Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

All Stars Gegar Vaganza: Hady di tangga pertama, bawa lagu Michael Bolton; Cliff Umar dan Suki Low tersingkir pada minggu kedua

Juri gembira wujud peningkatan pada kebanyakan peserta berbanding minggu lalu
Oct 02, 2023 | 02:22 AM



Dengan suara lemak merdunya yang romantis, wakil Singapura ke pentas All Stars Gegar Vaganza, Hady Mirza, menyentuh perasaan juri dan penonton lantas berada di tangga teratas konsert minggu kedua peraduan realiti Astro itu pada Ahad malam.


Hady, 43 tahun, yang menyanyikan lagu balada mendayu-dayu Michael Bolton, How Am I Supposed To Live Without You, menewaskan 15 peserta lain yang terdiri daripada juara dan finalis Gegar Vaganza bagi sembilan musim.


Juara bersama GV6 itu meraih 79 peratus hasil penilaian juri, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.

Syafinaz yang memberi ulasan persembahan Hady menyifatkan lagu itu sampai ke hatinya, mentelah pula ia merupakan antara lagu kegemarannya.

“Saya rasa macam awak menyanyi kepada saya!” jelasnya.

Bagi konsert minggu kedua yang disiarkan langsung dari Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), ramai peserta yang dapat mempertingkatkan kedudukan mereka dan ini menggembirakan Ramli yang merasakan ia pencapaian yang amat diinginkan agar peserta sentiasa maju dan menjadi lebih baik sepanjang peraduan.

Hady, misalnya, berada di tangga kelima pada minggu pertama dan prestasinya naik ke tangga pertama pada konsert minggu kedua. Idea meletakkan suasana makan malam di atas pentas dengan tiga pengacara, Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein, duduk seakan menikmati makan malam ‘fine dining’ sambil menonton Hady menyanyi, jelas Hady, merupakan kelainan dan idea isterinya,  Nurjannah Nur Wahid.

Di tangga kedua bagi persembahan pada Ahad adalah Jaclyn Victor dengan 75.5 peratus. Ini disusuli dengan Azharina Azhar dengan 74.5 peratus di tangga ketiga, Liza Hanim dengan 73 peratus di tangga keempat dan Datuk Aishah di tangga kelima dengan 69.5 peratus.

Juara minggu lalu yang dipuji ramai kerana mengemukakan tenaga yang meluap-luap dalam persembahannya, Naqiu, berada di tangga kelapan. Beliau diminta untuk tidak terlalu emosi dan dapat membezakan antara penceritaan kisah dalam lagu dan nyanyian merdu.

Seorang lagi bakat Singapura, Aliff Aziz, yang berada di tangga kelapan minggu lalu, bagaimanapun, jatuh ke tangga ke-13 dengan lagu Hazama, Sampai Mati. Syafinaz berasakan ada yang tidak kena pada persembahan Aliff sehingga beliau kelihatan tidak selesa menyanyikan lagu itu meskipun suara serak-serak basah Aliff yang dianggap jelas ‘kelelakian’ itu dipujinya di samping karismanya di pentas. Hetty pula menasihati Aliff agar tidak membiarkan mikrofonnya terlalu dekat pada mulut.


Pada akhirnya, dua peserta dengan markah terendah tersingkir dalam peraduan itu. Suki Low, tanpa diduga ramai, berada di tangga ke-15 dengan 56.25 peratus manakala Cliff Umar di tangga terakhir markah 53.25 peratus.

Ramai warganet di Twitter/X yang tidak setuju Suki disingkir awal.

“Memanglah kita perlu menjangkakan sesuatu yang tidak dijangka. Diorang ni semua miliki vokal yang bertenaga. Mereka pernah jadi juara dan antara peserta ‘Top 3’ atau ‘Top 4’ dalam peraduan GV. Jadi, nak tak nak, kita akan rasa tak adil bila sesiapa tersingkir. Bagaimanapun, macam terlalu awal untuk Suki disingkirkan. Bukankah dia beri yang terbaik malam ini,” ciap @jun33ka.

@cheldelsayang pula menambah: “Sudahlah ManU kalah, Suki lagi keliar...MC-lah esok tiada ‘mood’ mahu kerja.”

Juri di sidang media selepas persembahan menyatakan berbanding peserta lain, Cliff dan Suki kurang menampakkan ‘mode’ pertandingan di mana wujud dahaga untuk menang.

Pada Ahad ini, nantikan Hady menyanyikan lagu tular Roslan Madun, Lemak Manis manakala Aliff pula dicabar dengan lagu Hetty, Kasih.


Nota: All Stars GV disiarkan di saluran Astro Ria (saluran Singtel TV, 608) setiap Ahad mulai 9 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >