Walaupun minuman dan snek buah nanas berwarna merah terang itu pada mulanya disasarkan kepada pelanggan Gen Z, produk yang dikenali sebagai Kool-Aid Pineapple itu turut mencuri perhatian pelanggan lebih berusia yang membeli 10 bekas dalam satu masa.

Kejadian itu menjadi antara detik yang paling diingati pencipta kandungan TikTok, Encik Faisal Marican, apabila beliau menyedari snek buah nanas yang sedang tular di Amerika Syarikat itu bukan sahaja menarik perhatian golongan muda, malah turut mendapat sambutan daripada pelanggan pelbagai peringkat usia.

“Kami sasarkan kepada golongan muda, tetapi ada seorang mak cik datang dan beli 10 bekas. Itu memang di luar jangkaan kami,” katanya.

Trend Kool-Aid Pineapple mula mencetuskan fenomena di Amerika Syarikat sekitar April lalu selepas seorang penjual jalanan di Florida memperkenalkan hirisan nanas yang diperap dalam campuran Kool-Aid berperisa dan gula sehingga menghasilkan warna terang yang mencuri perhatian pengguna media sosial.

Teruja melihat sambutan luar negara, Encik Faisal berganding bahu dengan usahawan makanan dan pencipta kandungan terkenal, Encik Kai Emilio, untuk membawa trend tersebut ke Singapura.

“Kai dan saya memang suka mengikuti makanan yang sedang tular di TikTok. Bila nampak trend ini, kami fikir ia agak pelik pada mulanya kerana hanya gabungan nanas dan Kool-Aid.

“Tetapi selepas kami beri rakan-rakan cuba, reaksi mereka sangat positif. Dari situ kami rasa ia sesuatu yang menarik untuk didokumentasikan dan dikongsi di TikTok,” ujar beliau.

Menurut Encik Faisal, antara tarikan utama snek itu ialah perubahan warna nanas selepas diperap selama kira-kira 18 jam dalam campuran Kool-Aid.

“Buah nanas asalnya berwarna kuning, tetapi selepas menyerap perisa Kool-Aid, ia bertukar menjadi merah terang atau ungu bergantung pada perisanya. Orang ramai jadi ingin tahu bagaimana rasanya,” katanya.

Kool-Aid Pineapple kini ditawarkan dalam lima perisa iaitu Tropical Punch, Cherry, Peach Mango, Grape dan Green Apple, dengan Tropical Punch menjadi pilihan paling popular kerana menghasilkan warna merah yang lebih menyerlah.

“Dari segi rasa, ia manis dan sangat menyegarkan kerana digabungkan dengan rasa masam manis nanas. Memang sesuai dimakan dalam cuaca panas seperti di Singapura,” katanya.

Mereka melancarkan produk berkenaan pada 6 Julai lalu menerusi sebuah reruai di Suntec City dengan harga $25 bagi satu bekas 1.5 liter yang mengandungi sebiji nanas penuh.

Pada hari-hari awal, ramai pengunjung agak ragu-ragu untuk mencubanya. Namun selepas video reaksi pelanggan dimuat naik ke TikTok, sambutannya berubah dengan pantas.

“Selepas video-video itu tular, orang mula datang untuk mencubanya sendiri. Hari terakhir di Suntec, kami habis dijual dalam tempoh dua jam pertama.

“Ketika itulah kami sedar permintaannya tinggi dan kami terus membuka gerai di Bazar Khatib. Harapan kami ialah untuk mengadakan lebih banyak ‘pop-up’ dan memperkenalkan lebih banyak perisa pada masa akan datang,” katanya.

Namun, di sebalik sambutan hangat itu, trend tersebut turut mengundang kritikan dalam kalangan pengguna TikTok yang mempersoalkan kandungan gulanya.

Seorang pengguna TikTok, ‘Mushuggah’, menulis, “Mengapa trend sekarang asyik mempromosikan makanan yang tidak sihat? Kandungan gulanya sangat tinggi!”

Seorang lagi pengguna, ‘whalelover12629’, pula berkata, “Dulu kunafa, kemudian quesillo, sekarang pula Kool-Aid Pineapple.”