Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apakah perbezaan piza ‘sourdough’ dengan piza tradisional?

Kededua miliki rasa, tekstur dan proses penyediaan berbeza
Oct 26, 2024 | 5:30 AM
Piza ‘sourdough Margherita’ bersama sos tomato dan keju serta kepingan daun selasih. Penyediaannya menuntut lebih banyak masa berbanding piza tradisional atau dikenali sebagai piza ‘Neapolitan’.
Piza ‘sourdough Margherita’ bersama sos tomato dan keju serta kepingan daun selasih. Penyediaannya menuntut lebih banyak masa berbanding piza tradisional atau dikenali sebagai piza ‘Neapolitan’. - Foto PIXABAY

Piza antara salah satu makanan yang paling digemari di seluruh dunia bagi semua peringkat usia.

Di Singapura, terdapat pelbagai jenis piza yang ditawarkan.

Namun, mengikut trend, terdapat dua jenis piza yang kerap dibandingkan, iaitu piza sourdough dan piza tradisional.

Walaupun kedua-duanya sama lazat, mereka memiliki perbezaan yang ketara dari segi rasa, tekstur, dan proses penyediaan.

Jika anda tertanya-tanya apakah piza sourdough, piza itu menggunakan adunan yang diperbuat daripada tepung, air, garam, dan bergantung pada ‘pemula’ sourdough iaitu kultur bakteria dan yis semula jadi.

Proses penapaian merangkumi yis liar, dari persekitaran sekeliling, mewujudkan proses yang menyaksikan ia ‘naik’ secara lebih perlahan.

Proses penyediaan piza sourdough memerlukan lebih banyak masa dan perhatian.

Adunan perlu dibiarkan untuk menapai selama beberapa jam hingga lebih dari sehari.

Proses penapaian itu memberikan rasa unik dan kompleks, serta tekstur yang berbeza daripada piza tradisional.

Ini membolehkan piza tersebut mempunyai lebih perisa.

Selain itu, proses penapaian semula jadi juga memberikan aroma lebih menarik dan menghasilkan rasa masam, menambahkan lagi dimensi kepada profil piza itu.

Piza sourdough biasanya mempunyai kulit lebih rangup dan kenyal.

Proses penapaian yang panjang membolehkan gluten dalam tepung berkembang dengan lebih baik.

Ini bermakna terdapat ruang angin yang lebih besar dalam adunannya, sekali gus menghasilkan tekstur yang lebih kenyal.

Sebaliknya, piza tradisional ataupun dikenali sebagai piza Neapolitan, mengandungi bahan-bahan asas seperti tepung, garam dan yis kering atau yis segar.

Piza tradisional dengan doh biasa menggunakan yis kering atau yis segar. Ia menghasilkan kulit yang rangup di luar namun dalamnya tetap lembut.
Piza tradisional dengan doh biasa menggunakan yis kering atau yis segar. Ia menghasilkan kulit yang rangup di luar namun dalamnya tetap lembut. - Foto PIXABAY

Proses untuk piza tradisional lebih mudah dan lebih cepat.

Yis aktif dalam adunan segera memberikan hasil yang lebih pantas, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan restoran yang mengutamakan kecepatan.

Ini menyebabkan doh piza cepat naik, mempercepatkan lagi proses penapaian.

Adunannya juga lebih mudah untuk diuli.

Setelah dibakar, ia menghasilkan kulit yang rangup di luar dan dalamnya lembut.

Oleh sebab masa penapaian jauh lebih pendek, rasanya juga sederhana dan tidak kompleks.

Piza tradisional tidak memerlukan masa penapaian yang lama, justeru lebih banyak jumlah piza boleh disediakan.

Bagi restoran yang mempunyai ramai pelanggan, hidangan piza menuntut kepantasan dan ia harus praktikal.

Pelanggan boleh menikmati hidangan lazat tanpa perlu menunggu terlalu lama.

Kedua-dua piza sourdough dan piza tradisional mempunyai keunikan dan kelebihan masing-masing. Pilihan antara keduanya sering kali bergantung kepada cita rasa individu.

Jika anda menghargai rasa yang lebih kompleks dan tekstur yang lebih menarik, piza sourdough mungkin pilihan yang tepat.

Namun, jika anda mencari hidangan yang cepat dan praktikal, piza tradisional adalah pilihan terbaik, dengan rasa yang mantap.

Di Singapura, pelbagai restoran mula menawarkan kedua-dua jenis piza ini, memberikan penggemar piza pilihan yang lebih luas.  

Piza sourdough memberikan rasa yang istimewa dan ia lebih daripada sekadar trend.

Sama ada anda memilih untuk menikmati piza sourdough atau piza tradisional, satu perkara yang pasti ialah, bagi setiap suapan, ia berupaya mengisi dan mengenyangkan perut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg