Penyakit jantung mungkin lebih sering dialami golongan dewasa, tetapi ilmu tentang gaya hidup yang sihat untuk jantung baik diterap sejak zaman kanak-kanak lagi.

Malah, masa kanak-kanak berada di peringkat prasekolah itulah tempoh penting untuk menggalak amalan pemakanan sihat, kecergasan fizikal dan kesediaan bertindak balas secara berkesan semasa kecemasan jantung.

Bagi mencapai matlamat itu, Yayasan Jantung Singapura (SHF), pada 16 Julai melancarkan inisiatif buku kanak-kanak baharu dinamakan, Project Heart Sprouts, untuk prasekolah.

Buku pertamanya berjudul, I Can Eat a Rainbow! (Saya Boleh Makan Pelangi!).

Buku itu memperkenalkan amalan pemakanan sihat untuk jantung melalui penceritaan menarik dan berwarna-warni yang menggalak kanak-kanak menikmati buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan sihat lain sebagai sebahagian diet seimbang.

Terdapat juga kegiatan interaktif dalam bilik darjah untuk membantu kanak-kanak memilih makanan yang lebih baik untuk kesihatan jantung, dan kegiatan yang boleh dibawa pulang bagi menggalakkan mereka melibatkan ibu bapa dalam menyediakan bekal makanan yang menyihatkan jantung.

Buku ‘I Can Eat a Rainbow!’ (Saya Boleh Makan Pelangi!), memperkenalkan amalan pemakanan sihat untuk jantung melalui penceritaan menarik dan berwarna-warni yang menggalak kanak-kanak menikmati buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan sihat lain sebagai sebahagian diet seimbang.
Buku ‘I Can Eat a Rainbow!’ (Saya Boleh Makan Pelangi!), memperkenalkan amalan pemakanan sihat untuk jantung melalui penceritaan menarik dan berwarna-warni yang menggalak kanak-kanak menikmati buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan sihat lain sebagai sebahagian diet seimbang. - Foto SHF

Menurut penolong pengarah bagi perkongsian strategik dan filantropi, serta pakar pemakanan kanan SHF, Encik Lim Kiat, banyak faktor risiko penyakit kardiovaskular boleh dielakkan jika amalan gaya hidup yang menyihatkan jantung diterapkan sejak awal usia.

“Kajian menunjukkan bahawa pilihan pemakanan dan tabiat makan yang dibentuk semasa usia prasekolah sering berterusan hingga ke zaman remaja dan dewasa.

“Kanak-kanak yang kerap didedahkan kepada makanan berkhasiat serta pengalaman waktu makan yang positif lebih cenderung untuk terus membuat pilihan makanan lebih sihat apabila meningkat dewasa.

“Sebaliknya, tabiat seperti pengambilan makanan tinggi garam, tinggi gula dan makanan yang diproses secara berlebihan boleh menjadi sebati dalam kehidupan mereka dan lebih sukar diubah dari semasa ke semasa.

“Memandangkan penyakit kardiovaskular merupakan punca utama kematian di Singapura, merangkumi hampir satu daripada setiap tiga kematian, usia prasekolah merupakan tempoh yang amat berharga untuk membentuk tabiat sihat sepanjang hayat bagi membantu membendung peningkatan trend ini,” kata Encik Lim.

Selain itu, kanak-kanak juga boleh menjadi agen perubahan yang berkesan.

“Apabila mereka teruja untuk membuat pilihan yang lebih sihat, mereka sering membawa mesej tentang kesihatan jantung ke rumah dan mula meminta lebih banyak buah-buahan serta sayur-sayuran, menggalakkan kegiatan berjalan bersama keluarga atau mengingatkan ibu bapa tentang apa yang telah mereka pelajari di sekolah.

“Pengaruh ini boleh berkembang dengan lebih luas kerana ia berpotensi mengubah amalan kesihatan seluruh keluarga,” jelas Encik Lim.

Ini dapat dilihat melalui kegiatan selepas membaca buku, I Can Eat a Rainbow!, yang menghendaki kanak-kanak dan ibu bapa mereka menyediakan bekal makanan yang lebih menyihatkan jantung bersama-sama.

Kanak-kanak berpeluang mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam keadaan sebenar dan ibu bapa pula dapat menjadi lebih peka terhadap kesihatan jantung apabila menyediakan makanan untuk anak mereka.

Di peringkat perintis ini, SHF telah menyediakan buku, I Can Eat a Rainbow!, di 103 pusat prasekolah PCF Sparkletots untuk membantu membentuk amalan pemakanan lebih 4,400 murid tadika satu dan tadika dua.

Ia turut mengalu-alukan pengendali prasekolah lain supaya menyertai inisiatif itu agar lebih ramai kanak-kanak di Singapura dilengkapi ilmu menjalani gaya hidup lebih sihat untuk jantung sedang mereka membesar.

Dua lagi buku cerita akan diperkenalkan dalam dua tahun mendatang.

Ia akan memberi tumpuan kepada kecergasan fizikal dan kesediaan kecemasan jantung untuk meluaskan pemahaman kanak-kanak tentang kesihatan jantung.