7 pilihan ‘staycation’ di S’pura yang lengkap dengan sahur dan buka puasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 pilihan ‘staycation’ di S’pura yang lengkap dengan sahur dan buka puasa

Feb 19, 2026 | 1:57 PM

7 pilihan ‘staycation’ di S’pura yang lengkap dengan sahur dan buka puasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Bufet Ramadan StraitsKitchen.
Bufet Ramadan StraitsKitchen. - Foto GRAND HYATT SINGAPORE

Setibanya Ramadan, kebanyakan umat Islam memilih untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Ilahi di tanah air sendiri.

Ada yang mengidamkan percutian ringkas tanpa perlu ke luar negara, sama ada untuk menyambut sesuatu acara istimewa atau sekadar merehatkan fikiran.

Justeru, ‘staycation’ atau penginapan di hotel tempatan menjadi pilihan utama untuk mencari suasana baru.

Hotel seperti Royal Plaza On Scotts kian mendapat sambutan hangat sepanjang bulan mulia ini.

Jurucakap hotel itu memberitahu Berita Harian (BH) bahawa pertanyaan tentang tawaran dan promosi Ramadan meningkat, bukan sahaja daripada warga Singapura tetapi juga tetamu Muslim dari seluruh dunia.

“Kami menerima pertanyaan dan tempahan yang berterusan, terutama daripada pasangan dan keluarga. Secara keseluruhannya, maklum balas terhadap rancangan ‘staycay’ tempatan sepanjang Ramadan adalah sangat positif.

“Ramai tetamu menyatakan bahawa kemudahan dan keselesaan adalah faktor utama. Dengan adanya pilihan sahur dan sarapan yang mudah didapati, serta suasana yang tenang untuk beristirehat, ibadah puasa terasa lebih ringan, khususnya bagi yang mencari percutian singkat tanpa perlu melakukan perjalanan yang memenatkan,” katanya.

Di Singapura, beberapa hotel memastikan kemudahannya mesra Muslim, termasuk menyediakan ruang musollah, makanan halal, serta hidangan bersahur.

Jurucakap Grand Hyatt Singapore pula berkata mereka telah mencipta pengalaman mesra Muslim yang lancar di seluruh hotel, daripada hidangan bersijil halal di StraitsKitchen serta perkhidmatan makan dalam bilik yang halal termasuk pilihan sahur, hinggalah kemudahan bilik solat khas yang lengkap dengan tempat berwuduk serta bilik hotel yang dilengkapi penunjuk arah kiblat.

“Apa yang kami saksikan ialah ramai Muslim di Singapura menghargai pilihan ‘staycation’ ini, yang membolehkan mereka berkumpul dalam suasana selesa sambil terus memelihara amalan dan nilai-nilai Ramadan,” ujarnya.

Kaki Jalan menyenaraikan beberapa hotel di Singapura yang menawarkan pakej istimewa sepanjang Ramadan.

Ini termasuk penyediaan sahur yang sama ada dihantar terus ke bilik atau dihidangkan di restoran hotel, serta bufet iftar halal yang amat menyelerakan.

1. Grand Hyatt Singapore

Musollah di Grand Hyatt Singapore.
Musollah di Grand Hyatt Singapore. - Foto GRAND HYATT SINGAPORE

Grand Hyatt Singapore, hotel ikonik yang sudah bertapak selama 54 tahun di Orchard Road, dibuka semula sepenuhnya pada Julai 2025, dengan kemudahan serba baru.

Antara ciri-ciri mesra Muslim ialah musollah yang terletak di lobi hotel, lengkap dengan kemudahan berwuduk serta bilik hotel yang dilengkapi penunjuk arah Kiblat.

Untuk sahur, makanan akan dihantar ke bilik, dengan pilihan makanan antaranya, kurma, buah-buahan, kuih Melayu, tairu, minuman ataupun makanan lebih berat seperti nasi lemak dan mee goreng.

StraitsKitchen menawarkan pilihan mezze, barbeku sempena Ramadan.
StraitsKitchen menawarkan pilihan mezze, barbeku sempena Ramadan. - Foto GRAND HYATT SINGAPORE

Khusus buat iftar Ramadan, StraitsKitchen menawarkan pilihan mezze (hidangan pembuka selera dalam masakan Timur Mediterranean) yang berwarna-warni, hidangan barbeku seperti Udang Bakar, daging lembu panggang dengan sos cili hijau serta Kambing Panggang.

Bufet ini turut menampilkan stesen ‘live’ eksklusif Ramadan, termasuk pilihan sup yang disediakan secara bergilir serta stesen shawarma yang menyelerakan.

Lokasi: 10 Scotts Rd, Singapore 228211

2. Royal Plaza On Scotts

Antara menu sahur Royal Plaza On Scotts.
Antara menu sahur Royal Plaza On Scotts. - Foto ROYAL PLAZA ON SCOTTS

Royal Plaza on Scotts bukan asing dalam menyediakan sarapan dan bufet halal.

Restorannya, Carousel, pilihan popular dalam kalangan tetamu Muslim dan bukan Muslim, dengan pelbagai hidangan yang menarik dan lazat.

Sepanjang Ramadan, tetamu Muslim boleh menikmati bufet pada waktu sahur dari 4 pagi hingga 5.30 pagi, dengan lebih 50 pilihan makanan dengan menu sangat luas termasuk makanan barat dan Asia.

Untuk iftar pula, menunya diilhamkan oleh hidangan Peranakan, antaranya Ayam Buah Keluak, Nonya Lada Ketam dan Sambal Sotong Assam.

Royal Plaza On Scotts menyediakan musollah, salon mesra Muslim, dan biliknya dilengkapi Quran serta penunjuk arah kiblat.

Lokasi: 25 Scotts Rd, Singapore 228220

3. PARKROYAL on Beach Road

PARKROYAL on Beach Road terletak tidak jauh dari kawasan Kampong Gelam yang sememangnya meriah sepanjang bulan Ramadan.

Bilik ‘deluxe’ PARKROYAL on Beach Road.
Bilik ‘deluxe’ PARKROYAL on Beach Road. - Foto PARKROYAL ON BEACH ROAD

Makanan sahur akan dihantar ke bilik antara 4 pagi dengan 5.30 pagi, dengan menunya kerap bertukar, menampilkan pilihan nasi, protein, makanan laut, sayur-sayuran, jeruk, kurma dan buah-buahan yang baru dipotong.

Tetamu boleh berbuka puasa di Ginger, yang menawarkan hidangan tempatan kegemaran mahupun serantau, antaranya makanan laut di atas ais, sashimi, rendang daging gaya Malaysia, sate ayam dan kambing.

Ginger menawarkan hidangan tempatan kegemaran mahupun serantau.
Ginger menawarkan hidangan tempatan kegemaran mahupun serantau. - Foto PARKROYAL ON BEACH ROAD

Kemudahan solat disediakan, dan kurma akan dihidangkan untuk tetamu berbuka puasa sepanjang tempoh Ramadan.

Hingga 31 Mac, restoran tersebut sedang menawarkan promosi makan enam orang, bayar untuk empat orang (Dine Six, Pay Four) tidak termasuk hari sebelum cuti umum dan cuti umum. 

Untuk menikmati promosi, mereka hanya perlu menyatakannya semasa membuat tempahan dalam talian.

Lokasi:  7500A Beach Road, Singapore 199591

4. Village Hotel Bugis

Cef selebriti Malaysia, Cef Fazley Yaakob, duta terkini jenama The Landmark.
Cef selebriti Malaysia, Cef Fazley Yaakob, duta terkini jenama The Landmark. - Foto AFZIAN ANUAR

Village Hotel Bugis terletak di kawasan yang meriah dan ikonik, di mana anda dapat menikmati pertembungan budaya Arab, Peranakan dan India dalam satu destinasi.

Bukan sahaja terdapat pelbagai pilihan makanan di kawasan Masjid Sultan dan Kampong Gelam, tetapi juga bazar di Kandahar Street, yang sememangnya mencerminkan semangat Ramadan.

Sepanjang Ramadan, Village Hotel Bugis menyediakan sahur dari 4.30 pagi hingga 5.30 pagi di restoran The Landmark.

Bagi memenuhi keperluan solat, sejadah boleh dihantar terus ke bilik atas permintaan untuk kemudahan tambahan.

Setiap bilik juga dilengkapi dengan penunjuk arah kiblat yang jelas ditandakan pada siling bagi memudahkan tetamu menunaikan ibadah.

Untuk berbuka puasa, The Landmark menawarkan bufet gaya Kampong dengan kerjasama selebriti, Dato’ Cef Fazley Yaakob, antaranya stesen ‘live’ lemak cili api, rendang tok, nyonya laksa, dan nasi ambeng.

Kini, restoran itu menawarkan promosi beli satu, dapat satu percuma (1 for 1).

Lokasi: 390 Victoria St, Singapore 188061

5. Aloft Singapore Novena

Aloft Singapore Novena, dengan 785 bilik, menawarkan pilihan katil pelbagai saiz iaitu katil raja, ratu atau kembar.
Aloft Singapore Novena, dengan 785 bilik, menawarkan pilihan katil pelbagai saiz iaitu katil raja, ratu atau kembar. - Foto ALOFT SINGAPORE NOVENA

Aloft Singapore Novena, yang merupakan sebahagian rantaian hotel mewah Marriott, terhubung dengan Zhongshan Mall – pusat beli-belah yang bukan sahaja menempatkan kedai makan halal dan makanan segera, bahkan pasar raya FairPrice Finest.

Menu sahur akan disediakan oleh restoran bufet 21 on Rajah yang berlainan setiap hari, antaranya char kway teow, rendang daging dengan nasi kunyit.

Namun, makanan yang tetap di dalam set ialah kurma, tairu, buah-buahan, jus oren atau air putih.

21 on Rajah menawarkan menu khas dari Bali, sepanjang Ramadan.
21 on Rajah menawarkan menu khas dari Bali, sepanjang Ramadan. - Foto ALOFT SINGAPORE NOVENA

Jika tekak teringin hidangan Indonesia, 21 on Rajah menawarkan menu khas dari Bali, antaranya Bebek Betutu (itik yang dipanggang perlahan dengan rempah Bali dan dibalut daun pisang), Kambing Panggang Sambal Goreng, Be Siap Basa Guling (ayam panggang putar yang diperap dengan rempah tradisional Bali), Pisang Rai (dumpling pisang dan pandan kukus dengan kelapa parut) serta Es Cendol.

Pelanggan boleh menikmati kurma dan Bubur Lambuk selepas berbuka puasa dengan bilik solat khas turut disediakan di hotel.

Hingga 5 April 2026, restoran ini menawarkan promosi bayar untuk tiga orang sahaja bagi empat tetamu (Dine 4 Pay 3).

Lokasi: 16 Ah Hood Rd, Singapore 329982

6. Fairmont Singapore

Kambing Panggang di Asian Market Cafe.
Kambing Panggang di Asian Market Cafe. - Foto FAIRMONT SINGAPORE

Terletak di tengah-tengah Singapura, berhampiran Marina Bay, Pusat Konvensyen Suntec dan di atas dua stesen MRT, Fairmont Singapore ialah hotel sesuai bagi mereka yang ingin berada dekat dengan bandar Singa ini.

Ia juga terletak di dalam pusat beli-belah Raffles City yang turut menyediakan pelbagai pilihan makanan halal.

Makanan sahur akan disediakan oleh restoran bufet halal Asian Market Cafe dan dihantar ke bilik antara jam 3.30 pagi dengan 5.30 pagi.

Tetamu boleh memilih antara dua menu, yang termasuk pembuka selera seperti samosa, makanan utama yang mengandungi nasi, pencuci mulut seperti buah-buahan dan minuman.

Untuk berbuka puasa, Asian Market Cafe menawarkan menu khas sempena Ramadan antaranya Bubur Lambuk dengan Sumsum Tulang Kambing, Arab Makluba, Ayam Masak Merah, stesen mi ‘live’ dengan Laksa Singapura dan Mee Rebus, sate, makanan panggang perayaan dan manisan tradisional.

Lokasi: 80 Bras Basah Rd, Singapore 189560

7. Swissotel The Stamford Singapore

Bilik ‘premier harbour’ di Swissotel The Stamford Singapore.
Bilik ‘premier harbour’ di Swissotel The Stamford Singapore. - Foto SWISSOTEL THE STAMFORD SINGAPORE

Swissotel The Stamford Singapore turut menyediakan persediaan serupa seperti di Fairmont Singapore, di mana juadah Sahur yang disediakan di Asian Market Cafe boleh dihantar terus ke bilik.

Untuk berbuka puasa, tetamu boleh berjalan kaki ke Asian Market Cafe di Fairmont Singapore, yang terletak berdekatan, untuk menikmati bufet halal.

Lokasi: 2 Stamford Rd, Singapore 178882

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg