Kebanyakan majikan di sini sedang menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat akibat kejutan tenaga yang dicetuskan oleh perang Iran, dengan sebahagian perniagaan mula membekukan pengambilan pekerja dan mengurangkan faedah, menurut satu tinjauan terkini.

Dijalankan oleh Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), tinjauan kilat itu mendapati 96 peratus daripada majikan yang ditinjau menghadapi kos operasi yang lebih tinggi, dengan harga tenaga mendorong kenaikan kos perkhidmatan asas, bahan api, bahan mentah dan pengangkutan.

Hampir satu daripada lima atau 19 peratus daripada mereka melaporkan peningkatan kos yang ketara melebihi 25 peratus. Sebanyak 41 peratus lagi melaporkan kenaikan sederhana antara 11 dengan 25 peratus, manakala selebihnya melaporkan kenaikan kecil antara 1 dengan 10 peratus.

Lebih separuh daripada majikan yang ditinjau juga menganggap kos tenaga kerja sebagai cabaran utama.

Dengan lonjakan perbelanjaan tenaga dan bahan api, perniagaan di sini juga perlu menghadapi kos lebih tinggi bagi bahan mentah, bekalan dan logistik.

Apabila pasaran menyesuaikan diri dengan persekitaran operasi yang lebih mahal, majikan dalam sektor layanan tamu, makanan dan minuman serta runcit turut menghadapi peningkatan kos tenaga kerja sementara.

Namun kebanyakan majikan, iaitu 83 peratus, berkata mereka tidak membuat sebarang perubahan dari segi kakitangan atau pengaturan kerja.

Dalam kalangan yang berbuat demikian, ramai menangguhkan pengambilan pekerja dan pelan pengembangan (67 peratus), menempatkan semula atau melatih semula kakitangan (33 peratus), atau mengurangkan tenaga kerja melalui pengurangan semula jadi (33 peratus).

Pengurangan semula jadi merujuk kepada keadaan apabila pekerja berhenti sendiri, bersara, atau tamat kontrak tanpa diperbaharui dan tidak digantikan.

Satu daripada empat mengurangkan bonus, elaun dan faedah, manakala kira-kira satu daripada lima mengurangkan waktu kerja.

“Ini sebahagian besarnya langkah terancang untuk mengurus kos sambil mengekalkan pekerjaan,” kata Snef dalam kenyataan medianya pada 20 April.

Ramai majikan kekal berwaspada, dengan 39 peratus berpandangan suram bagi tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Kebanyakan berkata pelepasan cukai atau bantuan pembiayaan (83 peratus) ialah sokongan paling berguna jika harga tenaga kekal tinggi. Mereka juga menggesa pelepasan kos tenaga dan subsidi serta penangguhan perubahan dasar tenaga kerja yang boleh meningkatkan kos.”

Di bawah Belanjawan 2026, majikan yang menggaji pekerja asing dijangka perlu membayar lebih mulai 2027, dengan gaji kelayakan terendah bagi pemegang Pas Pekerjaan (EP) meningkat daripada $5,600 kepada $6,000, dan bagi pemegang Pas S (SP), daripada $3,300 kepada $3,600.

Ketua Pegawai Eksekutif (CE) Snef, Encik Hao Shuo berkata: “Memandangkan keadaan ekonomi sedunia kekal tidak menentu, kami berharap pemerintah mempertimbangkan keadaan semasa dalam melaksanakan perubahan dasar tenaga kerja asing, serta memperkenalkan sokongan berperingkat di bawah Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) yang dipertingkatkan bagi membantu majikan menaikkan gaji pekerja berpendapatan rendah mereka.”

Tinjauan Snef, yang dijalankan antara 10 dengan 16 April, menerima maklum balas daripada 210 syarikat dalam sektor kewangan, perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan.

Kebanyakan responden, 153 daripadanya merupakan perusahaan kecil dan sederhana (SME), dengan kurang 200 pekerja atau perolehan tahunan kurang $100 juta.