Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Hampir 70% majikan fikir kerja 4 hari seminggu boleh dilaksana

Sep 25, 2024 | 1:56 PM
Kira-kira dua daripada 10 majikan berkata mereka bersedia menawarkan waktu kerja lebih fleksibel pada Jumaat, dan bahagian yang sama terbuka kepada konsep bekerja selama 4½ hari dalam seminggu.
Kira-kira dua daripada 10 majikan berkata mereka bersedia menawarkan waktu kerja lebih fleksibel pada Jumaat, dan bahagian yang sama terbuka kepada konsep bekerja selama 4½ hari dalam seminggu. - Foto ST

Hampir tujuh daripada 10 majikan di Singapura berpendapat bahawa pengaturan bekerja empat hari seminggu adalah satu konsep yang boleh dilaksanakan, menurut tinjauan pendapat baru-baru ini.

Ini meletakkan Singapura di tengah-tengah kumpulan dalam kalangan 11 pasaran Asia yang dikaji, termasuk Malaysia, Hong Kong dan Korea Selatan, sedang isu pengaturan kerja yang fleksibel hangat dibincangkan di seluruh dunia.

Peratusan majikan yang sama (69 peratus) percaya pengaturan sedemikian boleh meningkatkan tahap produktiviti, kata syarikat pengambilan pekerja Robert Walters pada 24 September, lapor The Straits Times.

Pekerja jauh lebih bersemangat, dengan 93 peratus berkata mereka mahu majikan mereka laksanakan percubaan empat hari bekerja dalam seminggu.

Apabila ia tiba pada pengukuhan pengaturan itu, majikan di sini lebih berhati-hati berbanding rakan sejawat di Asia Tenggara.

Hanya 18 peratus majikan Singapura berkata mereka punyai rancangan untuk atau sedang pertimbangkan peralihan kepada bekerja empat hari seminggu dalam tempoh dua tahun akan datang, berbanding purata serantau 37 peratus.

Kira-kira dua daripada 10 majikan di sini berkata mereka bersedia menawarkan waktu kerja yang lebih fleksibel pada Jumaat, dan jumlah majikan yang sama terbuka untuk konsep bekerja 4½ hari seminggu.

Tinjauan yang dijalankan pada Mac dan April 2024 itu, meliputi lebih 5,000 karyawan dan syarikat.

Tahap penerimaan adalah tertinggi di Malaysia, di mana 79 peratus majikan berkata konsep bekerja empat hari seminggu boleh dilaksanakan, diikuti Thailand (77 peratus) dan Filipina (75 peratus).

Terendah ialah Vietnam (54 peratus) dan Jepun (56 peratus).

Idea bekerja empat hari seminggu telah mendapat tarikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan percubaan berskala besar di beberapa negara lain.

Di Britain, misalnya, projek perintis enam bulan pada 2022 melibatkan 61 pertubuhan dan kira-kira 2,900 pekerja mendapat keputusan yang berbeza.

Separuh majikan membuat perubahan kekal.

Di Belgium, sejak 2022, pekerja boleh memilih waktu bekerja lebih panjang selama empat hari, sebagai ganti bekerja lima hari seminggu, dengan gaji yang sama.

Pekerja Singapura yang ghairah memanjangkan hujung minggu mereka tidak lama lagi akan mempunyai cara lebih tersusun untuk mengemukakan permintaan mereka.

Majikan mesti pertimbangkan secara adil permintaan rasmi untuk kerja fleksibel mulai 1 Disember, di bawah Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Permintaan Pengaturan Kerja Fleksibel yang dilancarkan pada awal 2024.

Tetapi pemerintah menegaskan bahawa kerja fleksibel tidak sama dengan bekerja empat hari seminggu, kerana terdapat jenis aturan lain seperti kerja sambilan, bekerja dari rumah dan waktu kerja berperingkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg