Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Unit UOB mahu bantu wujudkan sejuta pekerjaan di Asia

Aug 26, 2024 | 2:57 PM
Sepanjang 2023, pasukan penasihat pelaburan asing secara langsung (FDI) UOB membantu lebih 500 syarikat meluaskan niaga di rantau ini. Ia mengendali 10 pusat FDI di Asean dan Asia seperti di Singapura, Malaysia, Indonesia (gambar), Thailand, Vietnam, Myanmar, China, Hong Kong, Jepun dan India.
Sepanjang 2023, pasukan penasihat pelaburan asing secara langsung (FDI) UOB membantu lebih 500 syarikat meluaskan niaga di rantau ini. Ia mengendali 10 pusat FDI di Asean dan Asia seperti di Singapura, Malaysia, Indonesia (gambar), Thailand, Vietnam, Myanmar, China, Hong Kong, Jepun dan India. - Foto ZAOBAO

Di unit penasihat pelaburan asing secara langsung (FDI) UOB, kejayaan diukur berdasarkan bilangan pekerjaan yang diwujudkan melalui usaha membantu syarikat memulakan perniagaan di Asia.

Bank Singapura itu telah menetapkan satu matlamat tinggi, iaitu membantu mewujudkan sejuta pekerjaan di Asia.

Sejak dimulakan pada 2011, unit tersebut, yang menyediakan khidmat sehenti bagi membantu syarikat yang berminat memulakan perniagaan di Asia, telah menyokong lebih 4,500 syarikat mencapai cita-cita untuk melebarkan sayap di rantau ini.

Sepanjang 2023 sahaja, pasukan penasihat FDI itu membantu lebih 500 syarikat meluaskan niaga di rantau ini.

Usaha bank itu berjaya menghasilkan sekitar 200,000 pekerjaan sejak 2020, lapor The Business Times (BT).

Menurut ketua unit penasihat FDI UOB, Encik Sam Cheong, matlamat mewujudkan sejuta pekerjaan itu ditetapkan dengan mengambil kira jenis pekerjaan yang diinginkan pelbagai negara Asia.

Pasukan itu bekerja rapat dengan rakan kongsi seperti agensi pemerintah dan syarikat sumber manusia di seluruh dunia, dalam usaha membantu syarikat melakar strategi menarik bakat pekerja bagi perniagaan mereka di luar negara.

Encik Cheong menekankan bahawa bank itu bukanlah sebuah perusahaan sosial, sebaliknya adalah satu entiti perniagaan dengan sasaran pendapatan.

“Tetapi kami percaya masih ada cara untuk kami mengaitkan usaha melakukan kebaikan sosial dengan perniagaan,” ujarnya.

Unit UOB tersebut kini mengendali 10 pusat FDI di Asean dan Asia, di Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Myanmar, China, Hong Kong, Jepun dan India.

Selain huraian perbankan yang ditawarkan UOB, pasukan penasihat FDI turut berkongsi pengetahuan pasaran dan memberi sokongan kepada syarikat kecil dan sederhana (SME) yang berminat memasuki pasaran baru.

Menurut Encik Cheong, apabila sesebuah syarikat melebarkan sayap ke pasaran baru, ia seringkali ingin lebih memahami mengenai perkara seperti di negara mana ia harus melabur terlebih dahulu, sama ada sesebuah negara mempunyai bakat yang dapat menyokong perniagaannya, dan insentif niaga di negara berkenaan.

Unit penasihat FDI bank itu turut menjawab soalan mengenai sistem perundangan di pelbagai negara, insentif dan dasar cukainya, serta perjanjian perdagangan di rantau ini.

Perkara lain yang dijawab termasuk sama ada sesebuah syarikat perlu menubuhkan ibu pejabat serantau di negara seperti Singapura, selain soal pengurusan risiko.

“Semua ini adalah analisis yang perlu dijalankan oleh syarikat sebelum membuat pelaburan.

“Kami berasa jika kami dapat membantu mereka menangani beberapa isu ini, kami akan mempunyai kelebihan perniagaan,” jelas Encik Cheong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg