Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fluffy Chef rai ulang tahun kedua dengan menu baru Neapolitan, Italy

Jalani kajian hingga lima bulan bagi perkenal hidangan baru berasas daging
May 30, 2025 | 3:30 PM
Fluffy Chef, Zarifa Abdul Rashid
Pemilik restoran, Fluffy Chef, Cik Zarifa Abdul Rashid, memastikan setiap hidangan disediakan dengan penuh perhatian. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sudah lama Arab Street menjadi destinasi pilihan buat pencinta makanan – barisan kafe unik dan bau hidangan yang menyelerakan menjadikan kawasan itu sentiasa meriah.

Di tengah-tengah suasana tersebut, sebuah restoran yang tidak asing lagi bagi peminat piza artisan, Fluffy Chef, mencuri tumpuan dengan pelancaran menu terbarunya.

Restoran Fluffy Chef yang terletak di Arab Street, baru-baru ini melancarkan menu baru yang diinspirasikan oleh makanan Neapolitan, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun kedua mereka.

Jika sebelum ini restoran tersebut terkenal dengan sajian piza sourdough serta hidangan istimewa piza Brisket Truffle, pemilik dan cef, Cik Zarifa Abdul Rashid, telah meluangkan masa antara empat dengan lima bulan bagi menjalankan penyelidikan dan pengembangan (R&D) untuk memperkenal menu baru yang lebih menumpukan kepada hidangan berasaskan daging.

Sebelum ini, Fluffy Chef menyajikan masakan berasaskan gaya Neapolitan yang lebih ringan.

Namun, dengan permintaan yang semakin meningkat untuk hidangan yang lebih berat dan berasaskan daging, Cik Zarifa, 29 tahun, memutuskan menyesuaikan pendekatannya kepada masakan Neapolitan yang lebih kaya dan berperisa.

Semasa dihubungi Berita Harian, Cik Zarifa berkata:

“Saya masih mengekalkan gaya masakan Neapolitan kerana saya lebih suka gaya masakannya berbanding yang lain, seperti gaya masakan Sicilian.

“Setiap hidangan baru – malah yang lama sekali pun – saya ubah sedikit demi sedikit untuk menjadikannya lebih baik,” tambah beliau.

Antara menu baru Fluffy Chef termasuk hidangan, ‘Lamb Rack’ ($34), iaitu daging kambing panggang dengan salut herba rangup, dilengkapi kentang lecek berkrim, salad sampingan, serta sos kambing.
Antara menu baru Fluffy Chef termasuk hidangan, ‘Lamb Rack’ ($34), iaitu daging kambing panggang dengan salut herba rangup, dilengkapi kentang lecek berkrim, salad sampingan, serta sos kambing. - Foto FLUFFY CHEF

Dalam pada itu, Fluffy Chef turut mengambil kira maklum balas daripada pelanggan tetap mereka sebelum melakukan sebarang perubahan pada menu.

Bagi memastikan menu baru memenuhi selera pelanggan, Cik Zarifa menghantar pautan tinjauan kepada pelanggan tetap untuk mengetahui hidangan yang mereka inginkan.

Hasilnya, terdapat banyak permintaan untuk hidangan berasaskan daging dan lasagne – yang akhirnya dimasukkan ke dalam menu baru restoran.

Namun, salah satu cabaran utama dalam proses perubahan menu adalah kos bahan mentah.

Cik Zarifa mengakui beliau perlu mencari pembekal yang menyediakan daging bermutu pada harga yang berpatutan demi menyajikan hidangan terbaik untuk pelanggannya.

Dengan perubahan menu ini, Cik Zarifa berharap pelanggan akan menghargai keikhlasan dan kasih sayang yang dicurahkan dalam setiap hidangan sambil menikmati suasana restoran yang menyenangkan.

Selain menu utama Fluffy Chef, Cik Zarifa turut memperkenalkan Pocketza, jenama makanan jalanan Neapolitan yang menyajikan piza lipat dengan perisa tempatan seperti rendang dan ayam masak merah.

Pocketza pertama kali diperkenalkan semasa bazar Ramadan dan dirancang untuk dikembangkan sebagai jenama bebas yang akan ditawarkan di pelbagai acara dan bazar pada masa akan datang – sesuatu yang boleh dinantikan oleh orang ramai.

Antara hidangan utama baru yang turut menjadi pilihan pelanggan ialah:

‘Burrata All’ Amatriciana’ ($24): Pasta digaul dengan sos pomodoro pedas, sos guanciale daging, ditaburi dengan burrata, iaitu sejenis keju lembut berkrim. 

‘Picanha Steak’ ($34): Potongan stik picanha dipanggang di atas kuali, disajikan dengan kentang panggang, lada Padron dan sos daging.

‘Lamb Rack’ ($34): Daging kambing panggang bersalut herba rangup, dilengkapi kentang lecek berkrim, salad sampingan, serta sos kambing.

Alamat: 47 Arab Street, Singapura 199744

Waktu operasi: Isnin hingga Ahad, 11 pagi hingga 10 malam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg