Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu, anak beri sentuhan ‘panas’ kepada Jing Hotpot & BBQ

Restoran yang lalui penjenamaan semula kini tawar hidangan lebih eksklusif
Oct 5, 2024 | 5:30 AM
Pemilik restoran, Jing Hotpot & BBQ, Sharifah Noor Aishah Albukhary, di restorannya di Kinex.
Pemilik restoran, Jing Hotpot & BBQ, Sharifah Noor Aishah Albukhary, di restorannya di Kinex. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Diletakkan di dalam periuk yang mengandungi sup panas berperisa dan hirisan nipis daging lembu dimasak hampir serta-merta.

Daging enak yang masih lembut itu ibarat terus cair di dalam mulut.

Itulah kegembiraan yang boleh dikecapi semasa menikmati hotpot, yang juga dikenali sebagai stimbot.

Hotpot, yang berasal dari China, adalah hidangan yang dimasak di atas meja makan dengan periuk khas.

Hidangan itu disertakan dengan pelbagai bahan makanan di sisi untuk dicelup ke dalam sup berperisa yang dibiarkan mendidih.

Di Jing Hotpot & BBQ, pengalaman hotpot bukan sahaja tentang makanan, bahkan bertujuan mencipta kenangan bersama anggota keluarga dan rakan-rakan.

Terletak di Kinex berdekatan Payar Lebar, ia menawarkan hidangan hotpot, dengan sentuhan masakan Cina ala Xinjiang dari kawasan barat laut China, dan Sichuan dari sebelah barat daya. 

Pemilik Jing Hotpot & BBQ, Sharifah Noor Aishah Albukhary, 52 tahun, mengendalikan restoran itu bersama anaknya, Sharifah Noura Aljunied, 30 tahun,yang juga merupakan pemilik bersama.

Anaknya turut menguruskan aspek pemasaran dan penjenamaan perniagaan tersebut.

Jing Hotpot & BBQ, yang sebelum ini dikenali sebagai Jinshangyipin Buffet Hot Pot di East Point, Simei, telah dijenamakan semula dan berpindah ke pusat beli-belah Kinex di Paya Lebar – berhadapan bekas tapak Tanjong Katong Complex.

“Kami mahu mencipta pengalaman menjamu selera yang lebih daripada sekadar makanan.

“Di Jing, kami ingin menyepadukan tradisi dengan kemodenan dengan menawarkan ruang yang selesa, menarik dan canggih.

“Santapan hotpot juga adalah untuk menjalin hubungan, dan kami mereka bentuk restoran untuk mencerminkannya, di mana rakan dan keluarga boleh berkumpul, berehat dan berkongsi hidangan yang lazat bersama-sama,” kongsi Sharifah Noura.

Setiap bahan dipilih dengan teliti dan perhatian khusus diberikan kepada langkah menyediakan sup dan memerap daging.

Antara pilihan sup ialah perisa mala khas mereka, yang terkenal dengan rasa herba dan kepedasan daripada lada Sichuan.

Sup Ayam Herba pula merupakan pilihan tidak pedas yang sesuai untuk semua peringkat usia.

“Kami mementingkan mutu berbanding kuantiti.

“Kami tidak lagi menawarkan kebanyakan bahan diproses yang dipamerkan sebelum ini (di cawangan Simei).

“Sebaliknya, kami kini memberi tumpuan kepada makanan laut dan daging bermutu tinggi yang lebih sihat dan memuaskan,” ujar Sharifah Noura.

“Sup mala kami adalah kegemaran ramai, kaya dengan rempah-ratus dan tahap kepedasan yang tepat daripada lada Szechuan.

“Manakala sup ayam herba kami adalah pilihan yang sesuai bagi mereka yang suka kepada rasa yang lebih ringan,” tambahnya.

Satu lagi hidangan menonjol di restoran itu ialah tawaran barbeku mereka.

“Daging perap kami mendapat sambutan yang baik, terutamanya ayam beri goji dan ayam serai.

“Kami juga telah menambah hidangan seperti sate dan sup tomyam untuk memenuhi cita rasa tempatan.

“Barbeku melengkapkan pengalaman hotpot. Ia menawarkan pelbagai rasa dan tekstur yang lebih luas untuk dinikmati,” katanya lagi.

Menu itu sendiri adalah produk hasil penyelidikan dan pengembangan (R&D) yang meluas, yang diterima hasil maklum balas pelanggan dan cita rasa yang berbeza.

“Sebahagian besar daripada menu kami diambil daripada cawangan sebelum ini (di Simei).

“Namun kami mengubah semula resipi dan memperkenalkan penambahan baru seperti minyak cili wangi, pes ayam dan udang buatan sendiri,” kata Sharifah Noura.

Proses menyempurnakan hidangan ini mengambil masa berbulan-bulan, dengan perhatian khusus diberikan untuk menyesuaikannya agar sesuai dengan cita rasa tempatan.

Sebagai contoh, mereka mengurangkan rasa pijar daripada biji lada Sichuan dalam sup mala.

Salah satu hidangan yang menyerlah ialah daging shabu-shabu mereka, iaitu daging dihiris nipis yang dimasak dalam periuk panas, digandingkan dengan sup berperisa dan dinikmati dengan sos untuk dicecah.

Ayam Lada Hitam Sarawak dan Ayam Goji Berry juga menjadi kegemaran ramai, menawarkan hidangan unik pada daging perap.

Untuk sentuhan tempatan, Sup Tom Yum dan Sate Ayam dan Daging Kambing mereka telah mendapat sambutan, walaupun ia bukan hidangan tradisional Cina.

“Sup Tom Yum juga sangat digemari, walaupun ia bukan hidangan Cina atau hidangan tempatan, namun pelanggan tetap berpuas hati dengannya,” kongsi Sharifah Noura

Selain makanan, reka bentuk restoran meningkatkan pengalaman menjamu selera.

Reka bentuk bahagian dalam Jing Hotpot & BBQ menggabungkan unsur tradisional Cina dengan estetik kontemporari, menampilkan kertas dinding Chinoiserie yang menarik.

Chinoiserie merujuk kepada gaya hiasan yang diilhamkan oleh motif tradisional Cina, yang popular di Eropah pada abad ke-17 dan ke-18.

Kertas dinding Chinoiserie biasanya menampilkan reka bentuk rumit seperti pagoda, burung dan corak bunga, memberikan suasana estetik Asia klasik.

“Reka bentuk dalaman kami menggabungkan motif tradisional Cina dengan sentuhan kontemporari, mewujudkan suasana yang selesa namun mewah,” jelasnya.

Hiasan moden bertujuan menjemput tetamu untuk duduk, berehat dan menikmati hidangan mereka.

Penjenamaan semula Jing Hotpot merupakan langkah penting bagi mereka.

Mereka beralih daripada konsep yang lebih asas kepada pengalaman makan yang lebih mewah, sambil merebut peluang untuk mengatasi jurang dalam pasaran.

“Kami melihat peluang untuk menambah baik perniagaan dan mencipta ;niche market’ yang lebih kukuh.

“Penjenamaan semula kami tertumpu pada menawarkan suasana yang lebih selesa dengan bahan-bahan bermutu tinggi,” ujarnya.

Perpindahan ke lokasi baru di Kinex juga telah menjadikan restoran itu lebih mudah diakses, memenuhi keperluan pelanggan yang lebih luas.

“Kami mempunyai pelanggan yang datang sejauh Jurong, Woodlands dan Bukit Batok,” kata Sharifah Noura.

Lokasi lebih dekat dengan tempat kerja dan kawasan sibuk membolehkan mereka memenuhi keperluan pekerja untuk makan tengah hari.

Ia juga menawarkan pengalaman lebih selesa untuk pelanggan yang datang dari merata Singapura.

“Permintaan hidangan hotpot halal di Singapura semakin meningkat...

“Orang ramai mencari pengalaman yang serupa dengan restoran yang tidak halal.

“Pelanggan bukan Muslim juga mencari alternatif di mana mereka boleh membawa rakan Muslim mereka (menikmati hidangan itu), terutamanya untuk acara korporat atau majlis sosial,” tambah Sharifah Noura. 

Buat masa ini, Jing Hotpot & BBQ merancang untuk memperkenalkan menu istimewa bermusim yang baru, menawarkan daging premium.

Alamat: 11 Tanjong Katong Rd, #02-19/20 Kinex Mall, Singapura 437157

Harga:

Hari Biasa: Isnin hingga Khamis

Makan tengah hari

• Dewasa: $36.90+

• Kanak-kanak (umur 5-12 tahun): $12.45+

Makan malam

• Dewasa: $42.90+

• Kanak-kanak (umur 5-12 tahun): $21.45+

Makan tengah hari & malam hujung minggu: Jumaat hingga Ahad

• Dewasa: $42.90+

• Kanak-kanak (umur 5-12 tahun): $21.45+

Maklumat Tambahan:

Kanak-kanak bawah umur 5 makan secara percuma

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg