Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selebriti didakwa laku serangan seksual remaja perempuan 17 tahun

Jun 17, 2025 | 12:47 PM
M’sia, Pelakon dan penyanyi terkenal Malaysia, serangan seksual
Pelakon dan penyanyi terkenal Malaysia, Naim Daniel (belakang), didakwa melakukan serangan seksual fizikal ke atas seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen Putrajaya, pada 17 Jun. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Pelakon dan penyanyi terkenal Malaysia, Naim Daniel, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 17 Jun atas tuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan pada 19 Mei lalu.

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Mengikut tuduhan, selebriti terbabit didakwa melakukan serangan seksual fizikal bagi tujuan seksual terhadap mangsa berusia 17 tahun yang juga seorang pelajar, di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 8.56 malam, pada 19 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 ($3,624) dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan di mana pasport antarabangsanya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 18 Ogos ini, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, usai kes di mahkamah berkenaan, Naim Daniel memohon ruang untuknya membersihkan nama selepas berdepan tuduhan yang dianggap berat itu.

Naim Daniel yang ditemui di luar pekarangan Mahkamah Sesyen berkata beliau sekarang mahu fokus pada kesejahteraan dirinya.

“Saya baru saja didakwa di atas satu tuduhan berat dan saya faham semua ada persoalan, banyak tanda tanya dan mengejutkan banyak pihak juga.

“Buat masa sekarang, saya belum bercadang mengulas panjang mengenai perkara ini kerana masih peringkat awal. Saya juga tidak ingin ada sebarang campur aduk yang mungkin boleh mengganggu perbicaraan nanti.

“Saya serahkan semua kepada sistem keadilan dan saya komited memberi kerjasama penuh untuk membersihkan nama. Saya harap dapat doa daripada semua orang. Saya mahu fokus pada kesejahteraan saya saja,” katanya.

Sebelum ini media Malaysia melaporkan polis menahan seorang selebriti terkenal pada 3 Jun lalu, berhubung kes serangan seksual terhadap remaja pelajar perempuan berusia 17 tahun.

Menurut polis, suspek didakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel tersebut dan mereka berkenalan kira-kira dua bulan lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg