Makanan Barat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Piza empat segi Goldenroy Sourdough Pizza, ilham dari San Francisco

Guna kultur berisi yis dan bakteria berusia 100 tahun untuk dapat tekstur unik
Oct 26, 2024 | 5:30 AM
Pemilik dan pengasas Goldenroy Sourdough Pizza, Encik Roy Chan, mendapat inspirasi dari kedai piza di San Francisco yang menyajikan piza berbentuk empat segi.
Pemilik dan pengasas Goldenroy Sourdough Pizza, Encik Roy Chan, mendapat inspirasi dari kedai piza di San Francisco yang menyajikan piza berbentuk empat segi. - Foto BH oleh KHALID BABA
Pelbagai perisa ditawarkan di Goldenroy Sourdough Pizza (dari kiri, mengikut putaran jam) perisa ‘Piza Potato & Chicken Ham Sourdough’, ‘Roast Beef & Garlic Sourdough’, ‘Clam & Garlic Sourdough’, ‘Mushroom Pesto Sourdough’, ‘Garlic Butter & Blue Cheese Sourdough’, ‘Browned Butter Scallops & Onion Sourdough’ dan ‘Beef Pepperoni & Rare Cheese Sourdough’.
Pelbagai perisa ditawarkan di Goldenroy Sourdough Pizza (dari kiri, mengikut putaran jam) perisa ‘Piza Potato & Chicken Ham Sourdough’, ‘Roast Beef & Garlic Sourdough’, ‘Clam & Garlic Sourdough’, ‘Mushroom Pesto Sourdough’, ‘Garlic Butter & Blue Cheese Sourdough’, ‘Browned Butter Scallops & Onion Sourdough’ dan ‘Beef Pepperoni & Rare Cheese Sourdough’. - Foto BH oleh KHALID BABA

Menjejak masuk ke Goldenroy Sourdough Pizza, pelanggan akan disambut dengan patung lelaki berbadan sasa sedang melutut dan membawa kotak piza Goldenroy di belakangnya.

Namun bukan patung itu sahaja yang menarik perhatian di kedai piza yang terletak di Desker Road itu.

Aroma piza sourdough menyambut tetamu dengan dohnya yang dibakar dalam minyak zaitun. Setiap kepingan menawarkan bahagian luar yang rangup dengan bahagian dalam yang ringan dan gebu.

View post on Instagram
 

Piza di Goldenroy Sourdough Pizza menyerlah dengan kepingan unik berbentuk empat segi, saiz yang memberikan lebih banyak piza dalam setiap kotak berbanding dengan piza bulat tradisional.

Di asas doh yang ditapai selama 48 jam, menghasilkan kerak lebih berperisa berbanding piza biasa, memberikan pengalaman yang memuaskan dan tekstur yang kompleks.

“Kami membakar piza kami dalam bekas yang dipenuhi minyak zaitun, jadi asasnya menjadi garing,” kata pengasas Goldenroy Sourdough Pizza, Encik Roy Chan, yang lebih dikenali sebagai Roy.

“Berbanding dengan piza gaya Neapolitan yang kebanyakannya anda temui di Singapura yang lembut, piza kami jenis rangup. Kami mahu mencipta sesuatu yang anda tidak dapat temui di tempat lain di sini,” tambahnya.

Piza Neapolitan merupakan piza tradisional dari Naples, Italy, yang mempunyai kerak nipis dan lembut. Piza Neapolitan dibakar dengan menggunakan kayu api pada suhu yang tinggi.

Perjalanan Encik Roy dengan piza bermula semasa beliau memburu ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kimia di California, Amerika Syarikat.

Semasa menuntut bertahun-tahun, beliau berpeluang menikmati pilihan makanan yang luas.

“Saya pernah mengunjungi kedai piza di San Francisco yang menyajikan piza berbentuk empat segi dengan kerak sourdough yang luar biasa ini,” kata Encik Roy, 37 tahun.

Didorong minat, Encik Roy menyertai kelab peminat piza.

Salah seorang anggota kelab itu memberinya pemula atau starter – kultur mengandungi yis dan bakteria untuk menaikkan roti – berusia 100 tahun yang dibawa pulang ke Singapura untuk digunakan di dalam piza.

“Saya sangat merinduinya apabila saya kembali ke Singapura. Jadi, saya mula bereksperimen dengan resipi saya sendiri, diilhamkan oleh piza di San Francisco dan ia mendapat sambutan baik,” jelas Encik Roy tentang inspirasi di sebalik kedai piza itu.

Goldenroy Sourdough Pizza membuka pintunya pada 2019, dan sejak itu, ia telah berkembang daripada sebuah kedai kecil di East Village, Upper Changi Road kepada sebuah kedai makan tiga tingkat di 125 Desker Road. Pelanggannya pula bertali arus.

Menurut Encik Roy, beliau menggunakan pemula sourdough dari San Francisco yang berusia 100 tahun untuk pizanya dan ia perlu dibawa dengan berhati-hati ke Singapura.

“Ia berusia lebih 100 tahun, dan mengekalkannya adalah sukar kerana risiko pencemaran. Tetapi tanpa pemula ini, piza tidak akan rasa sama,” jelasnya.

Goldenroy menawarkan lapan perisa berbeza, yang setiap satu dibuat dengan teliti selepas percubaan yang berterusan menyusuli kesilapan.

Goldenroy Sourdough Pizza meletakkan sos tomato secara berjalur. Ini untuk memastikan pelanggan dapat menikmati rasa yang berbeza.
Goldenroy Sourdough Pizza meletakkan sos tomato secara berjalur. Ini untuk memastikan pelanggan dapat menikmati rasa yang berbeza. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Kami tidak mahu keseluruhan piza terasa sama dan membosankan.

“Setiap keping mempunyai sembilan zon berbeza, jadi setiap gigitan memberi anda rasa yang berlainan,” tambah Encik Roy.

Sebagai contoh, mereka akan meletakkan sos tomato dengan lima jalur, dan tidak meletakkan semua sos tomato di doh piza itu.

Menurut Encik Roy, piza paling popular ialah ‘Mushroom Pesto Sourdough’, dengan sos pesto wangi dan sos tomato yang kaya dengan cendawan. 

Satu lagi piza yang menonjol ialahClam and Garlic Sourdough’, iaitu piza tradisi makanan laut San Francisco.

“San Francisco terkenal dengan makanan lautnya, dan saya mahu membawanya ke sini.

“Gabungan kerang dan bawang putih adalah salah satu perisa terkenal di sana, dan kini ia juga menjadi salah satu perisa terkenal kami.”

Namun, usaha untuk menyempurnakan resipi dan teknik membuat piza itu tidak mudah.

Encik Roy berkongsi tentang proses penye­lidikan dan pengembangan (R&D) bagi perisa ‘Potato Chicken Ham Sourdough’.

“Piza itu terkenal dan berasal dari Korea. Kami mengambil masa lapan bulan untuk mendapatkan resepi yang tepat.

“Kami mahukan sesuatu yang tidak terasa muak kerana ia penuh dengan karbohidrat,” ujarnya.

Justeru, kentang dan ‘chicken ham’ dipotong kecil mengikut saiz kiub yang sama rata.

Kejayaan Goldenroy Sourdough Pizza disebabkan dedikasinya terhadap mutu dan kesanggupannya untuk menjadi lain daripada yang lain.

Penggunaan roti sourdough, kepingan piza empat segi dan gabungan rasa yang unik membezakannya daripada gaya piza yang sering ditemui di Singapura.

“Menghasilkan perisa piza memang ada cabarannya, tetapi adalah penting untuk mempunyai kegigihan dalam menghasilkan ‘karya’ ini.

“Kadang-kadang, ia memerlukan 50 versi sebelum kami mendapat resipi yang betul,” kongsinya.

Prosesnya tidak tergesa-gesa. Setiap piza dibuat secara terpericini, daripada penapaian doh kepada bahan hiasan atasnya yang tepat.

“Kami mahu setiap pelanggan pulang dengan rasa puas hati, dan sebahagian daripadanya adalah memastikan piza kekal segar seberapa mungkin,” kata Encik Roy.

“Itulah sebabnya kami mempunyai ketuhar di meja supaya pengunjung boleh memanaskan semula kepingan itu jika piza menjadi sejuk.”

Patung lelaki berbadan sasa oleh artis, Chen Ke Min, dipamerkan di luar kedai Goldenroy Sourdough Pizza.
Patung lelaki berbadan sasa oleh artis, Chen Ke Min, dipamerkan di luar kedai Goldenroy Sourdough Pizza. - Foto GOLDENROY SOURDOUGH PIZZA

Bukan hanya piza di Goldenroy Sourdough Pizza menarik perhatian, malah karya seni artistik yang diletakkan di pelbagai sudut di restoran piza itu memberi pengalaman yang unik.

Goldenroy tidak membeli karya seni itu, sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada kerjasama dengan artis tempatan.

“Industri makanan sangat berdaya saing. Dengan menyepadukan konsep galeri seni, kami mempelbagaikan perniagaan.

“Jika jualan piza turun naik, seni itu masih boleh mendorong minat. Kami tidak membeli mana-mana karya seni ini.

“Ia dipaparkan di sini melalui perkongsian dengan artis, Encik Chen Ke Min. Karya mereka memeriahkan suasana dengan warna emas pada arca yang memberi sentuhan mewah,” ujar Encik Roy tentang konsep kedai piza itu.

Kerjasama itu juga memberi pendedahan kepada karya artis, dengan Goldenroy menerima komisen sebanyak 20 peratus bagi karya yang dijual.

Goldenroy Sourdough Pizza tetap meriah tidak kira pada hari bekerja ataupun hujung minggu.

“Pada hari bekerja kami menjual 200 kotak piza dan 300 kotak piza pada hujung minggu,” kongsi Encik Roy.

Harga: Harga sekotak piza bermula pada harga $30 untuk empat keping piza sesuai untuk dikongsi bersama dua orang.

Goldenroy Sourdough Pizza
Alamat: 125 Desker Road, Singapura 209642
Waktu Operasi:
  • Selasa hinga Ahad, 12 petang hingga 9 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg