Penggemar makanan tempatan kini boleh menikmati sajian unik hasil ciptaan selebriti kulinari, Cef Bob, atau nama sebenarnya, Shahrizal Salleh, di tingkat dua tempat makan Good Old Days.
Ia terletak berdekatan Beach Station, Sentosa.
Kerjasama istimewa selama tujuh bulan yang bermula pada 28 Mei itu adalah bersempena sambutan SG60/
Ia menampilkan tiga hidangan eksklusif yang menggabungkan warisan rasa tempatan dengan sentuhan moden.
Kerjasama itu bertema kekeluargaan dan identiti.
Ia diilhamkan oleh detik penting dalam perjalanan kulinari Cef Bob dari zaman beliau mengendalikan restoran sendiri, hingga kehidupannya kini sebagai bapa kepada seorang anak yang menggemari cita rasa Barat.
Antaranya, Nasi Lemak Goreng ($12.80) dan Ginger Fish Horfun ($10.80) yang merupakan kegemaran pelanggan sejak awal kerjaya Cef Bob.
Sementara itu, Assam Pedas Pasta ($12.80) menggabungkan rempah Melayu dengan pasta pappardelle Italy – mencipta rasa yang segar dan seimbang.
“Sebagai sebahagian daripada sambutan SG60, kami teruja untuk bekerjasama dengan personaliti tempatan seperti Cef Bob,” kata Pengarah Urusan Mount Faber Leisure Group, Encik Buhdy Bok.
“Kerjasama ini membolehkan kami memperkenalkan semula rasa-rasa nostalgia rakyat Singapura dalam bentuk baru yang merentasi usia dan budaya.”
Cef Bob yang terkenal dengan video masakan dalam kualinya berkata:
“Tanpa tradisi, kita hilang identiti. Melalui kerjasama ini, saya mahu mengingatkan orang ramai, terutama golongan muda, bahawa rasa-rasa ini wajar dipertahankan.”
Alamat: 60 Siloso Beach, Singapura 098997
Waktu operasi: 10 pagi hingga 10 malam setiap hari
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg