Masalah gemuk adalah masalah berdekad yang semakin menjadi-jadi sedang dunia bermewah-mewah dengan bermacam sumber makanan sedangkan orang kurang bergerak atau berpeluh kerana banyak kerja yang boleh diselesaikan sambil duduk di depan komputer di dalam bilik yang berhawa dingin.
Data menunjukkan lebih separuh daripada penduduk dunia akan mengalami berat badan berlebihan atau obes menjelang 2035 jika tiada tindakan berkesan diambil, menurut laporan yang dikeluarkan tidak lama dulu.
Atlas Persekutuan Obesiti Dunia 2023 meramalkan bahawa 51 peratus daripada penduduk dunia, atau lebih 4 bilion orang, akan mengalami obesiti atau berat badan berlebihan dalam tempoh 12 tahun akan datang.
Apa yang tidak disedari, masalah kegemukan sebenarnya menjejas ekonomi terutama apabila ia dikaitkan dengan masalah kesihatan.
Orang dewasa yang berlebihan berat badan dan obes berumur 40 hingga 80 tahun di Singapura dianggarkan bertanggungjawab bagi sejumlah $261 juta kos perubatan dan ketidakhadiran setiap tahun, menurut kajian penyelidik Sekolah Perubatan Duke-NUS yang dikeluarkan pada Oktober 2022.
Kajian itu, bertajuk ‘Beban Ekonomi Berat Berlebihan dalam Kalangan Orang Tua di Singapura: Kajian Keratan Rentas’, melibatkan 5,848 orang dewasa berumur 40 hingga 80 tahun daripada tiga kaum dominan Singapura.
Daripada jumlah itu, 2,467 orang Cina; 2,128 orang India; dan 1,253 orang Melayu, mewakili penduduk Singapura dari segi umur, tempat tinggal dan status sosioekonomi.
Langkah pencegahan boleh mengurangkan risiko beban ekonomi akibat kegemukan ini jika ada kemahuan yang bersungguh-sungguh di pihak yang terjejas, disertai usaha mendapatkan maklumat yang betul agar tiada kos yang tidak perlu akan dikeluarkan.
Malangnya, ketika dibelenggu keresahan dengan keadaan badan yang semakin bertambah sehingga pakai baju apa pun kita rasa tak cantik, kita akan mudah terpengaruh dengan suara-suara dan visual di media sosial yang membisikkan ‘rahsia diet’ yang ‘cepat dan berkesan’.... Makan pil atau minum jus tertentu berapa botol saja dah boleh kurus… dakwa pengiklan. Alahai.. Kurusnya mungkin hanya untuk sebulan dua… lepas itu, walhasil balik asal.
Kisah Cik Lenny Karmila dan rakan-rakan dari kumpulan masyarakat gaya hidup sihat yang diketengahkan WHe dalam ruangan kali ini membuktikan tiada jalan pintas untuk mendapatkan kembali berat badan ideal setelah bertahun-tahun bacaan indeks jisim tubuh (BMI) begitu tinggi.
Masing-masing ada sebab tersendiri yang mencetuskan tindakan sebelum terlewat. Semuanya mengakui tidak mudah mencapai misi.
Tetapi bagusnya kaum wanita ini, apabila mereka bergabung sebagai satu pasukan yang berkongsi matlamat serupa, mereka saling membantu memberi motivasi, meraikan setiap kejayaan biarpun hanya dapat mengurangkan satu kilogram dan beberapa inci ukuran di badan.
Di Singapura, terdapat banyak kemudahan untuk memulakan gaya hidup sihat. Selain ratusan gimnasium di sini, terdapat lebih 350 taman yang boleh anda pilih untuk pelbagai kegiatan senam.
Manfaatkan juga Rangkaian Penghubung Taman (PCN), ia sistem laluan yang meliputi jarak lebih 300 kilometer untuk anda berlari-lari anak, berbasikal dan berjalan jauh, yang menghubungkan beberapa taman terbaik Singapura.
Selain itu, pemerintah juga telah melancarkan skim SG Lebih Sihat yang menawarkan pemeriksaan kesihatan dan cadangan program yang boleh anda sertai sesuai dengan kesihatan dan usia masing-masing.
Kena keluarkan peluh, baru dapat lihat hasil yang berpanjangan dan berkesan.
Usah tunggu. Bak slogan Nike, Just do it. Buat sahaja. Nothing is impossible, atau tiada yang mustahil, bak slogan Adidas. Kalau perlukan bimbingan, ramai jurulatih bertauliah boleh membantu. Siapa tahu anda boleh jadi lebih hebat daripada sebelum ini.