Zaman golongan bapa yang kurang terlibat dalam penjagaan anak, sudah lama berlalu.

Dianggarkan, purata masa yang diluangkan oleh golongan bapa menjaga anak meningkat empat kali ganda dalam tempoh 50 tahun.

Sikap mereka terhadap keibubapaan juga berubah.

Hari ini, lelaki hampir sama cenderung dengan wanita untuk mengatakan bahawa keibubapaan membawa makna yang penting dalam kehidupan mereka.

Sekitar 85 peratus bapa mengenal pasti bahawa peranan sebagai ibu bapa adalah salah satu aspek paling penting dalam membentuk identiti mereka.

Sebagai penyelidik keibubapaan yang memberi tumpuan kepada golongan bapa, saya gembira melihat bapa pada hari ini begitu komited terhadap anak-anak mereka.

Penglibatan mereka menghasilkan perkembangan yang baik untuk anak, dan mengurangkan tekanan terhadap ibu.

Namun, terdapat satu trend yang kurang menggalakkan di sebalik kemajuan ini.

Lebih banyak tuntutan diletakkan ke atas bapa – dan juga ibu – kerana rangkaian keluarga besar dan masyarakat yang suatu ketika dahulu menyokong penjagaan anak, semakin mengecil atau merosot.

Jaga anak sendiri

Dalam menjalankan penyelidikan untuk buku baru saya, Dad Brain: The New Science of Fatherhood and How it Shapes Men’s Lives (Otak Ayah: Sains Baharu tentang Kebapaan dan Bagaimana Ia Membentuk Kehidupan Lelaki), saya berbual dengan seorang ahli antropologi, Profesor Barry Hewlett, yang meluangkan kerjayanya mengkaji peranan bapa dalam kalangan masyarakat pemburu-pengumpul.

Salah satu masyarakat yang dikajinya ialah Aka Pygmies dari Congo Tengah.

Golongan bapa dalam masyarakat Aka pernah digelar sebagai ‘bapa terbaik di dunia’, kerana komitmen mereka terhadap penjagaan anak.

Dalam masyarakat Aka, golongan bapa sering diperhatikan berada dalam jarak dekat dengan bayi mereka, dan memainkan peranan utama dalam membesarkan anak-anak.

Kanak-kanak dilihat sebagai teras kehidupan kaum lelaki dalam masyarakat tersebut.

Namun, jika anda membandingkan masa yang diluangkan oleh golongan bapa masyarakat Aka dengan penjagaan anak, di samping data terkini mengenai ibu bapa di Amerika Syarikat, seperti yang dilakukan baru-baru ini oleh penulis keibubapaan, Encik Tomo Kumaki, anda mungkin terkejut.

Menurut data Tinjauan Penggunaan Masa Amerika 2024 – yang dianggap sebagai piawaian utama dalam mengukur cara rakyat Amerika menghabiskan masa mereka – golongan bapa yang mempunyai bayi, meluangkan sekitar 125 minit sehari menjaga anak sebagai peranan utama mereka.

Mereka juga meluangkan 394 minit lagi untuk penjagaan anak sebagai peranan sampingan, seperti memantau anak sambil memasak untuk makan malam atau mengemas rumah.

Sebaliknya, menurut kajian lapangan Profesor Hewlett, golongan bapa masyarakat Aka yang mempunyai bayi, meluangkan sekitar 57 minit sehari menjaga anak sebagai peranan utama, dan 96 minit sehari menjaga anak secara sampingan.

Jumlah minit yang dilaporkan oleh golongan bapa di Amerika itu perlu ditafsirkan dengan berhati-hati.

Ini kerana agak sukar untuk membandingkan pemerhatian langsung seorang ahli antropologi dengan data yang dilaporkan sendiri oleh responden, yang sering terdedah kepada kecenderungan tertentu.

Namun begitu, menarik untuk melihat bagaimana bapa pada hari ini meluangkan jauh lebih banyak masa menjalankan tanggungjawab keibubapaan, berbanding masyarakat yang digelar sebagai mempunyai golongan bapa terbaik di dunia (seperti masyarakat Aka).

Apabila saya berbincang dengan Profesor Hewlett mengenai bagaimana peranan bapa telah berubah, beliau berpendapat peranan golongan bapa kini lebih penting berbanding sebelum ini.

Ia bukan sahaja kerana ibu lebih cenderung bekerja di luar rumah, bahkan juga kerana semakin kurang individu lain yang boleh membantu menjaga anak.

Apabila anda dikelilingi oleh saudara-mara dan jiran seperti dalam masyarakat Aka, adalah lebih mudah mendapatkan bantuan menjaga anak.

Bapa menjaga anak, tetapi pada masa yang sama, ramai lagi yang boleh membantu.

Satu kajian pada 2021 mengenai masyarakat pemburu-pengumpul Agta di Filipina mendapati bahawa golongan bapa hanya menyumbang kira-kira 7 peratus daripada keseluruhan penjagaan anak.

Ibu pula menyumbang sekitar 25 peratus.

Selebihnya, urusan penjagaan datang daripada adik-beradik, datuk dan nenek, keluarga besar, rakan sebaya dan anggota masyarakat lain.

Jurang kelas

Di kebanyakan negara perindustrian, kehidupan harian berpusat kepada keluarga nuklear, dengan saudara-mara dan jiran memainkan peranan yang kurang penting berbanding dahulu.

Golongan bapa hari ini menyumbang lebih banyak kepada penjagaan anak berbanding bapa pemburu-pengumpul yang paling aktif sekalipun, kerana “kampung” yang menyokong penjagaan bersama, kini jauh lebih kecil.

Walaupun lelaki semakin digalakkan memainkan peranan lebih besar dalam penjagaan anak, adalah lebih sukar untuk sesetengah lelaki berbuat demikian.

Ini kerana – sekurang-kurangnya di Amerika – masa yang dapat diluangkan oleh seorang bapa untuk menjaga anak semakin dipengaruhi kedudukan kelas sosial.

Beberapa siri data Amerika yang dikumpulkan Kajian Penggunaan Masa Berbilang Nasional menunjukkan bahawa peningkatan ketara dalam masa yang diluangkan oleh golongan bapa untuk keibubapaan sepanjang 60 tahun lalu, didorong oleh bapa yang berpendidikan universiti.

Apabila kajian itu bermula pada 1960-an, bapa yang mempunyai ijazah universiti hanya meluangkan beberapa minit tambahan sehari untuk penjagaan anak, berbanding bapa yang tidak mempunyai pendidikan universiti.

Namun, jurang itu kini meningkat lima kali ganda, sehingga bapa berpendidikan universiti kini meluangkan 46 minit sehari lebih banyak bersama anak mereka, berbanding bapa yang tidak berpendidikan universiti.

Mengapakah jurang ini semakin melebar?

Sebahagiannya kerana manfaat seperti cuti paterniti bergaji dan pilihan pekerjaan yang stabil serta fleksibel hanya tersedia kepada bapa yang mempunyai pekerjaan yang baik.

Hanya kira-kira separuh golongan bapa di Amerika mengambil cuti paterniti bergaji selepas kelahiran bayi mereka, kerana ramai majikan tidak menawarkannya.

Secara teori, kebanyakan bapa yang tidak mempunyai akses kepada cuti bergaji sepatutnya layak mendapat cuti tanpa gaji di bawah Akta Cuti Keluarga dan Perubatan 1993.

Namun, kerana undang-undang itu tidak terpakai kepada perniagaan kecil atau banyak pekerjaan sambilan dan ekonomi gig, kira-kira 44 peratus pekerja tidak layak mendapat manfaat tersebut.

Bapa berpendapatan rendah juga sering kali enggan mengambil cuti kerana tidak mampu kehilangan pendapatan.

Peningkatan amalan yang digelar ahli sosiologi sebagai ‘intensive parenting’ dalam kalangan ibu bapa yang berpendidikan dan berada, turut menjelaskan sebahagian daripada jurang kelas dalam masa keibubapaan.

Apabila jurang kekayaan antara rakyat Amerika yang paling kaya dengan paling miskin semakin melebar sepanjang 60 tahun lalu, ramai ibu bapa semakin berusaha mengoptimumkan kejayaan anak-anak mereka.

Meluangkan lebih banyak masa bersama anak, termasuk memantau kerja sekolah mereka dan mendaftarkan mereka dalam kegiatan pengayaan yang memerlukan masa dan wang, menjadi salah satu cara ibu bapa yang berkemampuan memberikan kelebihan tambahan kepada anak-anak mereka.

Pada pandangan saya, keibubapaan tidak sepatutnya menjadi satu kemewahan.

Rakyat Amerika seharusnya memperjuangkan dasar yang membolehkan semua golongan bapa, tanpa mengira pendapatan, menikmati masa bersama anak-anak mereka.

“Kampung” yang menyokong keluarga juga perlu dipulihkan, kerana ibu bapa mendapat manfaat paling besar apabila mereka mempunyai akses kepada sokongan masyarakat, serta hubungan yang lebih kukuh dengan jiran, rakan dan keluarga.

Penulis ialah profesor psikologi di Kolej Persuratan, Seni dan Sains USC Dornsife, California, Amerika Syarikat. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.