Agnez Mo jadi ‘pengganas’, tembusi dunia lakon antarabangsa selepas rehat 15 tahun
Agnez Mo jadi ‘pengganas’, tembusi dunia lakon antarabangsa selepas rehat 15 tahun
Penyanyi, penulis lirik dan pelakon asal Indonesia, Agnez Mo, yang sebelum ini dikenali sebagai Agnes Monica, tidak pernah menyesali waktu yang berlalu dengan begitu pantas atau perancangan projek yang tertunda kerana keadaan.
Apabila patung lilinnya untuk Muzium Lilin Madame Tussauds di Sentosa, Singapura, tidak dapat dilancarkan lebih awal daripada 2022 seperti yang dirancang kerana wabak Covid-19, Agnez, 39 tahun, menganggap semuanya sudah diatur dan masanya lebih tepat
Pelakon sinetron remaja, Pernikahan Dini, itu yang kini berpangkalan di Los Angeles, Amerika, demi menebarkan sayap seninya ke peringkat antarabangsa, bersyukur dari seorang anak kecil yang mengeluarkan album semuda usia enam tahun, beliau kini diiktiraf sebagai artis Indonesia dengan paling banyak anugerah dalam sejarah muzik dan lakonan negara tersebut.
Agnez juga sempat berkolaborasi dengan artis ‘nama besar’ di peringkat dunia, Chris Brown dan Timbaland.
Baru-baru ini, Agnez singgah ke Singapura untuk meninjau patung lilinnya dan bertemu dengan peminat AGNation di sini selepas berbulan lamanya menjalani penggambaran siri drama aksi jenayah terkenal Amerika bagi wadah penstriman Amazon Prime Video, Reacher (Musim 4), di Toronto, Canada.
Siri yang dibangunkan penerbit dan penulis naskhah, Nick Santora itu, dihasilkan berdasarkan siri novel Jack Reacher yang ditulis penulis British, Lee Child.
Jack (lakonan Alan Ritchson) merupakan watak utama dalam Reacher. Dia merupakan bekas polis tentera di Amerika, yang memiliki pengalaman menyiasat dan latihan pertempuran. Kini, dia lebih suka berpindah dari kota ke kota di seluruh Amerika.
Agnez pula membawa peranan sebagai Lila Hoth, watak yang wujud dalam novel Child, Gone Tomorrow.
Lila adalah anggota kumpulan pengganas Timur Tengah yang berpangkalan di Afghanistan.
Watak ibu Lila, Amisha Hoth, dibawakan penyanyi Indonesia yang sudah bermastautin di Perancis, Anggun Cipta Sasmi.
Dalam satu wawancara bersama majalah Her World (Edisi Singapura), Agnez menjelaskan beberapa rancangan awalnya pada 2025 terpaksa ditunda kerana peluang keemasan berlakon sebagai antara watak utama dalam drama ‘Nombor 1’ Amerika yang paling banyak distrim satu dunia, Reacher.
“Saya rasakan projek ini tidak mampu ditolak. Saya juga sudah lama tidak berlakon kerana beberapa perkara.
“Apabila saya berpindah ke Los Angeles, saya berhenti menjayakan drama televisyen kerana saya ingin tumpukan perhatian pada bidang muzik.
“Lagi pun, peranan yang tersedia untuk pelakon Asia agak terbatas dari segi skopnya. Kebanyakan peranan untuk bakat Asia terlalu distereotaip mengikut tanggapan orang Barat.
“Bagaimanapun, pada awal 2025, saya mula menyedari industri lakonan di wadah penstriman Amerika, khususnya, lebih bersifat terangkum.
“Jadi, saya berkemungkinan akan mempertimbangkan untuk kembali berlakon jika ada peranan yang menarik ditawarkan,” kongsinya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Matahariku dan Tak Ada Logika itu akur beliau tetap meragui kemampuannya membawa watak Lila dalam Reacher meskipun melahirkan minat membawakannya.
“Selepas 15 tahun tidak berlakon, saya fikir masihkah saya mampu berlakon dengan baik?
“Saya bertegas ingin menjalani sesi uji bakat bagi watak Lila. Saya juga minta pasukan pengurusan saya agar tidak mendedahkan siapa saya (dari rekod kerjaya seni).
“Saya menjalani beberapa pusingan uji bakat. Saya dipanggil beberapa kali dan saya sanggup menjalani ujian keserasian untuk watak Lila. Sebab, saya ingin buktikan saya benar-benar layak membawa watak itu.
“Selepas saya akhirnya dipilih, pencipta siri Reacher, Nick Santora, memberitahu saya, beliau tidak menyedari betapa terkenalnya saya di Indonesia sehinggalah saya akhirnya diberi watak tersebut.
“Setelah berjaya mendapat peranan Lila dan saya menjalani ujian keserasian bersama ikon filem legenda, Woody Allen, Nick kata itulah kali pertama beliau benar-benar tahu Agnez Mo sebenarnya anak seni terbilang di Indonesia.
“Bagi saya, itulah pujian besar yang saya syukuri. Sebab ini bererti saya dapat peranan itu kerana kemahiran dan bakat saya dan bukan kerana jumlah pengikut saya (31.9 juta) di Instagram.
“Inilah salah satu pencapaian besar Agnez Mo bagi 2025,” katanya lagi.

