Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenjawat awam bakal terima bonus pertengahan tahun 0.45 bulan
Penjawat awam bakal terima bonus pertengahan tahun 0.45 bulan
Pegawai gred rendah dapat bayaran tambahan sehingga $400
Penjawat awam bakal terima bonus pertengahan tahun 0.45 bulan
Semua kakitangan perkhidmatan awam akan menerima bonus pertengahan tahun sebanyak 0.45 bulan, dengan pegawai gred rendah menerima bayaran tambahan sekali sahaja sehingga $400, umum Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD).
Dalam satu kenyataan pada 23 Jun, PSD menyatakan kakitangan perkhidmatan awam dalam gred bersamaan MX13(I) dan MX14 akan menerima bayaran tambahan sekali sahaja sebanyak $250.
Sementara kakitangan perkhidmatan awam dalam gred bersamaan MX15 dan MX16, serta di bawah Skim Sokongan Operasi (OSS), akan menerima bayaran sekali sahaja sebanyak $400.
Bayaran pertengahan tahun ini mengambil kira prestasi ekonomi Singapura pada suku pertama 2026, serta hakikat bahawa risiko penurunan terhadap unjuran ekonomi Singapura masih ketara, ujar PSD.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengekalkan unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi 2026 antara 2 peratus dengan 4 peratus, meskipun risiko penurunan masih ketara susulan konflik di Timur Tengah.
Anggaran awal Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menunjukkan pasaran pekerja kekal berdaya tahan pada suku pertama 2026, walaupun kadar pertumbuhan pekerjaan lebih perlahan berbanding suku terakhir 2025.
PSD menyatakan kesatuan sektor awam telah dirujuk sebelum pengumuman ini, dan pemerintah serta pihak kesatuan akan memantau perkembangan ekonomi sepanjang tahun ini serta mengambil kira garis panduan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) dalam menentukan bonus hujung tahun.
Pada 2025, penjawat awam menerima bonus pertengahan tahun sebanyak 0.4 bulan dan bonus hujung tahun 1.3 bulan.
Mengulas pengumuman PSD, Setiausaha Agung Gabungan Kesatuan-Kesatuan Pekerja Awam (AUPE), Encik Sanjeev Kumar Tiwari, berkata jumlah bonus itu dicadangkan oleh pihak kesatuan dan lebih tinggi berbanding bayaran bonus pertengahan 2025.
“Ini merupakan pengiktirafan yang adil terhadap usaha dan sumbangan baik penjawat awam kita.
“AUPE akan terus bekerjasama rapat dengan pemerintah untuk memantau keadaan ekonomi dan melaraskan AVC (Komponen Berubah-ubah Tahunan) hujung tahun mengikut keperluan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Cham Hui Fong, berkata bayaran itu merupakan “hasil yang adil dan seimbang” yang mengiktiraf usaha penjawat awam, sambil mengambil kira keadaan ekonomi yang lebih luas.
Bayaran tambahan sekali sahaja kepada pegawai gred rendah juga memberi “sokongan bermakna dan bersasar bagi membantu mereka menangani tekanan kos sara hidup”, katanya.
Tambah beliau, NTUC akan terus bekerjasama dengan kesatuan sektor awam dan pemerintah bagi memastikan pegawai sektor awam “terus menerima sokongan sewajarnya serta bersedia menghadapi cabaran akan datang”.
