Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 sekawan ‘satu kepala’ majukan Salai by Meatdrop

Oct 14, 2023 | 5:30 AM
SAHABAT NIAGA SEIRING JALAN: Salai by Meatdrop telah berpindah ke kedai kopi di 82 Joo Chiat Road dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka. Dalam gambar merupakan tiga pemilik bersama (dari kiri) Encik Muhammad Adam Johari, Encik Ahmad Shakirin Roslan dan Encik Mohd Fauzan Abdul Rahim.
SAHABAT NIAGA SEIRING JALAN: Salai by Meatdrop telah berpindah ke kedai kopi di 82 Joo Chiat Road dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka. Dalam gambar merupakan tiga pemilik bersama (dari kiri) Encik Muhammad Adam Johari, Encik Ahmad Shakirin Roslan dan Encik Mohd Fauzan Abdul Rahim. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan tidak sengaja, suatu peristiwa di mana hidangan beraneka daging dihidangkan bersama di piring, maka tercetuslah idea menyajikan hidangan jualan utama gerai makanan barat dengan cita rasa setempat.

Salai by Meatdrop, sebuah gerai makanan yang dimiliki tiga anak muda, Encik Muhammad Adam Johari; Encik Ahmad Shakirin Roslan; dan Encik Mohd Fauzan Abdul Rahim, menghidangkan beraneka daging yang dimasak secara sous vide, di mana daging dibungkus dan direndam buat jangka masa lama dan pada suhu rendah untuk mendapatkan isi yang lembut.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini, Encik Muhammad Adam, 33 tahun, berkata daging kambing dimasak hingga 24 jam, daging lembu sekitar 16 jam manakala daging ayam pula dimasak selama empat jam.

HIDANGAN POPULAR: ‘Salai Platter’ (kanan) berharga $65 dan sesuai dimakan hingga empat orang. Nasi Kerabu (kiri) berharga $8 adalah menu baru oleh Salai by Meatdrop.
HIDANGAN POPULAR: ‘Salai Platter’ (kanan) berharga $65 dan sesuai dimakan hingga empat orang. Nasi Kerabu (kiri) berharga $8 adalah menu baru oleh Salai by Meatdrop. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Pada masa itu, kami nak makan bersama dan daripada menghidangkan daging-daging itu di pinggan yang berlainan, kami letakkan semua daging itu di pinggan yang sama.

“Itu yang membuat kami sedar bahawa sebenarnya kami juga boleh menjual hidangan itu dan ia dapat disasarkan kepada keluarga menjamu selera,” ujar Encik Muhammad Adam.

Salai ‘platter’ itu yang berharga $65 mengandungi daging dada lembu, ayam, rusuk kambing, salami lembu, kepingan daging paha madu ayam belanda dan sosej panggang jumbo. Ia sesuai untuk santapan empat orang.

Dua lagi pemilik bersama kedai itu, Encik Ahmad Shakirin dan Encik Mohd Fauzan, kedua-duanya 35 tahun, merupakan kawan lama sejak menuntut di kolej di Malaysia.

Mereka berdua mempunyai pengalaman memasak yang meluas, termasuk bekerja di Ireland, Dubai, Eropah dan Singapura.

PROSES MEMASAK TERPERINCI: Encik Ahmad Shakirin Roslan adalah pemilik bersama dan juga antara cef Salai by Meatdrop.
PROSES MEMASAK TERPERINCI: Encik Ahmad Shakirin Roslan adalah pemilik bersama dan juga antara cef Salai by Meatdrop. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Kami membulatkan tekad dan memulakan perniagaan ini bersama Adam dan hanya ingin memberikan mutu yang terbaik bagi pelanggan dengan berkat pengalaman kami bekerja di pelbagai hotel dan restoran serata dunia,” ujar Encik Ahmad Shakirin, yang juga bapa seorang anak.

Salai by Meatdrop mula berjinak-jinak berniaga di Pusat Penjaja Commonwealth Crescent selama dua tahun dan kini telah berpindah ke 82 Joo Chiat Road di sebuah kedai kopi sekitar tiga bulan lalu.

Tiga pemilik itu bersetuju bahawa mereka inginkan lokasi di kawasan bandar bagi kemudahan pelanggan, seiring ruang yang lebih besar.

Selain menjual hidangan daging salai, mereka juga telah meluaskan menu makanan, merangkumi nasi lemak ($6.50) dan nasi kerabu ($8) bagi memenuhi cita rasa pelanggan khususnya warga emas yang masih mahu merasakan sajian Melayu.

“Matlamat kami adalah untuk membuka sebuah restoran. Buat masa ini kami mengambil langkah pertama dulu dan alhamdulillah dengan sokongan pelanggan, kami telah berkembang ke lokasi yang baru,” kongsi Encik Mohd Fauzan, bapa tiga anak.

Ketika-tiga usahawan muda itu berharap untuk mencapai matlamat tersebut dalam masa dua tahun.

LOKASI BARU: Kedai Salai by Meatdrop telah berpindah ke 82 Joo Chiat Road dari Pusat Penjaja Commonwealth Crescent.
LOKASI BARU: Kedai Salai by Meatdrop telah berpindah ke 82 Joo Chiat Road dari Pusat Penjaja Commonwealth Crescent. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Kami ingin naikkan nama masyarakat Melayu. Perniagaan ini adalah impian dan kerja keras kami sendiri. Kami tiada pelabur atau backup (sokongan). Maka itu, kesungguhan kami adalah kerana ingin merealisasikan impian kami,” tambah Encik Muhammad Adam.

Apabila ditanya nasihat yang boleh dikongsi dengan usahawan muda lain, mereka akur bahawa kesabaran dan ketabahan adalah kunci utama dalam memulakan perniagaan.

“Sebagai peniaga dalam bidang makanan dan minuman ini, banyak masa akan dikorbankan. Hujung minggu, hari cuti semua harus bersedia bekerja,” kata Encik Ahmad Shakirin.

Encik Muhammad Adam menambah: “Kita juga harus terbuka kepada kritikan agar dapat memperbaiki perniagaan sendiri. Ambil nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman untuk dapatkan pengajaran.”

“Kami ingin naikkan nama masyarakat Melayu. Perniagaan ini adalah impian dan kerja keras kami sendiri. Kami tiada pelabur atau ‘backup’ (sokongan). Maka itu, kesungguhan kami adalah kerana ingin merealisasikan impian kami.”
Encik Muhammad Adam Johari, pemilik bersama Salai by Meatdrop.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg