Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Anugerah 2026’: Sejauh mana mampu corak pelapis mampan?
‘Anugerah 2026’: Sejauh mana mampu corak pelapis mampan?
Alumni tekan kepentingan bimbingan vokal profesional, sokongan selepas pertandingan bagi pastikan bakat baru mampu bertahan dalam industri hiburan
‘Anugerah 2026’: Sejauh mana mampu corak pelapis mampan?
Sambutan luar biasa yang diterima bagi program realiti, Anugerah 2026, terbitan Mediacorp Suria, membuktikan pertandingan itu masih menjadi wadah pilihan bakat baru mencipta nama dalam dunia hiburan setempat.
Namun begitu, di sebalik kehangatan sambutan yang menyaksikan ratusan peserta hadir menguji bakat di Taman Warisan Singapura (MHC) pada 6, 7 dan 13 Jun lalu, timbul persoalan sama ada program seumpama itu dapat melahirkan pelapis seni bermutu, relevan dan mampu bertahan dalam industri untuk jangka panjang.
Sejak diperkenalkan pada 2001, pertandingan itu menjadi wadah penting mencungkil dan mengetengahkan bakat Melayu tempatan, yang kemudian berjaya mengembangkan kerjaya dalam bidang selain nyanyian seperti lakonan serta pengacaraan.
Antara nama besar yang berhasil mencipta nama daripada program tersebut termasuk Iskandar Ismail, Eka Mairina, Hyrul Anuar, Fauzie Laily, Syed Azmir, Sarah Aqilah, Sunny Jackson dan ramai lagi.
Bagaimanapun, sejauh manakah pertandingan itu mampu membantu peserta mengasah kemahiran yang diperlukan untuk membina kerjaya mampan dalam industri hiburan masih menjadi tanda tanya.
Dua bekas peserta Anugerah, Syakirah Noble dan Raliff Ismail, yang pernah melalui pengalaman bertanding di pentas tersebut pada 2017 (Syakirah) dan 2021 (Raliff), berpendapat masih terdapat beberapa aspek yang boleh dipertingkatkan bagi memperkasa peserta, khususnya dari segi bimbingan profesional sepanjang pertandingan berlangsung.
Menurut mereka, cabaran yang dihadapi peserta hari ini jauh berbeza berbanding dahulu apabila tuntutan industri hiburan semakin berdaya saing.
Naib Juara Anugerah 2017, Syakirah, 26 tahun, turut berpendapat penyediaan tenaga pengajar yang mencukupi penting bagi memastikan setiap peserta menerima tunjuk ajar secara menyeluruh, sekali gus membantu menyerlahkan sepenuhnya potensi mereka.
Menurut Syakirah, peserta Anugerah memerlukan lebih daripada sekadar latihan vokal kerana industri muzik moden menuntut mereka menjadi penghibur serba boleh.
“Saya mahu lihat setiap peserta (Anugerah) diberikan peluang yang adil untuk bersaing.
“Kita perlukan lebih ramai tenaga pengajar vokal dan individu yang benar-benar berpengalaman dalam bidang ini.
“Mereka bukan sekadar harus tahu menyanyi sahaja, malah mempunyai kemahiran untuk membimbing dan mengajar peserta dengan betul.
“Saya sendiri sudah mengajar vokal selama lima tahun dan mempelajari kaedah pengajaran vokal.
“Justeru itu, saya memahami bagaimana untuk mengenal pasti potensi seseorang serta membantu mereka mengembangkan kekuatan vokal yang dimiliki.
“Ramai penyanyi berbakat sebenarnya boleh mendapat manfaat daripada latihan yang lebih tersusun, terutama mereka yang tidak mempunyai akses kepada pembelajaran teknik vokal secara formal.
“Selain itu, peserta juga perlu diberikan lebih banyak cabaran untuk menguji dan menyerlahkan kemampuan nyanyian mereka, bukan hanya menyanyikan lagu yang berada dalam zon selesa masing-masing,” katanya kepada Berita Minggu (BM) dalam satu sesi wawancara Zoom.
Syakirah, yang juga siswazah Sarjana Muda Muzik (Kepujian) Kelas Kedua Atas daripada Royal Northern College of Music (RNCM), Manchester, United Kingdom, berkata beliau terbuka menyumbang kepakaran sebagai guru vokal sekiranya diberi peluang membimbing peserta dalam pertandingan berkenaan.
Kini, beliau merupakan guru vokal kontemporari di akademi dan studio latihan vokal, The Voice Company, yang terletak di sekitar North Bridge Road.
Sehubungan itu, finalis Anugerah 2021, Raliff, 34 tahun, mengakui beliau tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang nyanyian ketika menyertai pertandingan berkenaan.
Lantas itu, semasa pertandingan berlangsung, beliau perlu berusaha lebih keras untuk memperbaiki teknik nyanyian sambil memikirkan cara menghasilkan persembahan yang menarik dan berkesan di pentas.
“Saya akui antara cabaran terbesar ketika menyertai pertandingan itu adalah kekurangan pengalaman (nyanyian).
“Berbanding peserta lain yang kebanyakannya sudah ada pengalaman sebagai penyanyi kelab malam atau pengetahuan muzik yang lebih luas, saya perlu bekerja lebih keras untuk mengejar kekurangan tersebut,” ujarnya, yang bekerja sebagai pereka grafik.
Tanpa latar belakang formal dalam bidang nyanyian, Raliff mengambil inisiatif mempelajari teknik vokal menerusi YouTube dan mendapatkan nasihat daripada teman dalam dunia muzik.
Pengalaman itu membuatkan beliau memahami kepentingan akses kepada bimbingan bermutu, khususnya bagi peserta yang masih baru dalam dunia seni.
Selain aspek latihan dan bimbingan, Raliff turut membangkitkan keperluan mewujudkan sokongan yang lebih berterusan selepas pertandingan berakhir.
Beliau akur pertandingan sebegitu sememangnya membuka ruang kepada bakat baru menyerlahkan kebolehan nyanyian kepada umum.
Namun begitu, pendedahan yang diterima sepanjang tempoh pertandingan sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kelangsungan kerjaya seseorang artis.
Sebaliknya, peserta memerlukan lebih banyak peluang untuk terus berkarya, menjalin kerjasama serta membina rangkaian dalam industri agar bakat yang dimiliki terus berkembang dan kekal relevan dalam dunia hiburan.
Bagaimanapun, beliau mengakui kejayaan jangka panjang masih bergantung kepada kesungguhan dan inisiatif individu dalam merebut serta memanfaatkan peluang yang ada.
“Lebih baik jika ada inisiatif yang dapat membantu menaikkan nama penyanyi baru, seperti peluang merakamkan lagu atau projek yang boleh membuka laluan kerjaya mereka selepas pertandingan.
“Jika ada pengurusan artis yang dapat membimbing dan membantu mempromosikan bakat baru ini, sudah tentu ia memberi kelebihan kepada mereka.
“Namun dalam konteks industri di Singapura, perkara itu mungkin agak mencabar untuk dilaksanakan.
“Bagaimanapun, saya menghargai usaha Mediacorp Suria yang masih kerap mengundang bekas peserta Anugerah untuk terlibat dalam pelbagai program.
“Sekurang-kurangnya ia memberi ruang kepada kami untuk terus mendapat pendedahan dan kekal aktif.
“Tetapi akhirnya, semuanya bergantung kepada usaha peserta sendiri untuk mengejar impian sebagai artis.
“Selagi seseorang masih bekerja sepenuh masa, sudah tentu terdapat pelbagai kekangan yang perlu dihadapi.
“Jika seseorang itu benar-benar serius mahu membina nama dalam industri, dia juga perlu berani melangkah keluar dan meneroka peluang di luar Singapura,” kongsi Raliff.
Hakikatnya, bagi Raliff, melahirkan juara atau penyanyi baru sahaja tidak mencukupi jika bakat yang dicungkil tidak diberi ruang untuk terus berkembang selepas pertandingan berakhir.
Program Anugerah 2026 akan mula bersiaran di Mediacorp Suria mulai 25 Ogos, setiap Selasa, 8.30 malam. Ia juga boleh ditonton menerusi aplikasi mewatch.
