Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis muda ‘BBNU’ perlu pandai jaga diri

Jun 21, 2025 | 5:30 AM
Naim Daniel, BBNU
Kisah pelakon dan penyanyi terkenal Malaysia, Naim Daniel, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan gangguan seksual terhadap seorang peminat remaja, wajar dijadikan iktibar oleh artis muda lain agar sentiasa menjaga diri daripada dicalar dengan isu sensasi. - Foto BHM

Jangan terlalu dibuai oleh kejayaan dan pujian sehingga terlupa diri yang masih memerlukan banyak ilmu seni dan kemanusiaan untuk mencapai tangga kecemerlangan.

Mentang-mentanglah nama dah popular dan dianggap Budak Baru Nak Up (BBNU) dalam industri seni Nusantara, jangan ingat boleh buat sesuka hati atas lesen konon sudah bergelar artis berjaya yang disegani ramai.

Begitulah pesanan beberapa ‘otai’ atau orang lama dalam industri seni Melayu apabila diminta memberi nasihat kepada artis dan pempengaruh muda yang berperangai ‘kemaruk popular’.

Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menekankan tentang perlunya artis muda yang baru nak naik dan menjadi sebutan ramai ini menjaga diri dan maruah keluarga apabila kian dikenali ramai.

Itulah pegangan yang beliau sentiasa jadikan sandaran.

Maklumlah dirinya juga bermula dalam kerjaya seni pada usia remaja belasan tahun.

Vokalis kumpulan Feminin, Asfarina Muhamad, yang sudah lama menggantung mikrofon pula berkata pesanan pengurusnya agar terus merendah hati dan tidak buat perkara yang boleh memalukan diri sendiri dan keluarga menjadi sandarannya ketika kumpulan itu berada di kemuncak jaya sekitar era 1990-an.

Baru-baru ini, kecoh pula kisah pelakon dan penyanyi terkenal Malaysia, Naim Daniel, 27 tahun, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja berusia 17 tahun, yang dikatakan merupakan peminatnya.

Kejadian dikatakan berlaku pada malam 19 Mei 2025 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Naim yang terkenal dengan lagu, Sumpah, boleh dihukum penjara 20 tahun dan disebat jika didapati bersalah.

Kita tidak tahu apa duduk perkara yang sebenar sehinggalah perbicaraan kelak bermula pada 18 Ogos.

Mereka yang mengecam mungkin berasa Naim menyalahgunakan popularitinya (walau beliau tidak mengaku bersalah) untuk mendekati remaja yang mungkin terlalu menyukainya.

Dalam pada itu, peminat tegar yang menyokong mungkin berasa Naim menjadi mangsa keadaan, difitnah oleh pihak yang ingin menjatuhkannya.

Sebab ada juga perihal selebriti sedunia yang diburuk-burukkan atau diheret ke mahkamah oleh peminat yang berang kerana perkara seperti cintanya ditolak atau atas desakan golongan yang mahu memburukkan nama artis berkenaan.

Walaupun tidak sampai diheret ke mahkamah, pelakon francais filem, Harry Potter, Emma Watson, pernah dikecam sombong kerana enggan merakam swafoto bersama peminat di jalanan.

Sebabnya, hanyalah Watson menitikberatkan keselamatan peribadinya apabila berada di khalayak ramai.

Walau apa pun, saya berpendapat mana-mana artis pun harus pandai menjaga diri dan nama baik mereka dan keluarga, khususnya ibu bapa yang sudah banyak berkorban untuk melihat mereka berjaya di persada seni.

Jangan ambil kesempatan di atas populariti yang dibina kerana kerja seni bermutu atau penampilan yang membuatkan peminat mungkin mabuk kepayang atau gila-gilakan.

Sebaliknya, gunakan platform seni untuk berkongsi dan menjadi inspirasi kepada peminat, khususnya yang jauh lebih muda.

Sia-sia sahaja kalau kerjaya gemilang yang dimiliki dicalar oleh perbuatan atau sikap yang menyangka populariti sahaja cukup untuk menakluki kepercayaan orang lain sehingga bebas berbuat apa-apa sahaja perkara tidak bermoral.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg