Mantan pramugara, Encik Noorman Mubarak, 46 tahun, sebelum ini memperoleh pendapatan mencecah $20,000 sebulan sebagai pengurus projek dalam industri minyak dan gas, sebelum beliau meletak jawatan untuk menjadi seorang penjaja pada 2017.
Bersama isteri dan seorang rakan baik, beliau memulakan gerai, Nasi Lemak Ayam Taliwang, di Pusat Penjaja Yishun Park.
Kini, gerai alumni Universiti Queensland yang memiliki ijazah dalam pengurusan perniagaan itu, telah berkembang kepada 26 cawangan dengan 100 pekerja dan menjana pendapatan tahunan $7 juta.
Isterinya, Cik Puti Andam Dewi Henry, 39 tahun – yang juga mantan pramugari – menyokong keputusannya untuk menjadi penjaja.
Selepas kelahiran anak sulungnya, Encik Noorman, yang ketika itu berusia 37 tahun, memutuskan untuk meninggalkan pekerjaannya dalam industri minyak dan gas, agar dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Setelah lebih sedekad berkahwin, beliau dan isteri kini mempunyai tiga orang cahaya mata.
Kehidupan sebagai penjaja bukanlah sesuatu yang asing bagi Encik Noorman kerana sejak berusia lapan tahun, beliau telah membantu ibu bapanya di gerai mereka di Ang Mo Kio, yang menjual nasi lemak, roti perata, dan mi goreng, lapor The Straits Times (ST).
“Saya tidak dilahirkan dalam kemewahan. Saya terpaksa bekerja untuk membiayai perbelanjaan saya sewaktu memburu ijazah,” katanya.
Selepas menamatkan pengajian universiti di Australia itu, beliau bekerja di sana selama setahun sebagai pengurus di dapur pusat sebelum kembali bekerja di gerai ibu bapanya pada 2003.
Pada 2004, beliau menyertai Singapore Airlines (SIA) sebagai pramugara, namun beralih ke industri minyak dan gas pada 2011 sebagai teknisyen luar pesisir, sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengurus projek.
Pada 2017, Encik Noorman terpanggil untuk menjadi seorang penjaja apabila melihat pembinaan Pusat Penjaja Yishun Park berhampiran rumahnya.
Beliau mencadangkan agar Cik Puti agar memohon untuk mendapatkan sebuah gerai.
Lahir di Indonesia, Cik Puti mempunyai minat mendalam dalam bidang memasak, dan hidangan istimewanya ialah ayam Taliwang – iaitu ayam panggang pedas asal Indonesia.
Taliwang merupakan daerah di Lombok, Indonesia.
Memandangkan Encik Noorman ingin menyajikan pelanggannya hidangan nasi lemak yang unik, beliau memutuskan untuk menggabungkan hidangan ayam Taliwang tersebut dengan nasi lemak.
Bersama rakannya, Encik Muhammad Ikhram, 46 tahun, mereka melabur $50,000 untuk membuka gerai di Yishun.
Sebagai penjaja sepenuh masa, Encik Noorman, bekerja sehingga 16 jam sehari tanpa cuti.
Kesemua bahagian nasi lemak itu dimasak sendiri, termasuk sambal tumis yang memerlukan masa lima jam untuk dimasak.
Hidangan ikoniknya ialah, Set Nasi Lemak Ayam Taliwang ($7.60), yang dihidangkan bersama sos istimewa – merupakan campuran cili merah segar, buah keras, bawang putih dan bawang merah yang dimasak perlahan selama dua jam.
Satu lagi hidangan popular ialah, Set Nasi Lemak Ayam Cabe Ijo ($7.60), yang dihidangkan dengan sambal hijau yang rasa pedas dan masam.
Ia merupakan gabungan cili hijau, tomato hijau, dicampur dengan jus limau nipis dan daun limau.
Setiap set dilengkapi dengan telur mata lembu dan paha ayam panggang yang dihidang panas.
Encik Noorman mengembangkan perniagaan nasi lemaknya selepas beliau mendapat pulangan modal bagi gerai pertamanya pada 2019, dengan mengambil pinjaman $20,000 untuk membuka gerai kedua di Pusat Penjaja Ci Yuan di Hougang.
Pada Januari 2020, beliau dan rakannya melabur $40,000 untuk membuka gerai ketiga di United Square.
Namun, perniagaan mereka terjejas dek cabaran ekonomi yang datang bersama pandemik Covid-19, dengan gerai di Tampines dan United Square terpaksa ditutup menjelang 2022.
Meski dihambat masalah kewangan dan kesihatan apabila beliau melalui pembedahan ekoran cakera teranjak (slipped disc) pada 2020, Encik Noorman berkata beliau “tidak pernah terfikir untuk menyerah kalah”.
Hasil usahanya, beliau mencapai keuntungan besar apabila gerai beliau di Yishun Park tersenarai dalam Panduan Michelin pada 2021.
Rakan kongsi beliau, Encik Muhammad, telah menarik diri sebagai pemegang saham pada 2022 namun terus menguruskan gerai Ci Yuan sebagai gerai francais.
Pada Julai 2023, Encik Noorman melabur lebih $100,000 untuk membuka restoran Nasi Lemak Ayam Taliwang Signature di North Bridge Road, yang menawarkan hidangan ikoniknya dengan versi premium pada harga $15.90.
Namun, restoran itu terpaksa ditutup selepas setahun dengan kerugian $150,000 dek kekurangan pelanggan.
“Ia adalah pengajaran berharga dalam penjenamaan dan pemasaran. Kita perlu jenama yang berbeza untuk produk yang berbeza pada harga yang berbeza.”
Kini, beliau memberi tumpuan kepada pusat penjaja, medan selera, dan kedai kopi.
Dengan sasaran asal untuk membuka lima gerai dalam 10 tahun, beliau mencapai sasaran itu dalam masa lima tahun dan pada Mac 2025, beliau sudah mempunyai 26 gerai.
Kini, beliau berhasrat untuk membuka 50 gerai di serata negara.
Tentang perjalanan perniagaannya, Encik Noorman berkata:
“Tiada sesiapa yang waras mahu melalui semua ini. Ia penuh tekanan, tetapi apa yang saya ingin capai bukan untuk diri saya, tetapi untuk keluarga saya, terutamanya anak-anak saya.
“Saya mahu mereka mengejar impian mereka.”
“
“Tiada sesiapa yang waras mahu melalui semua ini. Ia penuh tekanan, tetapi apa yang saya ingin capai bukan untuk diri saya, tetapi untuk keluarga saya, terutamanya anak-anak saya. Saya mahu mereka mengejar impian mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg