Topik diikuti
Pergi ke BHkuVisa tubuh 6 hab teknologi global di S’pura, himpun 1,500 pekerja di pusat Paya Lebar
Visa tubuh 6 hab teknologi global di S’pura, himpun 1,500 pekerja di pusat Paya Lebar
Syarikat gergasi pembayaran digital, Visa, bakal menubuhkan enam hab di Singapura bagi membina keupayaan dalam teknologi memuncul seiring dengan perkembangan landskap pembayaran global.
Pusat baharunya di Paya Lebar Green akan menghimpunkan sekitar 1,500 kakitangan merangkumi peranan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) berautonomi, pembayaran generasi baharu serta perdagangan dipercayai, menurut kenyataan firma Amerika Syarikat itu pada 5 November.
Namun, tidak dapat dipastikan berapa banyak daripada bilangan peranan berkenaan merupakan pekerjaan baharu.
Menurut firma tersebut, teknologi dan penyelesaian yang dibangunkan di Singapura akan diperluaskan serta digunakan di seluruh rangkaian global Visa.
“Kita sedang melangkah ke fasa inovasi perdagangan luar biasa, didorong oleh AI, wang digital serta teknologi baharu yang lain,” kata Presiden Teknologi Visa, Encik Rajat Taneja.
“Peluasan operasi kami di Singapura akan menghimpunkan bakat terkemuka, kepakaran mendalam serta prasarana yang dipercayai bagi membina pengalaman perdagangan baharu di seluruh dunia.”
Penubuhan hab baharu Visa ini merangkumi tiga bidang utama termasuk AI, dengan sasaran menggunakan teknologi tersebut dalam pembayaran dan teknologi kewangan (fintech), selain meneroka cara ejen AI dapat berinteraksi secara selamat dengan peniaga, pengguna dan rangkaian pembayaran.
Ia juga akan menjalankan penyelidikan terhadap ekosistem pembayaran generasi baharu seperti wang digital dan stablecoin bagi menyokong evolusi model pembayaran baharu.
Ia turut akan berusaha memperkukuh keselamatan siber demi membina daya tahan dalam menghadapi ekosistem digital yang kian kompleks.
Naib Presiden Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Encik Pee Beng Kong, berkata:
“Pelaburan terbaharu Visa dalam enam hab keupayaan global di sini bakal mewujudkan pekerjaan baharu bernilai tinggi bagi rakyat Singapura.
“Langkah ini juga akan memperkukuh peranan Singapura dalam membangunkan produk dan penyelesaian kewangan yang inovatif dalam bidang seperti perdagangan berasaskan ejen dan kuantum.”
Pengumuman terbaharu Visa itu menyusuli kenyataannya pada Julai bahawa syarikat berkenaan akan memotong sekitar 2,600 pekerjaan, atau 7 peratus daripada tenaga kerja globalnya, berikutan langkah meningkatkan kecekapan serta melabur semula dalam “peluang dengan potensi paling tinggi”.