Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jerih payah usahawan muda lancar niaga F&B

Brunch Club by The Halal Corner hasil penat lelah fikir konsep segar
Oct 14, 2023 | 5:30 AM
CAPAI IMPIAN: Encik Muhammad Asyraf Mohamed Rasheed (kiri) dan Encik Kaleemullah Saffarullah merupakan usahawan muda yang bertekad menawarkan hidangan bermutu tinggi dengan harga berpatutan di Brunch Club by The Halal Corner di Jalan Pisang.
CAPAI IMPIAN: Encik Muhammad Asyraf Mohamed Rasheed (kiri) dan Encik Kaleemullah Saffarullah merupakan usahawan muda yang bertekad menawarkan hidangan bermutu tinggi dengan harga berpatutan di Brunch Club by The Halal Corner di Jalan Pisang. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Berbekal keringat dan jerih payah memulakan The Halal Corner pada usia 25 tahun, usahawan muda, Encik Kaleemullah Saffarullah dan Encik Muhammad Asyraf Mohamed Rasheed, telah melihat hasil kerja mereka selepas lima tahun.

Kedua-dua mereka baru-baru ini membuka kafe, Brunch Club oleh The Halal Corner, yang terletak di 10 Jalan Pisang.

The Halal Corner, yang dahulunya dikenali sebagai Asyraf’s Halal Corner, terkenal dengan hidangan kegemaran barat yang lazat untuk dinikmati orang ramai, pada harga berpatutan.

“Kami melalui pelbagai cabaran. Kami bermula ketika berumur 25 tahun. Disebabkan usia kami, tidak ramai yang menghormati dan menganggap kami serius.

“Kami mempelajari segala-galanya dengan cara yang sukar. Sukar menyuarakan suara hati kami. Oleh itu, kami belajar untuk melakukan semuanya sendiri. Sampai satu tahap ia telah mengajar kami untuk menguruskan segala-galanya dan kini orang tahu bahawa kami bersungguh-sungguh dan bukan main-main... kami peroleh penghormatan daripada mereka,” jelas Encik Asyraf, 30 tahun.

Encik Kaleemullah dan Encik Asyraf tidak mempunyai modal dan kemewahan untuk memiliki kedai di kawasan seperti di Jalan Pisang pada ketika itu.

Bagaimanapun, mereka telah menjalankan perniagaan mereka di tiga kedai kopi, sambil bekerja 14 hingga 15 jam sehari selama sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun.

Selepas mengusahakan perniagaan pertama, The Halal Corner pada April 2022 dan membuka cawangan kedua di Haji Lane, usahawan muda itu berjaya menebar sayap dengan membuka cawangan ketiga pula yang diberi nama Brunch Club

Brunch Club bagaimanapun menawarkan menu berbeza berbanding cawangan pertama dan kedua. Ia menghidangkan pelbagai jenis santapan daripada sarapan kepada juadah utama seperti pasta buatan sendiri.

“Hidangan di sini lebih bermutu tinggi daripada apa yang boleh didapatkan di The Halal Corner. Bahan-bahan yang digunakan di Brunch Club semuanya segar dan ia dihantarkan setiap hari.

“Kami juga ada pasta dan granola yang dibuat sendiri,” kongsi Encik Asyraf.

Minuman popular dalam kalangan pelanggan ialah minuman tradisional tempatan seperti Frothy Teh Tarik atau Teh Halia yang disajikan di Brunch Club.

“Kebiasaannya minuman yang dihidangkan di kafe adalah minuman seperti Latte dan kapucino. Namun, kami memutuskan untuk menjual teh tempatan seperti Frothy Teh Tarik yang masih mengekalkan rasa tempatan, sambil memperkenalkannya kepada pelancong yang mengunjungi kawasan ini,” kata Encik Kaleemullah, 30 tahun, yang ingin memperkenalkan konsep baru.

Salah satu hidangan yang paling laris di Brunch Club ialah King Prawn Risotto dengan cili sambal lemak bisque yang diselitkan udang karang dan udang harimau panggang. Hidangan popular lain termasuk Australia Wagyu Beef GIgli Pasta dan Signature Ceviche.

“Pasta dibuat di gerai setiap pagi dan kami memastikan hidangannya bermutu,” kongsi Encik Asyraf.

Bagi menjana taraf kafe bermutu tinggi, menyegarkan dan dapur konsep terbuka, mereka terpaksa melabur $160,000.

Ini termasuk kos pengubahsuaian, peralatan dapur dan bayaran lain.

“Dandang pasta automatik adalah salah satu peralatan yang kami perlu laburkan yang berharga $4,500.

“Pelaburan itu berbaloi kerana ia mempunyai pemasa automatik yang memastikan semua pasta yang dihidangkan kepada pelanggan mempunyai mutu yang tinggi dan sama.

“Ini akan mengelakkan sebarang masalah di mana pelanggan akan mendapat pasta al dente yang sempurna, manakala yang lain mendapat pasta yang terlalu masak,” kongsi Encik Asyraf.

Mesin pasta yang digunakan untuk membuat pasta pula berharga $6,000.

Sebagai usahawan muda, kedua-duanya percaya layanan ikhlas dan sajian ‘tidak lokek’ yang dihidangkan akan menarik pelanggan ke kafe mereka.

“Kami sentiasa berfikir jika pelanggan mampu membeli hidangan itu, ia bukan tentang mengaut keuntungan yang besar dengan menaikkan harga,” kongsi Encik Asyraf.

“Dengan adanya The Halal Corner dan Brunch Club, kami menyediakan pilihan kepada pelanggan sambil memastikan pelanggan dapat menikmati makanan yang enak tetapi pada harga yang berbeza,” tambah Encik Kaleemullah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg