Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harapan 2026 gemilang untuk bakat tempatan

Sokongan peminat, program berprestij penting hidupkan industri hiburan tempatan
Jan 5, 2026 | 5:30 AM
taufik batisah, afgan
Penyanyi Indonesia, Afgan (kiri), muncul sebagai tetamu istimewa pada konsert Taufik Batisah, di Teater The Star, yang juga merupakan konsert sulung Taufik pada 25 Oktober 2025. - Foto SAH ENTERTAINMENT

Dunia hiburan tidak pernah benar-benar sunyi, sentiasa dipenuhi denyut nadi para artis yang melalui perjalanan penuh warna.

Mengimbau 2025, saya memilih dua tumpuan utama dalam bidang hiburan untuk dikupas.

1) Program menarik sepanjang 2025, julang bakat seni tempatan

Tahun 2025 disemarakkan oleh satu malam yang menghidupkan denyut nadi muzik Singapura melalui Singapura LIVE! 4.0 & Singa Maksima x Locals Only!

Saya teruja melihat gabungan generasi bakat tempatan pelbagai generasi daripada veteran yang membentuk identiti muzik Singapura hingga bintang baru yang kini bersinar di media sosial.

Acara itu menampilkan persembahan solo dan kerjasama antara generasi yang penuh tenaga dan kreativiti. 

Saya kagum melihat bakat tempatan seperti Shazza, Sezairi, Fauzie Laily, Thaqif, Rahila Rashun, The Street Therapist, The Pinholes, Bushmen dan Bloco Singapura, mempersembahkan gaya unik dan memukau di atas pentas.

Persada hiburan Singapura mungkin kecil, namun program yang benar-benar meraikan bakat tempatan itu memberi sedikit kelegaan. 

Ia bukan sekadar memberi pendedahan, malah membuka ruang untuk masyarakat mengenali keunikan dan daya cipta seni tempatan.

Melihat gabungan generasi lama dan baru, saya yakin 2026 wajar menyaksikan lebih banyak daya usaha seperti itu.

Ia bukan sekadar soal banyaknya atau hebatnya program hiburan yang dianjurkan, malah yang lebih utama adalah keupayaan program tersebut bertahan dan berkembang dari masa ke masa.

Intinya bukan soal jumlah atau gahnya program, namun keupayaannya bertahan dan berkembang, mencabar bakat tempatan agar terus cemerlang dan mampu bersaing di pentas yang lebih luas.

Anak seni Singapura, Sio Lubis, ketika terlibat dalam acara, ‘Singapura LIVE! 4.0’ di Serambi Kampong Gelam, pada 1 November 2025.
Anak seni Singapura, Sio Lubis, ketika terlibat dalam acara, ‘Singapura LIVE! 4.0’ di Serambi Kampong Gelam, pada 1 November 2025. - Foto MEDIACORP EAGLEVISION

Wadah yang sesuai adalah kunci memartabatkan bakat tempatan, memastikan mereka kekal aktif dan menjadi inspirasi bagi anak seni masa hadapan.

Di samping itu, pencinta seni dan hiburan tempatan turut menyaksikan acara gilang-gemilang yang menghargai bakat televisyen di saluran Melayu Mediacorp Suria, Pesta Perdana, yang diadakan dua tahun sekali.

Pada edisi 2025, siri drama jenayah, Operandi Gerhana, mencuri tumpuan apabila ‘menang besar’ dengan tiga anugerah utama termasuk Anugerah Siri Drama Terbaik. 

Pelakon Malaysia, Carmen Soo, 47 tahun, yang membawakan watak mencabar sebagai mama-san (penjaga wanita yang bekerja di bar) bernama Lily dalam siri tersebut, merangkul Anugerah Pelakon Wanita Terbaik – Drama Bersiri. 

Manakala Jamie Aditya, 55 tahun, pelakon asal Indonesia dan bekas ikon MTV Asia, turut memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Drama Bersiri.

Turut diraikan dengan tiga anugerah (kesemua pencalonan yang diterima) ialah pelakon serba boleh, Norman Ishak, 37 tahun, yang mengulangi kejayaan meraih Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama – Siri Drama pada Pesta Perdana 2023.

Beliau memenangi kategori tersebut bagi drama komedi, Cerita Dia Macam Ni; dan turut disanjung dengan Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Telefilem/Antologi untuk drama Bingit Siri Kelima; dan anugerah yang ditentukan undian penonton, Personaliti Lelaki Paling Popular.

Pelakon, Norman Ishak, merangkul tiga piala di Pesta Perdana 2025.
Pelakon, Norman Ishak, merangkul tiga piala di Pesta Perdana 2025. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Saya masih ingat jelas pengalaman mengendalikan siaran langsung di TikTok Berita Harian (BH) sewaktu permaidani merah Pesta Perdana 2025 di Kampus Mediacorp pada Mei 2025.

Pengalaman itu sungguh luar biasa, memberi saya peluang melihat sendiri bakat penggiat seni dan hiburan tempatan serta Nusantara diraikan, sekali gus merasai kemeriahan suasana majlis anugerah berprestij dengan lebih dekat.

Arena teater juga tidak terkecuali meninggalkan kesan apabila saya berpeluang menonton pementasan, Yusof: Portrait of a President, terbitan Teater Ekamatra sempena sambutan 60 tahun kemerdekaan Singapura (SG60). 

Dengan barisan pelakon seperti Sani Hussin, Siti Khalijah Zainal, Farah Ong, Dalifah Shahril, Fauzie Laily dan Ghabir Akbar, pementasan itu mengangkat sejarah Allahyarham Presiden Yusof Ishak, sambil menyuntik semula semangat patriotisme.

Pelakon Sani Hussin (sebagai Presiden Yusof Ishak) dan Siti Khalijah Zainal (sebagai Puan Noor Aishah) berhasil memukau penonton dengan lakonan penuh jiwa melalui pementasan, ‘Yusof: Portrait of a President’, dibawakan oleh Teater Ekamatra.
Pelakon Sani Hussin (sebagai Presiden Yusof Ishak) dan Siti Khalijah Zainal (sebagai Puan Noor Aishah) berhasil memukau penonton dengan lakonan penuh jiwa melalui pementasan, ‘Yusof: Portrait of a President’, dibawakan oleh Teater Ekamatra. - Foto ESPLANADE

Sambutan hangat terhadap karya yang pertama kali dipentaskan pada 2015 itu menyaksikan jumlah pementasan ditambah daripada tiga kepada tujuh, sekali gus menegaskan kerelevanan serta kekuatan naratifnya.

2) Individu cemerlang dunia hiburan tempatan

Antara nama yang menyerlah dalam industri hiburan Singapura ialah penyanyi dan penulis lagu muda serta berbakat luas, Zalelo, yang baru-baru ini meraih Anugerah Lagu Tema Terbaik menerusi lagu ciptaannya, Bebas, pada Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) 2025. 

Kejayaan tersebut menambah satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan seni anak Allahyarham Aman Shah itu.

Di luar dunia hiburan, Zalelo turut membuktikan kecemerlangan akademik apabila berjaya menamatkan pengajian di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dengan ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Komunikasi, selain pengkhususan sampingan dalam Pemasaran.

Pada majlis yang sama, pelakon Hisyam Hamid, akhirnya merealisasikan impiannya apabila menerima anugerah hasil lakonan cemerlang dalam filem, Memori. 

Kejayaan itu hadir selepas lebih 12 tahun beliau berhijrah ke Malaysia untuk membina kerjaya lakonan, menandakan satu perjalanan yang penuh kesabaran dan pengorbanan.

Kejayaan Zalelo dan Hisyam sekali gus membuktikan kerja keras, ketekunan dan kepercayaan terhadap proses mampu membuahkan hasil, walaupun memerlukan masa yang panjang.

Pada 2025, saya turut menyaksikan peningkatan bilangan konsert di Singapura seperti konsert GenKru, Exists X Slam, Ernie Zakri, Wings dan penyanyi bersuara emas kelahiran New York, Amerika Syarikat, Mariah Carey – namun satu yang benar-benar menarik perhatian saya ialah konsert yang dijayakan oleh bakat tempatan kita sendiri.

Selain pencapaian di pentas anugerah, perjalanan seni Taufik Batisah turut mencatat detik penting apabila juara Singapore Idol (Musim Pertama) itu akhirnya merealisasikan impian mengadakan konsert sulung yang laris dijual pada 25 Oktober di The Star Theatre – setelah menceburi industri hiburan sejak 2004.

Konsert itu dibawakan oleh pengasas SAH Entertainment sekali gus anak seni tempatan, Sufi Rashid.

Walaupun telah menginjak usia 43 tahun, Taufik terus memperlihatkan kehebatan vokalnya serta kelincahan menari, di samping memikat peminat dengan gelagat lucu kandungan kehidupan ‘suami isteri’ yang dimuat naik di media sosial bersama isterinya, Sheena Akbal, yang mencuri perhatian ramai.

Akhir kata, menyambut 2026, semoga industri hiburan tempatan terus mekar dan berkembang, mendapat sokongan padu daripada peminat serta masyarakat, agar bakat tempatan dapat terus bersinar dan bertahan dalam landskap yang kecil, namun kaya dengan potensi ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg