Percutian ke luar negara terasa kurang lengkap jika tidak menjamah hidangan tempatan atau makanan yang tular.
Pengalaman bersantap, selain mencerminkan budaya dan cita rasa setempat, merupakan tarikan utama dalam setiap perjalanan.
Baru-baru ini, Kaki Jalan berkesempatan menjelajah Jakarta dan Bandung, menyingkap pelbagai lokasi santapan yang āhangatā diperkatakan, terutamanya di media sosial.
Dari warung tradisional hingga kafe moden yang menjadi tumpuan pencinta makanan, setiap persinggahan menjanjikan pengalaman rasa unik yang memikat hati pelancong domestik dan antarabangsa.
Little Salt Bread
Terkenal dengan salt bread, iaitu jenis roti lembut yang berinti mentega masin dan tekstur rangup di luar.
Ia boleh didapati dalam pelbagai perisa seperti bawang putih, keju dan telur trufel.
Butter Baby
Sebaik melangkah masuk ke Butter Baby, anda akan disambut suasana bertema kuning yang ceria dengan hiasan estetik serta watak maskot comel berwarna kuning.
Donut di sini disediakan dalam perisa kreatif seperti Matcha Crunch dan Opor Ayam Crunch, manakala minuman bertemakan galaksi seperti Passion Eclipse Green Tea dan Rosela Interstellar Tea menambahkan elemen unik.
Cold Moo
Cold Moo terkenal dengan aiskrim bertekstur lembut berpusar yang menampilkan perisa unik, diinspirasikan daripada bijirin dan buah-buahan.
Antaranya menu Special K, kombinasi aiskrim susu manis, strawberi, cornflakes, serta Banana Krisps yang menggabungkan aiskrim susu manis, pisang dan rice krispies.
Setiap suapan menghasilkan rasa manis yang seimbang dan tekstur yang menyeronokkan di lidah.
Feel Matcha
Feel Matcha menggunakan matcha gred pertama dari Kyoto, Jepun yang digunakan untuk upacara istiadat di sana.
Matcha-nya membuat minuman rasa pekat, sesuai dengan tekak pencinta matcha seperti saya.
Minuman matcha boleh didapatkan dalam pelbagai bentuk dan perisa di kedai Feel Matcha, antaranya Matcha Biscoff Lotus dan Matchachiato.
Artirasa
Artirasa merupakan kedai roti popular di Jakarta yang terkenal dengan kek keju dan tat yang tular di media sosial.
Keknya lembut seakan cair di mulut dengan keseimbangan manis dan masin daripada keju.
Selain perisa klasik, Artirasa turut menawarkan kepelbagaian menu kreatif seperti matcha, beri, Biscoff, coklat Dubai Kunafa dan coklat cip, sesuai untuk pencinta manis-manisan yang ingin mencari kelainan.
Remboelan
Remboelan ialah rangkaian restoran popular di Jakarta yang menghidangkan sajian tradisional Indonesia dan masakan Nusantara yang autentik.
Antara hidangan yang saya cuba ialah Ayam Jawa Sambal Rica Rica, Bakwan Sayur, Gurame Bumbu Kemiri Pedas, Cumi Lada Garam Nusa Penida, telur dadar dan Kangkung Bumbu Terasi.
Semuanya sangat lazat, tidak mengecewakan, maka tidak hairanlah mengapa ia menjadi pilihan ramai.
Dapoer Pandan Wangi
Dapoer Pandan Wangi ialah sebuah restoran Indonesia yang popular di Bandung, terkenal dengan masakan Sunda dan Jawa Barat yang autentik.
Saya menjamu sambel dadak, telur dadar, kangkung, gurame bakar dan ayam peha goreng.
Semuanya enak belaka, dengan suasana santai dan selesa bak di kampung.
Noisy Matcha
Sepadan dengan namanya, Noisy Matcha, ia merupakan kedai trendy yang terkenal dengan pencuci mulut matcha yang menarik dan sesuai untuk Instagram.
Dengan identiti warna hijau gelap, ia menampilkan ciptaan kreatif seperti matcha latte yang dicampur cincau dan aiskrim.
Matcha di sini antara yang terbaik pernah saya rasa ā sangat berlemak, pekat dan memuaskan.
Selain matcha, Noisy Matcha juga menyajikan hojicha, teh hijau yang dipanggang.
Deli Bakes
Terletak di kejiranan Jalan Puldak di Bandung, anda akan disambut dengan rekaan dalaman yang menggabungkan pesona desa yang klasik dan keanggunan moden, menimbulkan suasana cozy.
Mereka yang datang bebas untuk memilih pelbagai pastri, kek dan biskut yang disajikan di kafe tersebut sebelum membuat bayaran di kaunter.
Saya sangat sarankan untuk mencuba salt bread di kedai ini yang enak belaka.
Terdapat beberapa sudut Instagrammable di kafe tersebut untuk anda bergambar kenangan.
Apa ertinya perjalanan ke Indonesia tanpa mencuba martabak manis klasik mereka?
Martabak Manis San Francisco menyediakan martabak manis dalam pelbagai perisa dan pelbagai saiz pada harga yang sangat dimampui.
Walaupun martabaknya tebal, ia tetap lembut dan amat sedap dinikmati ketika panas.
Tji Laki 9
Tji Laki 9 merupakan kedai kek pisang yang popular dan tular di Bandung, Indonesia, terkenal dengan kek pisang yang lembap dan unik serta pilihan inti berperisa kacang, strawberi, coklat dan keju.
Kek ini sering digambarkan sebagai sajian premium yang sesuai dijadikan oleh-oleh.
Kedai ini biasanya dipenuhi pelanggan dengan barisan yang panjang.
Ada pelanggan yang sanggup beratur sebelum kedai dibuka.
Mujur saya datang pada hari bekerja, jadi walaupun beratur panjang, ia bergerak dengan cepat.
Kek ini paling ābestā dicuba terus di kedai, kerana ia dihidangkan bersama mentega berperisa seperti kayu manis, vanila dan strawberi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg