Setelah lebih empat dekad berkecimpung dalam bidang seni, penyanyi veteran Malaysia, Liza Aziz, 62 tahun, masih diingati hingga kini.
Keupayaannya untuk menyanyikan lagu dengan nada tinggi dan bakatnya menguasai pelbagai genre termasuk pop, balada, irama tradisional dan jaz, membuatnya cukup disegani dalam industri hiburan.
Nama beliau turut menjadi sebutan anak muda setelah memenangi pertandingan nyanyian realiti, Gegar Vaganza 11 (GV11), pada 9 Februari lalu.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) semasa satu sesi wawancara melalui Zoom, Liza, atau nama sebenarnya, Norliza Abdul Aziz, bersyukur dirinya masih dihargai dan diminati oleh orang ramai hingga kini.
“Mungkin ramai ingat saya berhenti menyanyi seketika. Sebenarnya, saya masih menerima undangan untuk membuat persembahan, namun kebanyakannya di luar negara atau merupakan acara korporat.
“Saya bersyukur masih diingati hingga kini. Saya memegang pesanan arwah ibu bapa saya untuk melakukan perkara yang ingin diceburi dengan bersungguh-sungguh.
“Mereka sering kata ‘jangan main-main’ dan jaga nama baik keluarga,” ujarnya, yang merupakan anak bongsu seniwati, Allahyarhamha Normadiah, dan seniman, Aziz Jaafar.
Persembahannya menyanyikan lagu, Damelo, oleh kumpulan ‘girl group’ Dolla dan lagu ‘rap’, Angkat, oleh Mimifly dengan cara tersendiri semasa GV11 turut menerima pujian penonton dan netizen.
Liza turut berkongsi dirinya cuba memenuhi pelbagai undangan yang diterima di luar negara termasuk di Singapura bagi, Konsert Irama Perjuangan, anjuran Persatuan Ain, pada 23 Ogos di Teater Mediacorp.
“Bagi saya, tiada istilah berhenti menyanyi. Selagi saya sihat, insya-Allah saya akan cuba memenuhi undangan itu.
“Bagi konsert ini, saya menerima undangan juri GV, Hetty Koes Endang (mesra disapa Bonda), yang mengajak saya menyanyi bersamanya di Singapura ketika tamat pertandingan tersebut,” cerita Liza.
Konsert yang menyampaikan mesej kesedaran mengenai penyakit barah itu turut menampilkan anak Bonda Hetty dan penyanyi dan pencipta lagu Indonesia, Afifah Yusuf, serta alumni GV daripada musim keenam, Hady Mirza dan Mimifly.
Ditanya mengenai penyanyi veteran yang kembali beraksi dalam pertandingan realiti seperti GV, Liza berkata ia merupakan wadah yang baik untuk memperkenalkan diri kepada anak muda dan peminat baru.
Namun, beliau berpendapat bahawa penyanyi veteran harus menonjolkan bakat mereka yang sebenar.
“Walaupun penyanyi itu sudah membina nama mereka, kadangkala nama mereka akan merudum sedikit apabila mereka kurang aktif atau tiada lagu baru.
“Namun, mereka harus membuktikan kebolehan mereka dan jangan ‘syok sendiri’ atau seronok sahaja tanpa memastikan nyanyian tidak sempurna.
“Jadi, mereka harus bekerja keras apabila ingin memasuki pertandingan,” kata Liza, yang memulakan kerjaya nyanyian sebagai penyanyi latar untuk konsert Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, bersama penyanyi popular 1980-an, Wann, yang kini menetap di Singapura.
Liza turut menyanyikan banyak lagu ringkas atau jingle, yang digunakan sebagai iklan di radio dan televisyen.
Antara yang masih didengari hingga kini ialah lagu pendek bagi ucapan Hari Raya yang dimainkan di stesen radio, Warna 942.
Menjawab pertanyaan BH mengenai awal kemunculan Liza dalam industri seni, beliau mengakui lagu-lagunya kurang dikenali kerana tidak menepati cita rasa pendengar pada ketika itu.
“Kededua album saya agak terlalu ‘advance’ untuk pendengar ketika itu yang mungkin gemarkan lagu ‘tangkap lentok’ atau lagu jiwang.
“Kadangkala juga apabila album itu kurang publisiti, ia jarang diputarkan di radio.
“Namun setelah saya muncul dalam GV, netizen mula mengeluarkan kembali lagu dan video nyanyian lama saya.
“Pandai mereka ‘mengorek’ dari zaman lampau. Persembahan saya dalam bahasa Inggeris turut muncul kembali.
“Alhamdulilah, lagu-lagu saya sudah boleh diterima oleh peminat muda zaman ini,” kongsi Liza, yang turut mempunyai lagu hit, Bermula Cerita dan Pengorbanan, yang dinyanyikan bersama kakaknya yang juga penyanyi veteran, Azlina Aziz.
Liza sering berlatih menyanyi di rumah bersama Azlina sebagai persiapan apabila ada undangan persembahan.
“Bagi usia saya sekarang, yang penting adalah untuk menjaga nafas saya.
“Berlatih dan membuat senaman vokal itu penting. Saya juga sering bersenam untuk memastikan saya mempunyai stamina.
“Selain itu, saya tidak minum air sejuk dan hanya minum air suam,” kongsi Liza, yang bersekolah di Singapura hingga Menengah 2 apabila mereka sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai kejayaan penyanyi muda seperti Ernie Zakri dan Aina Abdul, Liza berharap mereka akan teruskan usaha untuk berkarya dalam bidang yang diminati.
“Mereka berdua turut memulakan kerjaya daripada pertandingan realiti.
“Walaupun mengambil masa lama untuk membina nama dalam industri hiburan, saya kagum dengan semangat mereka untuk bekerja keras dan belajar daripada pengalaman,” jelas Liza.
Mengenai nasihatnya buat penyanyi baru, Liza berkata mereka harus kekal rendah hati dan menjaga adab apabila berinteraksi dengan sesiapa, tidak kira peminat ataupun penyanyi lebih berpengalaman.
Liza berharap dapat merakam lagu baru dan terus membuat persembahan di konsert bagi memenuhi hasrat peminat yang kian bertambah.
“Jika diberi kesihatan, insya-Allah saya terbuka untuk merakam album baru atau bekerjasama dengan artis lain. Kita lihat tawaran apa yang saya dapat kelak,” ujarnya.
Tiket ‘Konsert Irama Perjuangan’, berharga antara $88 dengan $288, boleh didapati di laman web, Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/donairama0825
“
Mungkin ramai ingat saya berhenti menyanyi seketika. Sebenarnya, saya masih menerima undangan untuk membuat persembahan, namun kebanyakannya di luar negara atau merupakan acara korporat. Saya bersyukur masih diingati hingga kini. Saya memegang pesanan arwah ibu bapa saya untuk melakukan perkara yang ingin diceburi dengan bersungguh-sungguh.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg