Selepas sembilan minggu menyaksikan pelbagai persembahan memukau, cabaran yang menguji kemampuan peserta serta kebijaksanaan pengurus dalam mencungkil potensi artis masing-masing, program realiti terbitan Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM2), akhirnya bakal melabuhkan tirainya menerusi pentas akhir pada 21 Jun ini.

Lima gandingan pengurus dan artis akan berentap di pentas akhir bagi merebut gelaran juara.

Mereka terdiri daripada Datuk A. Aida bersama Azeva, Datuk Seri Vida dan Cik B, Adira serta Anggrek, Safura dengan Kim Khairii, di samping Jamilul Hayat dan Hussain.

Secara peribadi, musim kedua ini boleh dianggap antara edisi paling kompetitif sejak program itu diperkenalkan.

Hampir setiap peserta hadir dengan kesungguhan untuk membuktikan kemampuan masing-masing, selain berjaya menghadirkan beberapa persembahan duet yang boleh dianggap antara terbaik sepanjang musim ini.

Menurut saya, daripada lima finalis yang masih bertahan, dua nama dilihat mempunyai peluang cerah untuk dinobatkan sebagai juara, iaitu Hussain, 23 tahun, dan Azeva, 25 tahun.

Pada awal pertandingan, saya tertanya-tanya sama ada Hussain hanya mampu membawakan lagu malar segar atau karya yang dekat dengan generasi 1970-an dan 1980-an, memandangkan dirinya dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang cukup kuat pengaruhnya dalam industri muzik.

Manakan tidak? Darah seni yang mengalir dalam dirinya bukan calang-calang.

Bapa saudaranya merupakan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah, sementara bapanya, Jamilul Hayat, pernah mencipta nama sebagai antara penyanyi popular pada era 1980-an.

Namun begitu, sepanjang pertandingan berlangsung, Hussain berjaya mematahkan persepsi saya itu.

Daripada lagu pop, balada sehinggalah rok, Hussain membuktikan kesediaan untuk keluar daripada zon selesa.

Antara persembahan yang meninggalkan kesan adalah ketika berduet bersama Ara Johari menerusi lagu, Takdir Tercipta, dendangan asal Adira dan Hafiz Suip.

Biarpun Ara dikenali dengan vokal yang lantang dan bertenaga, Hussain berjaya mengimbangi pasangan duetnya itu dengan harmoni yang kemas serta kawalan vokal yang baik.

Dari sudut nyanyian, tidak banyak yang boleh dipertikaikan mengenai kemampuannya.

Walaupun pergerakan pentasnya kadangkala dilihat sedikit kaku, kekuatan utama Hussain tetap terletak pada aspek vokal yang konsisten dari minggu ke minggu.

Persembahan lagu Berdendang Dalam Tangisan, pada peringkat separuh akhir, turut menjadi antara detik terbaiknya apabila menerima tepuk sanjungan, atau ‘standing ovation’, daripada juri tetap, Che Puan Sarimah Ibrahim, Datuk AC Mizal dan juri jemputan, Datin Noryn Aziz.

Malah, Datuk Yusry Abdul Halim, yang turut hadir sebagai juri undangan pada minggu itu, menyifatkan Hussain sebagai penyanyi serba boleh dan menganggap persembahan itu sebagai yang terbaik pernah dipersembahkan oleh Hussain sepanjang pertandingan.

Pada pentas akhir nanti, Hussain bakal mempertaruhkan lagu, Sumpah dan Cinta Matiku, nyanyian asal kumpulan Nidji.

Menilai kekuatan vokalnya dalam membawakan lagu balada, lagu tersebut dilihat sebagai ‘makanan’ buat Hussain dan berpotensi menjadi senjata utama untuk menjulang gelaran juara.

Kalau Hussain dianggap antara vokalis terbaik dalam pertandingan ini, Azeva pula boleh disifatkan sebagai peserta paling lengkap.

Sepanjang pertandingan berlangsung, Azeva membuktikan dirinya bukan sahaja mampu menyanyi, malah boleh menari dengan baik menerusi setiap persembahan yang ditampilkan.

Apa yang lebih mengagumkan, beliau antara peserta paling konsisten apabila berjaya menduduki kedudukan tiga terbaik hampir setiap minggu dan muncul juara mingguan pada minggu keempat serta kelapan.

Azeva juga dilihat sentiasa hadir dengan idea baru dan tidak takut mengambil risiko.

Misalnya, persembahan Bad Romance, nyanyian asal Lady Gaga, pada minggu kelapan memperlihatkan bagaimana dirinya menggunakan ekspresi wajah, bahasa tubuh dan pergerakan pentas untuk menyampaikan penceritaan lagu dengan berkesan.

Persembahan Azeva menerusi lagu, ‘Bad Romance’, memperlihatkan bagaimana dirinya menggunakan ekspresi wajah, bahasa tubuh dan pergerakan pentas untuk menyampaikan penceritaan lagu dengan berkesan.
Persembahan Azeva menerusi lagu, ‘Bad Romance’, memperlihatkan bagaimana dirinya menggunakan ekspresi wajah, bahasa tubuh dan pergerakan pentas untuk menyampaikan penceritaan lagu dengan berkesan. - Foto ASTRO

Persembahan itu bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya meletakkannya di tangga teratas dengan markah sebanyak 80 peratus.

Selain itu, beliau turut mencuri perhatian ketika membawakan lagu, Nirmala, nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan suntikan elemen Latin, yang segar dan berbeza.

Keupayaannya bangkit selepas hampir tersingkir pada minggu ketujuh menerusi lagu Sial, nyanyian Mahalini, juga memperlihatkan mentaliti seorang anak seni yang tidak mudah mengalah.

Malah, Datuk Yusry juga memuji karisma Azeva yang mampu mengawal pentas dan tidak tenggelam walaupun dikelilingi ramai penari latar.

Sementara itu, walaupun namanya mungkin tidak disebut sebagai calon utama juara, Anggrek mempunyai satu kelebihan yang sukar dinafikan iaitu aura bintang yang kuat.

Meskipun berusia sembilan tahun, Anggrek mampu menguasai pentas dengan baik sehingga berhasil menarik perhatian penonton.

Antara persembahan terbaiknya sepanjang musim ini adalah ketika berduet bersama Mimifly menerusi lagunya berjudul, Temberang.

Mimifly sendiri memuji tenaga yang dipamerkan Anggrek, yang mampu mengatasi 10 penari profesional dalam persembahan tersebut.

Apa yang harus diberikan pujian adalah keberaniannya untuk mencuba pelbagai konsep walaupun ada kekurangan dari sudut vokal.

Di sinilah kebijaksanaan pengurusnya, yang juga ibunya, Adira, terserlah.

Adira dilihat cukup memahami kekuatan dan kelemahan anak sulungnya, lantas menggunakan strategi yang menonjolkan kelebihan Anggrek sebagai penghibur.

Pada pentas akhir nanti, Anggrek, yang juga anak kepada penyanyi, Adira, akan membawakan lagu, ‘Aku Stacy’, pada pusingan pertama sebelum berduet dengan Aisha Retno menerusi lagu, ‘Sutera’, dalam pusingan kedua.
Pada pentas akhir nanti, Anggrek, yang juga anak kepada penyanyi, Adira, akan membawakan lagu, ‘Aku Stacy’, pada pusingan pertama sebelum berduet dengan Aisha Retno menerusi lagu, ‘Sutera’, dalam pusingan kedua. - Foto ASTRO

Pada pentas akhir nanti, Anggrek akan membawakan lagu, Aku Stacy, pada pusingan pertama sebelum berduet dengan Aisha Retno menerusi lagu, Sutera.

Pilihan lagu Aku Stacy, nyanyian asal Stacy, dilihat tepat dengan kekuatan Anggrek yang sememangnya menyerlah menerusi persembahan bertenaga dan koreografi yang dinamik.

Namun, cabaran sebenar mungkin hadir menerusi Sutera, sebuah lagu yang memerlukan kawalan vokal yang mantap serta teknik nyanyian yang lebih terkawal.

Ini kerana sebelum ini, Anggrek mengalami kesukaran membawakan lagu Kesuma, dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang juga merupakan hasil ciptaan Aisha Retno.

Bagaimanapun, jika dinilai dari sudut persembahan, gandingan Anggrek dan Aisha Retno berpotensi mencuri perhatian kerana kededuanya memiliki kekuatan sebagai penghibur pentas.

Jika ada satu finalis yang masih menyimpan elemen kejutan menjelang pentas akhir, mungkin individu itu ialah Cik B.

Kebanyakan persembahan Cik B, 21 tahun, banyak berkisar dalam zon selesanya, iaitu lagu yang mempunyai elemen ‘rap’ dan hip hop.

Tidak dinafikan, genre tersebut sememangnya menjadi ‘makanan’ Cik B dan membolehkannya tampil lebih yakin di atas pentas.

Namun, pada masa sama, keadaan itu menyebabkan penonton masih belum dapat menilai sepenuhnya sejauh mana kemampuan Cik B untuk menguasai pelbagai genre dan gaya nyanyian.

Kim Khairii, 23 tahun, pula konsisten menerima pujian daripada juri tentang kawalan vokal, tona suara serta kemampuan menyampaikan emosi menerusi lagu yang dibawakan.

Anak pelakon Malaysia Safura, iaitu Kim Khairii, konsisten terima pujian daripada barisan juri mengenai kawalan vokal dan kemampuan menyampaikan emosi menerusi lagu yang dibawakan.
Anak pelakon Malaysia Safura, iaitu Kim Khairii, konsisten terima pujian daripada barisan juri mengenai kawalan vokal dan kemampuan menyampaikan emosi menerusi lagu yang dibawakan. - Foto ASTRO

Beliau mungkin tidak terlalu bergantung kepada gimik atau koreografi yang gah, namun kekuatan utamanya terletak pada vokalnya yang mantap, serta keupayaannya menyampaikan emosi dengan berkesan.

Jika pertandingan ini dinilai semata-mata berdasarkan kekuatan vokal, Hussain mempunyai kelebihan yang cukup besar.

Namun, jika aspek konsistensi, kreativiti dan kemampuan menghiburkan turut diberikan perhatian, Azeva mampu memberikan saingan yang sengit.

Bagi Anggrek pula, kedudukan tiga terbaik sudah cukup membuktikan potensinya sebagai antara bakat muda yang wajar diberi perhatian selepas pertandingan ini berakhir.

Peringkat akhir TTMM2 boleh ditonton di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), pada 21 Jun, bermula 9 malam.