Selepas lapan tahun berehat daripada dunia perfileman untuk menumpukan perhatian pada perniagaan dan keluarga, pelakon terkenal Bollywood, Preity G Zinta, kembali menghidupkan filem bertemakan sejarah India, Batwara 1947.

Filem yang kini ditayangkan secara eksklusif di beberapa pawagam Golden Village (GV) berlatarbelakangkan peristiwa Perpecahan British India (kepada dua negara, India dan Pakistan) pada 1947.

Sebuah keluarga Muslim terpaksa berpindah ke Lahore, Pakistan, dan menetap di sebuah rumah tersergam indah yang ditinggalkan sebuah keluarga Hindu.

Mereka kemudian mendapati seorang wanita tua beragama Hindu (lakonan Shabana Azmi) masih tinggal di rumah tersebut.

Wanita itu awalnya menuduh keluarga Muslim ini menceroboh hartanah hak milik keluarga Hindu itu.

Lama-kelamaan terjalin ikatan emosi yang tidak mengenal perbezaan kaum dan agama, tanpa sedikit pun rasa benci.

Preity, 51 tahun, membawa watak Hamida S. Mirza, seorang isteri dan ibu Muslim, yang bergelut dengan pelbagai pasang surut emosi.

Ikuti wawancara ringkas laman web, South Asian Herald, bersamanya.

Soalan (S): Apakah yang buat anda tertarik dengan filem ‘Batwara 1947’?

Preity: Saya tidak pernah bekerja dengan pengarah, Rajkumar Santoshi. Saya suka jalan cerita dan tema filem ini. Ia menekankan tentang sinar harapan di sebalik setiap kegelapan hidup. Penonton mungkin melihatnya sebagai filem perpecahan dua masyarakat, India dan Pakistan. Bagi saya pula, ia tetap drama keluarga yang menyejukkan hati.

S: Apakah yang anda pelajari daripada filem ini?

Preity: Saya kini menikmati kehidupan saya, setiap fasa yang dilalui. Kadangkala, saya terbayangkan keadaan saya dilahirkan pada era berbeza. Pada 1947, saya menyedari kehidupan wanita hanya berlegar di sekitar kerja rumah – memasak, menjahit dan membersihkan rumah atau membasuh pakaian.

Wanita pada zaman itu tiada kerjaya dan hidup demi keluarga. Rumah itu syurga mereka. Mujurlah, wanita hari ini boleh mengurus keluarga dan kerjaya. Kita mempunyai banyak pilihan.

Saya sendiri hidup berdikari meskipun ada suami dan dua anak. Saya bekerja dan mengembara. Saya menetap di luar negara tetapi saya boleh berkunjung dan bekerja di India bila-bila masa yang saya mahu. Saya hargai kehidupan begini.

Namun, daripada filem ini, saya belajar tentang erti kecekalan dan kekuatan semangat. Dalam dunia hari ini, kita lebih banyak merungut tentang perkara kecil tetapi kurang menghargai kelebihan yang ada.

S: Bagaimanakah industri filem Bollywood berubah sejak anda tinggalkannya?

Preity: Saya rasa perubahan lebih ketara dari segi bagaimana orang ramai menghadam kandungan filem kini. Media sosial memainkan peranan besar. Kita juga melakukan banyak jelajah promosi ke luar negara. Tapi dunia filem kekal sama.

Saya bangga dengan perkembangan Bollywood. Dulu, kita bercerita tentang warga India yang menetap di luar negara. Kini, filem kita mengisahkan tentang wira, jeneral terkenal mahupun misi ke Mars. India ialah antara peradaban dunia yang tertua. Kita sentiasa maju tetapi tidak ada yang mengiktirafnya hingga hari ini, barulah ramai yang akur tentang perkara ini.

S: Anda sering berlakon dengan Sunny Deol. Bagaimana orangnya?

Preity: Saya rapat dengan seisi keluarga Sunny. Saya pernah berlakon dengan bapanya, Dharmendra. Kami pernah menjayakan filem yang tidak dapat ditayangkan, Har Pall (kerana pelakon utamanya, Shiney Ahuja, terlibat dengan masalah guaman).

Adik Sunny, Bobby, ialah kawan saya sebelum saya memasuki industri filem. Kami pernah bekerjasama dalam filem Soldier.

Bersama Sunny, saya berlakon dalam Farz, The Hero, Heroes, Bhaiaji Superhit dan Dillagi.

Tapi sebenarnya, saya takut dengan Sunny. Kadangkala stres bekerja dengannya. Saya pernah hubungi Bobby pada 11 malam dengan menggunakan telefon di rumah (sebelum zaman telefon bimbit) untuk tahu jadual kerja saya. Sunny yang mengangkat telefon itu dan memarahi saya sebab sudah larut malam. Dia tidak suka adiknya ‘bergantung’ di telefon dengan seorang wanita!

Kemudian, beberapa tahun selepas itu, saya menyedari Sunny sukakan gadget dan teknologi. Itulah kali pertama saya nampak komputer Apple di rumahnya.

Keluarga Deol istimewa di hati saya. Rasa cinta dan saling menghormati begitu dipupuk terhadap orang tua dalam keluarga. Semua orang baik, tidak berpura-pura. Sebuah lagi keluarga sebegitu adalah keluarga Salman Khan.