Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Mahu sihat demi keluarga dan masa depan

Usaha mengurangkan berat badan bukan sesuatu yang mudah, bahkan kadangkala menjadi perjalanan yang ‘sunyi’ bagi individu yang berjuang untuk mengatasinya. Di Singapura sepanjang sedekad lalu, kadar obesiti Singapura telah meningkat dengan kajian pada 2020 mendapati 28.8 peratus rakyat Singapura mempunyai berat badan berlebihan, dan 10.5 peratus adalah obes. Berat badan berlebihan bukan sahaja menjadi punca banyak penyakit kronik, bahkan menjejas emosi, mental dan kewangan. Ikuti perjalanan beberapa wanita Singapura dalam usaha mereka keluar daripada data obes Singapura demi menjadi individu yang lebih sihat, ceria dan positif.
Sep 06, 2023 | 05:30 AM



Satu ketika dulu, makan lewat malam menjadi perkara biasa buat pendidik muzik, Cik Lenny Karmila Mohamed Kamal, 35 tahun, lebih-lebih lagi selepas beliau penat menjayakan pementasan kesenian yang disertainya.

Cik Lenny mulanya tidak begitu peduli dengan pertambahan berat badan.

Baginya menyempurnakan tugasan muzik atau program pendidikan muzik yang dikendalikannya adalah lebih utama, memandangkan beliau mahu memastikan keadaan ekonomi keluarganya dalam keadaan mantap.

Beliau membantu menyara keluarga sejak bapanya meninggal dunia.

Namun hari demi hari, beliau menyedari ada yang tidak kena terhadap kesihatannya, sementara emosinya cepat terganggu.

“Saya cepat penat dan badan terasa amat berat. Mood tak seimbang… saya cepat marah, sedih dan hilang rasa yakin diri. Saya menjadi amat negatif dan murung,” akui anak kedua dua beradik itu.


Beliau memiliki ijazah pengajian Korea, dengan pengkhususan Ethnomusicology (budaya muzik) dan kajian bahasa Korea, di Universiti Yonsei, Korea Selatan. Sebelum itu, beliau menunut di Maktab Seni Lasalle.

Cik Lenny kemudian ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan, namun ‘rawatan’ mujarab yang disarankan doktor kepadanya ialah: “Awak perlu turunkan berat badan.”

Selain itu, doktor juga mendapati kandungan gula dalam darahnya berada dalam bacaan yang tidak begitu memuaskan biarpun belum sampai ke tahap kencing manis.

Pelbagai cara Cik Lenny lakukan untuk menurunkan berat badan – termasuk mengambil suplemen dan diet secara drastik. Namun hasilnya mengecewakan apabila berat badannya turun naik, tidak konsisten.

“Memang susah nak kuruskan badan. Dahlah satu cabaran besar nak kurangkan makan dan nak mula bersenam, hati pula nak kena tahan diri dengan godaan sekeliling. Bagi saya ia satu perjalanan sunyi apabila kita tak ada sokongan.

Selepas bermacam usaha tidak menjadi, beliau kemudian mula mencari kumpulan-kumpulan masyarakat yang berkongsi misi yang sama untuk menurunkan berat badan.

Pencariannya menemukan beliau dengan teamLive24, yang anggotanya terdiri daripada berbilang bangsa dan pelbagai peringkat usia, dari semuda 20 tahun hingga ke lebih 60 tahun.

Seperti Cik Lenny, anggota lain dalam kumpulan itu termasuk Cik Aida Raihana, Cik Royhaizah Md Yusof, Cik Suria Norhan dan Cik Norain Shariff Khan (lihat gambar berkumpulan) masing-masing mempunyai masalah berat badan berlebihan sehingga menjejas kesihatan dan pergerakan. (Baca laporan ‘Semangat ‘women power’ bantu capai sasaran turun berat badan’ untuk perkongsian perjalanan mereka)

“Kami mulanya tidak mengenali antara satu dengan lain, tetapi saling memberikan motivasi. Kami meraikan setiap pencapaian biarpun hanya turun satu kilogram (kg) atau satu inci pinggang. Kami menjadi sebuah keluarga yang besar,” kata Cik Lenny, seorang pemain biola dan keyboard.


Antara senaman yang dilakukan termasuklah berjalan jauh melebihi 10 kilometer (km) kadangkala melebihi 20 km, naik anak-anak tangga flat, latihan selang intensiti tinggi (HITT), kardio serta regangan tubuh badan. Mereka yang mahu mendapatkan otot yang pejal akan mengangkat berat di gimnasium.

Anggota kumpulan itu juga mengadakan bengkel pemakanan sihat dan diet secara dalam talian, dikendalikan oleh mentor-mentor yang lebih berpengalaman.

“Dari segi diet, kami tidak menyekat makan, kami ikut pelan pemakanan yang lebih sihat. Seminggu sekali, ada ‘cheat day’ untuk makanan kegemaran yang mungkin kurang sihat, tetapi kami tetap mengambilnya pada kadar yang sedikit agar tidak terindu-rindu,” selorohnya.

Hasil kerja kerasnya, Cik Lenny berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 20 kg dalam tempoh setahun. Mood-nya semakin baik dan beliau lebih ceria dan berfikiran positif.


“Terasa lebih ‘power’ dari segi tenaga, pemikiran positif dan saya kini lebih gembira. Siapa tak suka bila orang perasan dengan perubahan diri kita. Tetapi lebih penting, saya sendiri gembira. Saya harap dapat kurangkan lima kg lagi berat badan dan perlu mantapkan sendi-sendi dan otot,” ujarnya.

Beliau yang sering memakai kebaya semasa membuat persembahan muzik bagi acara kesenian Melayu dengan bangga berkata kebaya yang biasanya dipakainya sejak bertahun-tahun kini terpaksa dikecilkan kerana ia sudah kelihatan gedoboh.

“Masalah yang menggembirakan saya,” akuinya.

Kalau dulu beliau pasti mencari tangga bergerak atau lif di bangunan tinggi, kini beliau seronok menaiki tangga.

Ditanya apa yang membakar semangatnya untuk memastikan beliau berjaya mencapai matlamat, Cik Lenny berkata lebih daripada sekadar mahu kuruskan badan, beliau mahu sihat demi kehidupan yang lebih baik dan kerana tidak mahu menyusahkan keluarganya.

“Selama ini kita terlalu sibuk bekerja, cari duit untuk bantu keluarga sampai tidak ada masa untuk menjaga diri sendiri. Boleh dikatakan, kita kejam terhadap diri sendiri.

“Tetapi bila dikejutkan dengan kenyataan kemungkinan saya boleh jatuh sakit jika keadaan berterusan dengan gaya hidup lama, saya jadi sedih dan takut. Saya tak mahu susahkan ibu atau abang saya kalau saya sakit,” akuinya.

Hasil latihan dan bimbingan intensif mentor-mentornya dalam program menurunkan berat badan, Cik Lenny kini siap menjadi ‘jurulatih kesihatan’, membantu orang lain menjalani kehidupan lebih sihat dan mencapai berat badan ideal.

Panduan sihat daripada Cik Lenny Karmila

1. Dengarkan badan anda: Makan makanan segar, mengisi diet anda dengan makanan lengkap. Berlapar boleh membantu anda menurunkan berat badan, tetapi ia tidak mampan untuk gaya hidup sihat yang berterusan.


2. Catatan: Tulis kenapa anda bermula dan nak turun berat badan.


3. Pilih senaman yang anda suka: Tiada gunanya melakukan senaman yang anda tidak suka. Anda mungkin menurunkan berat badan, tetapi anda tidak akan mengekalkannya. Senaman tidak harus membuat diri anda sengsara.


4. Buat yang mampu: Kesederhanaan, bukan kekurangan adalah kunci untuk mencari gaya hidup yang bahagia dan sihat. Cara terbaik untuk menikmati hidangan manis yang anda gemari dan menurunkan berat badan adalah dengan membuat alternatif yang sihat – seperti menukar gula kepada madu atau coklat kepada koko.


5. Motivasi: Dapatkan jurulatih pembimbing atau rakan yang sama misi untuk pantau prestasi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >