Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan dipenjara seminggu, didenda $52.5k setiap seorang kerana biak kucing haram di rumah

Nov 21, 2025 | 8:55 PM
Wen Tianhao dan isterinya, Qiu Shiwen, menjual lapan anak kucing dengan jumlah keseluruhan $46,300.
Wen Tianhao dan isterinya, Qiu Shiwen, menjual lapan anak kucing dengan jumlah keseluruhan $46,300. - Foto ST

Sepasang suami isteri mula membiak kucing Ragdoll yang diperolehi dari luar negara di rumah kerana melihatnya sebagai peluang perniagaan.

Kucing ‘ragdoll’ merujuk pada baka kucing besar, lembut dan berbulu panjang.

Pasangan ini dikatakan membawa masuk seekor Ragdoll jantan dan empat betina, yang kemudian menghasilkan 30 anak kucing antara Mei 2022 dengan Mei 2023, meskipun mengetahui perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Daripada anak kucing itu, lapan dijual dengan jumlah keseluruhan $46,300.

Pada 20 November, Wen Tianhao dan Qiu Shiwen, kededuanya 29 tahun, masing-masing didenda $52,500 dan dipenjara seminggu.

Mereka mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengendalikan perniagaan pembiakan tanpa lesen dan 15 pertuduhan menyimpan kucing untuk dijual di rumah tanpa lesen.

Dokumen mahkamah menunjukkan Wen, seorang rakyat Singapura, dan Qiu, seorang warga China dan Penduduk Tetap, merancang untuk membuka pusat pembiakan kucing pada 2021.

Mereka merasakan kucing Ragdoll yang dijual di Singapura bermutu rendah, lalu membawa masuk lima kucing dewasa dari luar negara untuk memulakan usaha itu.

Pada Mei 2022, Wen menghubungi Lembaga Taman Negara (NParks) untuk bertanya tentang cara mendapatkan lesen kedai haiwan peliharaan.

Dia dimaklumkan lesen sah diperlukan untuk membiak haiwan bagi tujuan jualan, dan pembiakan perniagaan hanya dibenarkan di ladang berlesen.

Wen kemudian memohon lesen berkenaan pada 1 Jun 2022, lapor The Straits Times (ST).

Namun sekitar masa yang sama, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) menerima maklumat pasangan itu membiak kucing di rumah untuk dijual.

Siasatan dijalankan dan pada 12 September 2022, mereka masing-masing didenda $300 kerana menyimpan kucing yang dibiakkan tanpa lesen.

Dua hari kemudian, Wen menerima kelulusan lesen kedai haiwan peliharaan, tetapi syaratnya jelas menyatakan hanya kucing dari ladang berlesen atau sumber yang diluluskan AVS boleh dijual.

Sehari selepas menerima lesen, Wen meminta pengecualian untuk menjual 11 anak kucing yang mereka biakkan sendiri, namun permohonan itu ditolak.

Mereka diarahkan menyerahkan kucing-kucing tersebut kepada keluarga dan rakan-rakan.

Walaupun begitu, pada 18 Januari 2023, AVS menerima laporan baru mereka masih membiak dan menjual anak kucing Ragdoll dari rumah.

Pemeriksaan pada Jun 2023 membawa kepada rampasan tujuh ekor kucing, diikuti pemeriksaan lanjut pada 8 Ogos 2023, yang membawa kepada rampasan 14 ekor lagi.

Pendakwaan menyatakan kes ini merupakan antara kes pembiakan tanpa lesen paling serius yang pernah dikesan.

Dokumen mahkamah turut menyatakan pasangan itu membangun laman web dan akaun media sosial untuk mengiklankan jualan dengan tiga peringkat harga iaitu ‘tahap haiwan peliharaan’, ‘tahap pameran’ dan ‘tahap pameran tertinggi’.

Harga anak kucing mereka bermula dari $4,000 hingga $7,000 seekor, dan lapan ekor terjual dengan harga $46,300.

Kes ini juga berlaku sehari selepas satu lagi kes melibatkan puluhan haiwan.

Pada 19 November, Julia Nicole Moss, 50 tahun, didenda $21,500 kerana menyimpan 78 anjing poodle dan seekor anjing golden retriever, yang dikatakan mudah manja, di rumahnya.

Kesemua 79 anjing tidak berlesen dan sebahagian besarnya tidak mempunyai mikrocip.

Anjing-anjing tersebut dirampas oleh NParks, dengan tiga daripadanya dipulangkan selepas Moss bersetuju mendapatkan lesen sah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg