Syarikat gergasi Grab, yang menawarkan perkhidmatan tempahan kenderaan melalui talian atau e-panggilan terbesar di Singapura, akan menaikkan bayaran platformnya sebanyak 30 sen mulai 1 Januari 2026.
Susulan itu, penumpang akan membayar $1.20, meningkat daripada 90 sen ketika ini, menurut syarikat tersebut dalam satu pengumuman menerusi e-mel pada 24 Disember.
Kenaikan ‘bayaran platform dan rakan kongsi’ itu bertujuan menyokong pelaksanaan kemas kini kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pemandu di bawah Akta Pekerja Platform, dedah Grab.
Ia juga akan digunakan bagi penyelenggaraan platform dan penambahbaikan perkhidmatan, selain inisiatif kebajikan lain, lapor The Straits Times (ST).
Bayaran baru itu hanya untuk pengangkutan, manakala perkhidmatan lain seperti GrabFood, GrabMart dan GrabExpress kekal tidak berubah.
Di bawah Akta Pekerja Platform yang berkuat kuasa Januari lalu, pekerja platform yang lebih muda, iaitu mereka yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1995, diwajibkan menyumbang lebih tinggi ke dalam akaun CPF masing-masing, dengan syarikat platform turut perlu menyumbang bahagian mereka.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, kadar sumbangan bagi pekerja platform ini akan meningkat sehingga 2.5 mata peratusan setahun, manakala kadar bagi pengendali platform pula meningkat sehingga 3.5 mata peratusan setahun.
Grab berkata dengan peningkatan berperingkat sumbangan CPF sepanjang lima tahun akan datang, bayarannya mungkin diselaraskan “dari semasa ke semasa” bagi mencerminkan perubahan tersebut serta kos kebajikan dan operasi lain.
Sementara itu, Grab menambah bahawa bayaran pemandunya, iaitu kos berasingan yang perlu ditanggung pelanggan bagi “membantu mengimbangi peningkatan kos operasi di jalan raya”, akan kekal pada 50 sen sehingga 30 Jun 2026.
Platform itu turut mengumumkan langkah serupa pada 24 Disember 2024, bersama aplikasi atau platform e-panggilan lain.
ST telah menghubungi pengendali e-panggilan Gojek, Tada, Ryde serta CDG Zig milik ComfortDelGro untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg