Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Gerai wafel dan kopi berkonsep unik

Nov 18, 2023 | 05:30 AM



Pasangan suami isteri di sebalik 60 Alley Bakes & Coffee, Cik Nurain Ismail dan Encik Muhammad Faheem Maselan, menawarkan konsep ‘Back Alley’ atau lorong belakang kedai, yang harus dikunjungi di 60 Arab Street.


Konsep lorong belakang itu adalah ‘permata tersembunyi’, dengan wafel dan kopi yang bukan sahaja lazat malah harganya juga berpatutan.







Setelah menjual biskut dalam talian selama lima tahun, mereka berdua membuat keputusan untuk mencari kedai di Arab Street yang juga berfungsi sebagai dapur pusat untuk menghasilkan biskut.

“Kami sedang berjalan di sekitar Arab Street dan meminta ejen menunjukkan beberapa tempat.

“Kami terjumpa tempat lorong belakang ini dan lokasi itu mencuri hati kami berdua” kenang Cik Nurain, 32 tahun, ibu dua anak.

“Pada mulanya, tiada rancangan untuk kedai lorong belakang tetapi suasananya mengingatkan kami kepada Bali dan Thailand, yang lebih santai,” kata Encik Faheem, 31 tahun, sambil menekankan konsep ‘Hidden Gem’ atau ‘permata tersembunyi’.


Encik Faheem, seorang penggemar kopi, ingin berkongsi rasa cintanya terhadap minuman itu kepada pelanggan.

“Kami mahu membawa sesuatu yang lebih daripada sekadar biskut dan ketika itulah kami menjual kopi yang juga sesuai dimakan dengan wafel,” tambahnya.

Menu yang menampilkan kopi dan wafel, merupakan tambahan yang menarik di kawasan Arab Street.

Ini setelah kedua-dua pemilik itu, menyedari ketiadaan kedai wafel tempatan di kawasan itu dan berhasrat untuk menawarkan perisa setempat kepada penduduk di sini dan juga pelancong.

“Arab Street mempunyai banyak kafe dengan pastri mewah, tetapi kami mahu menyediakan sesuatu yang berpatutan dan lazat,” jelas Cik Nurain.

Beroperasi di lorong belakang membantu mereka mengekalkan harga berpatutan.

“Kos sewa yang lebih rendah membolehkan kami memastikan harga kami mampu dimiliki pelanggan,” kata Encik Faheem.

Kopi di 60 Alley Bakes & Coffee berharga antara $3.50 dengan $5 secawan, dan wafel berharga antara $3 dengan $5.50.

Pendekatan mesra kocek itu telah menarik minat pekerja di daerah Arab Street, yang menjadikan kedai tempat ‘bawa pulang’ yang popular.

Cik Nurain juga membekalkan biskut kepada hotel lima bintang setiap minggu. Ini telah juga membantu dengan kos sewa kedai.

“Biskut merupakan tempahan mingguan kepada Ritz Carlton, dengan perisa seperti Pandan Butter Cookies, Bandung Butter Cookies, dan Chocolate Chip Cookies,” kata Cik Nurain yang juga berkongsi bahawa biskut itu diletakkan di setiap bilik tetamu.

Pada petang Jumaat dan Sabtu, apabila lorong belakang ditutup kepada kenderaan, lorong di 60 Alley Bakes & Coffee berubah menjadi ruang tempat duduk di luar.

Pelanggan membawa kerusi lipat untuk bersantai dan acara seperti Aliwal Chess Club menambahkan lagi suasana yang meriah.


Keistimewaan mereka terletak pada wafel dengan perisa tempatan, termasuk sajian seperti Wafel Kaya dengan Krim Keju dan Wafel dengan Ais Krim Potong.

“Kami mahu pelancong merasai Ais Krim Potong Wafel kerana ia dikenang kepada semua rakyat Singapura,” kata Cik Nurain.

Komitmen mereka terhadap kesegaran turut melibatkan biji kopi yang diperoleh dari ladang berbeza.

“Ia memastikan kopi kami menarik dan juga sentiasa segar. Kami memperoleh biji kopi dari negara seperti Brazil dan Utopia” kata Encik Faheem.

Antara perisa wafel yang paling laris ialah, perisa seperti Nutella dengan Mentega Kacang atau Kaya dengan Krim Keju, dan Smores Waffles.


Permintaan untuk wafel mereka jelas, dengan 50 hingga 70 dijual pada hari bekerja dan lebih 100 keping pada hujung minggu.

Rancangan 60 Alley Bakes & Coffee pada masa depan termasuk menambah sajian di menu agar ia menawarkan pilihan menarik seperti Wafel Ham dan Keju.

“Pada tahun seterusnya, kami berharap kami dapat mengembangkan dapur menjadi dapur pusat untuk biskut dan menawarkan pelbagai jenis wafel dan kopi,” kongsi Cik Nurain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >