Jika anda kerap membeli-belah di Orchard Road, berkemungkinan besar anda pernah berjalan melepasi butik Prada di Paragon lebih kerap daripada yang anda sedari. 

Dibuka pada 1999, kedai itu baru sahaja menjalani rombakan besar-besaran, meliputi keluasan 1,200 meter persegi merentasi dua tingkat – menandakan julung kalinya kedai Paragon ini diperluas ke tingkat atas.

Butik yang mempunyai dua tingkat itu menyediakan ruang khusus untuk koleksi wanita dan lelaki Prada, merangkumi pakaian siap pakai, barangan kulit, kasut dan aksesori, di samping koleksi barang kemas mewah jenama itu. 

Bahagian dalaman kedai turut mengalami perubahan besar. Tingkat bawah mengekalkan reka bentuk Prada yang biasa dikenali, dengan lantai marmar bercorak papan catur hitam-putih ciri khas jenama itu, yang diinspirasikan daripada kedai asalnya di Galleria Vittorio Emanuele II, Milan. 

Sementara itu, dinding hijau pucat dan batang logam hitam pula menambah sentuhan khas ala-Prada yang sukar dikelirukan dengan jenama lain. 

Salah satu penambahan yang lebih menonjol ialah empat bilik peribadi yang baru diperkenalkan. 

Bilik-bilik itu direka khas untuk pengalaman membeli-belah yang lebih peribadi, dengan ruang khusus untuk meneroka barangan eksklusif, termasuk koleksi barang kemas mewah Prada. 

Ia turut dilengkapi pemandangan panorama merentasi keseluruhan butik, membolehkan pelanggan melihat skop penuh kedai itu dari sudut peribadi mereka.

Pembukaan semula itu turut disambut dengan majlis yang dihadiri ramai selebriti pada 27 Ogos, dengan lebih 300 tetamu hadir untuk melihat sendiri ruang baharu ini. 

Duta jenama Prada dan ahli kumpulan Aespa, Karina, turut hadir, bersama pelakon Korea Hwang In-Youp, manakala Tatjana Saphira, Raisa Andriana dan Meerqeen pula menyerikan lagi acara dengan kehadiran mereka sebagai bintang serantau. 

Butik Prada yang baru dirombak itu terletak di 290 Orchard Road, Paragon #01-44/45/46/47 dan #02-48/49. Selepas selesai meneroka kedua-dua tingkat, anda boleh singgah ke Kafe Prada di Ion Orchard yang terletak berhampiran untuk menjamu selera.