana kepada 1.8 peratus pada 2026.
Ketua pakar ekonomi OCBC, Cik Selena Ling, berkata ramalan lebih rendah MTI turut mengambil kira kemungkinan tarif Amerika ke atas pengeluar peralatan semikonduktor, walaupun semikonduktor masih dikecualikan daripada levi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg